5 Oktober 2022, 16:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

BANGI Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerusi Ketua Bahagian Peristilahan dan Leksikologi, Encik Fadzli Tajuid mengingatkan pengguna Korpus DBP supaya menyerahkan salinan penyelidikan yang menggunakan data korpus tersebut kepada DBP dengan kadar segera. Peringatan itu diberikan pada Sesi Korpus DBP yang diadakan bersempena dengan Simposium Penyelidikan Korpus Malaysia (SPKM) 2022 pada 29 September 2022 di Hotel Bangi-Resort. Sebanyak empat pihak terlibat dalam penganjuran simposium ini, iaitu DBP, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Malaysian Corpus Research Network, serta Gale Cangage.

Pada sesi tersebut, Encik Fadzli Tajuid menceritakan hal yang berkaitan dengan Korpus DBP. Hal tersebut meliputi asal usul, jumlah pengguna, jumlah data dan fungsi Korpus DBP. Cabaran yang dilalui ketika membina Korpus DBP turut dikongsi untuk menunjukkan bahawa usaha pembinaannya bukanlah suatu tugas mudah yang dapat disiapkan dalam tempoh yang singkat.

Menurut Encik Fadzli Tajuid, tujuan asal pembinaan Korpus DBP adalah untuk tujuan perkamusan, iaitu menerbitkan kamus. Walaupun Kamus Dewan Edisi Keempat tidak menggunakan sepenuhnya Korpus DBP, penggunaan ayat contoh masih memanfaatkan data korpus malah penyusunan makna bagi entri yang mempunyai pelbagai makna juga dilakukan berdasarkan Korpus DBP. Terkini, penerbitan Kamus Dewan Perdana yang diterbitkan oleh DBP turut memanfaatkan data raya Korpus DBP yang berjumlah 128 juta kata.

Encik Fadzli Tajuid menceritakan hal yang berkaitan dengan Korpus DBP

Ketika menjawab soalan peserta SPKM 2022 yang bertanyakan kemungkinan DBP untuk berkongsi keseluruhan data Korpus DBP, Encik Fadzli Tajuid menegaskan bahawa terdapat kekangan yang menghalang DBP daripada berbuat demikian. Perkongsian data terpaksa dihadkan kepada baris konkordans, ayat dan perenggan sahaja kerana DBP terikat dengan hak cipta yang dimiliki oleh pemilik karya yang karyanya dimasukkan ke dalam Korpus DBP. Aspek hak cipta ini perlu diberi perhatian yang serius bagi mengelakkan implikasi undang-undang yang boleh diambil terhadap DBP oleh pemilik karya.

Ruang carian yang terdapat dalam Korpus DBP.

Pada sesi yang sama ini, Encik Dinie Asyraf Rodzi, pegawai dari Bahagian Peristilahan dan Leksikologi, menerangkan tatacara penggunaan Korpus DBP kepada peserta SPKM 2022. Fitur yang terdapat dalam Korpus DBP yang boleh dimanfaatkan oleh pengguna turut diterangkan. Sebagai contohnya, fitur yang dapat digunakan untuk mencari kolokasi.

Encik Dinie Asyraf Rodzi menunjukkan fitur yang terdapat dalam Korpus DBP.

Perkongsian ringkas tentang Korpus DBP ini diharapkan mampu memberikan pencerahan terbaik kepada semua peserta SPKM 2022 yang hadir. Walaupun majoriti peserta terdiri daripada sarjana yang telah biasa menggunakan korpus, terutamanya korpus yang dibina sendiri menerusi perisian yang boleh didapatkan secara percuma atau berbayar, perkhidmatan Korpus DBP semestinya kekal sebagai satu pilihan terbaik kepada sarjana korpus dalam menyingkatkan tempoh penyelidikan ketika melaksanakan kajian masing-masing. Hal ini terbukti apabila pengguna berdaftar Korpus DBP terkini berjumlah sebanyak 8750 pengguna hingga 28 September 2022.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.