30 September 2022, 20:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Seiring dengan Dasar Pelajaran Kebangsaan yang terkandung dalam Akta Pendidikan 1996, iaitu Bahasa Melayu merupakan mata pelajaran teras di semua sekolah rendah mahupun menengah, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK) komited untuk memperkasakan penggunaan bahasa Melayu melalui aktiviti kurikulum di peringkat sekolah mahupun jabatan.

Terdapat pelbagai usaha dan kegiatan telah diadakan oleh BPK untuk memupuk semangat cinta akan bahasa Melayu dalam kalangan warga BPK, termasuklah penganjuran Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK) yang juga merupakan program kerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Majalah. Program yang tamat pada 29 Julai 2022 itu telah berjaya menarik minat banyak penyertaan dalam kalangan warga BPK yang mengangkat tema “Bahasa Jiwa Bangsa.”

Johan Swafoto Pantun “Ibu dan Anak BPK” dimenangi oleh Puan Monalisa Alias.

Sebanyak lima pertandingan yang telah diadakan sepanjang DBK tersebut berlangsung, iaitu Swafoto Pantun “Keluarga BPK Berhari Raya”, Swafoto Pantun “Ibu dan Anak BPK”, Swafoto Pantun: Ayah dan Anak BPK”, Swafoto Puisi “Aku dan Kemerdekaan” dan Pertandingan Jawi Kreatif. Kesemua pertandingan tersebut telah disambut baik dalam kalangan warga BPK, sekali gus membuktikan bahawa BPK komited demi mendaulatkan bahasa Melayu.

Timbalan Pengarah Kanan Kluster Dasar Sains dan Teknologi, BPK, KPM, Puan Hajah Nooraini Kamaruddin.

Menurut Timbalan Pengarah Kanan Kluster Dasar Sains dan Teknologi, BPK, KPM, Puan Hajah Nooraini Kamaruddin, penggunaan bahasa Melayu yang tepat amat dititikberatkan dalam setiap urusan di BPK termasuklah dalam penyediaan dokumen rasmi. Selain itu, sebagai usaha untuk memastikan setiap warga BPK menggunakan bahasa Melayu dengan betul, beliau turut menekankan agar Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) yang merupakan produk DBP digunakan sebagai rujukan utama untuk menyemak penggunaan bahasa yang tepat dalam kalangan warganya.

Warga Bahagian Pembangunan Kurikulum ketika melafazkan Ikrar Setia Bahasa.

“BPK turut menghantar warganya untuk menjadi Munsyi Dewan dan ternyata bukan sesuatu yang mudah untuk bergelar Munsyi Dewan,” ujar beliau ketika memberikan ucapan perasmian penutupan DBK yang diadakan pada petang ini.

Majlis turut dihadiri oleh Puan Sarina Salim, Puan Hajah Nooraini Kamaruddin, Puan Aninah Janang dan para pegawai BPK, KPM serta pegawai dari Bahagian Majalah, DBP.

Yang turut hadir dalam majlis tersebut ialah Puan Sarina Salim (Timbalan Pengarah Sektor Bahasa dan Kesusasteraan, BPK, KPM), Puan Aninah Janang (Timbalan Ketua Editor Bahagian Majalah, DBP), para pegawai dari BPK, KPM dan pegawai dari Bahagian Majalah, DBP.

 

 

 

 

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.