Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan Sekarang
Kelantan –Yang Berhormat Mulia Tengku Temenggong Kelantan, Tan Sri Dato’ Haji Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz dan Yang Teramat Mulia Tengku Puan Temenggong Kelantan, Tunku Puan Sri Dato’ Hajah Noor Hayati Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj berkenan menyempurnakan perasmian Majlis Penutupan Program Suara dari Lembah Harapan 2022, anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Jabatan Penjara Malaysia (JPM) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan pada 10 pagi ini di Dewan Besar, Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan Negari Kelantan.
Dalam majlis ini, ucapan alu-aluan telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, iaitu Ketua Pengarah DBP. Menurut beliau, program pada hari ini bertujuan untuk mendekatkan penghuni penjara kepada sastera yang diakui berupaya mendidik jiwa dan membina keinsanan manusia, sekali gus menyokong peranan penjara dalam memberikan program pemulihan yang bersesuaian kepada penghuni dan usaha Jabatan Penjara Malaysia untuk menjadikan institusi tersebut sebagai Pusat Pembangunan Ketamadunan Budaya Kemanusiaan.
Semoga menerusi aktiviti yang diadakan bukan sahaja dapat melahirkan penghuni yang berbakat, bahkan sekali gus melahirkan harapan dalam diri penghuni untuk membuktikan kepada masyarakat bahawa diri mereka boleh “dibina semula” dan dipulihkan. Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada JPM dan JPN Kelantan atas kolaborasi penganjuran program ini. Semoga kolaborasi ini akan berterusan dan diperkukuhkan lagi dari semasa ke semasa demi mencapai hasrat melahirkan anak bangsa yang bermoral, beradab dan berkeperibadian yang tinggi.
Sementara itu, ucapan penghargaan pula telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Haji Abdul Aziz Abdul Razak, iaitu Timbalan Komisioner Jeneral Penjara Malaysia (Sektor Keselamatan dan Koreksional). Beliau merakamkan sekalung penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam usaha mencungkil bakat dan kebolehan penghuni penjara dalam seni ekspresi teater, puisi, sajak dan bacaan naskhah seiring dengan program pemulihan JPM.
Sukacitanya saya ingin merakamkan syabas dan tahniah kepada 36 daripada 42 institusi penjara Malaysia yang menyertai empat kategori pertandingan dalam Program Suara dari Lembah Harapan ini. Semua penyertaan dibuat secara rakaman di institusi masing-masing dan dihantar menggunakan aplikasi “Google-drive” kepada DBP dan diadili oleh juri profesional. Majlis Penjurian dan sesi pascanilai (Post-mortem) turut diadakan di Stor Teater, DBP dengan menjemput semua jurulatih yang terlibat dari 36 institusi yang mengambil bahagian. Usaha ini menggambarkan kesungguhan DBP memberikan peluang kepada jurulatih dari institusi penjara yang terlibat bagi mendapatkan ulasan juri serta ruang bagi penambahbaikan.
Juara bagi Pertandingan Suara dari Lembah harapan 2022 bagi kategori Deklamasi Sajak telah dimenangi oleh Penjara Sungai Buloh dengan markah 317, bagi kategori Baca Naskhah pula dimenangi oleh SHG Keningau dengan markah 299, bagi kategori Lagu Puisi pula dimenangi oleh Penjara Kluang dengan markah 86 dan bagi kategori Teater 10 Minit pula dimenangi oleh Penjara Pengkalan Chepa yang memperoleh markah 79.
Majlis pada pagi ini turut meraikan penghuni muda yang berumur 24 tahun ke bawah di seluruh institusi di bawah JPM yang telah berjaya mengetengahkan bakat dan hasil karya mereka dalam pertandingan yang dilaksanakan seperti teater, deklamasi sajak, nyanyian lagu puisi dan baca naskhah.
Program ini dinamai Suara dari Lembah Harapan sebagai simbolik kepada institusi penjara atau “lembah harapan”, iaitu sebuah tempat yang menghimpunkan manusia yang pernah melakukan kesalahan dan kesilapan untuk dipulihkan dan diberikan harapan baharu untuk lahir sebagai manusia yang lebih berjiwa dan berakhlak terpuji.