5 Oktober 2022, 16:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Majlis Pelancaran Program Inisiatif Memperkasakan Bahasa Melayu yang berlangsung pada pukul 10.00 pagi tadi telah disempurnakan oleh YB Senator Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim, selaku Yang di-Pertua Dewan Negara di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Majlis anjuran DBP melalui Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum, Persatuan Kebudayaan Han Malaysia (HAN) dan Akademi Pendidikan Digital (APD) ini  turut dihadiri oleh YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan (Pengerusi Lembaga Pengelola DBP),  YBhg. Datuk Goh Hin San (Presiden HAN), Puan Sarina Salim (Timbalan Pengarah Sektor Bahasa dan Kesusasteraan, Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)), tetamu kenamaan, para pegawai DBP, guru-guru dan pelajar sekolah.

Dalam ucapannya, beliau berkata, masyarakat tidak perlu bosan dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu kerana bahasa Melayu perlu diwarisi sehingga generasi seterusnya.

Tahniah di atas usaha murni ini. Usaha memajukan bahasa Melayu ini diharapkan akan diteruskan juga oleh masyarakat Tamil dan masyarakat Sabah dan Sarawak. Kita tidak mengetepikan bahasa lain tetapi meletakkan bahasa Melayu sebagai tiang seri, iaitu bahasa Melayu perlu dijunjung di negara ini.

Tambahnya lagi, suasana bahasa Melayu pada hari ini amat mencabar kerana banyaknya pengaruh dan munculnya filem dari luar negara terutama bahasa Inggeris yang semakin berleluasa. Perjuangan warga Malaysia ke arah memartabatkan bahasa Melayu perlu diteruskan sehingga ke anak cucu walaupun pengaruh bahasa Inggeris akan terus berlaku. Selain itu, bahasa lain juga perlu dipelajari termasuklah bahasa Mandarin.

Beliau turut menggesa masyarakat Malaysia agar memperluas minda dalam isu bahasa Melayu. Menurutnya, bahasa Melayu bukan hanya untuk bercakap dan berpidato semata-sama tetapi mesti menjalar di sanubari masyarakat termasuklah masyarakat di Sabah dan Sarawak.

Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan telah dikempenkan oleh DBP. Jadi, semua kempen bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan harus diagihkan tanggungjawab ini kepada semua kaum di Malaysia termasuklah masyarakat di Sabah dan Sarawak. Begitu juga dengan ikon bahasa Melayu dan penulis dalam kalangan bukan Melayu termasuklah penyedia istilah bahasa Melayu dan kamus Melayu dalam bidang sastera dan kebudayaan perlu diberi penghargaan.

YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan ketika menyampaikan ucapan alu-aluan.

Pada majlis yang sama, YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan turut menyampaikan ucapan alu-aluannya yang menekankan usaha memperkaya khazanah persuratan Melayu dalam segala ranah ilmu penting sebagai prasyarat tamadun yang utuh demi memantapkan keyakinan masyarakat terhadap kemampuan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu dan bahasa kemajuan, sesuai dengan tuntutan semasa.

Tambahnya lagi, DBP akan terus melaksanakan dan melipatgandakan usaha untuk memartabatkan bahasa kebangsaan selaras dengan wawasan utamanya, iaitu untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai satu daripada bahasa utama dunia dengan teknologi maju sebagai sarana utamanya.

Penganjuran Program Inisiatif Memperkasakan Bahasa Melayu di Sekolah Jenis Kebangsaan yang dianjurkan oleh HAN diharapkan dapat membantu DBP mengukuhkan dan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa negara dan bahasa ilmu.

YBhg. Datuk Goh Hin San turut menyampaikan ucapan dalam majlis tersebut.

Sementara itu, menurut YBhg. Datuk Goh Hin San, program ini dilancarkan khas bagi sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) yang memberikan satu pendekatan baharu yang akan ditawarkan kepada seluruh SJKC. Program ini turut dihasilkan mengikut tahap pembelajaran pelajar. Program ini juga bertujuan untuk menanam minat di sanubari pelajar supaya dapat bercerita dalam bahasa Melayu, memberikan dorongan serta untuk mencungkil minat pelajar terhadap bahasa Melayu.

Terima kasih kepada YB Senator Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim yang menjadi peneraju dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu dan sebagai obor yang menerangi perkembangan bahasa Melayu, juga kepada KPM, Jabatan Pendidikan Negeri, APD, Persatuan Kebangsaan Guru-guru Besar Malaysia dan DBP, serta Majlis Bahasa Cina Malaysia yang peka dalam usaha memperkasakan bahasa Melayu di SJKC.

Puan Sarina Salim, Timbalan Pengarah Sektor Bahasa dan Kesusasteraan, BPK, KPM.

Pada majlis itu juga Puan Sarina Salim yang mewakili YBhg. Datuk Yusran Shah Mohd Yusof, iaitu Ketua Setiausaha (KSU), KPM  menyatakan penghargaan KPM kepada pihak HAN atas usaha memartabatkan bahasa Melayu di SJKC.

KPM menyambut baik usaha pembelajaran bahasa Melayu dalam kalangan pelajar di SJKC yang diharapkan dapat meningkatkan penguasaan bahasa Melayu mereka. Penguasaan bahasa Melayu penting untuk memupuk perpaduan pelbagai kaum di negara ini. Pembelajaran dan penguasaan bahasa Melayu perlu ditekankan dari peringkat awal terutama dari peringkat prasekolah. Kebanyakan pelajar SJKC mudah menguasai bahasa Melayu dengan baik, namun penggunaannya harus dipraktikkan dengan lebih kerap. Usaha ini diharapkan dapat diteruskan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang lain.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.