Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangSepang – Ketibaan Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob diiringi doa dan disambut meriah oleh pengurusan tertinggi dan karyawan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bersama-sama wakil persatuan dan pencinta bahasa di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira 10.30 malam tadi.
Antara yang turut hadir menyambut ketibaan Perdana Menteri termasuklah YBhg. Datuk Seri Prof. Dr. Awang Sariyan (Pengerusi Lembaga Pengelola DBP), YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran (Ketua Pengarah DBP), Encik Mohd Khair Ngadiron [Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM)], Encik Kamal Shukri (Majlis Perundingan Melayu), Dr. Mohamad Salleh Rahamat (PENA), Datuk Zainal Abidin Borhan (GAPENA), Encik Amiruddin Ali Hanafiah (Persatuan Penulis Johor), Encik Saifullah Baiduri (UMMAH SISWA) dan wakil beberapa persatuan lain. Golongan belia dan masyarakat pelbagai kaum di negara ini turut memeriahkan suasana dengan laungan kata-kata semangat cinta akan bahasa.
Ketibaan Perdana Menteri disambut oleh ratusan rakyat yang sejak awal telah berada di KLIA bagi menyambut dan meraikan beliau yang telah mengharumkan nama Malaysia di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-77 di New York. Beliau tiba bersama-sama delegasinya selepas menamatkan lawatan kerja ke New York dan Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), masing-masing selama empat hari.