5 Oktober 2022, 16:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

BANGI – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) terus memperkasakan penerbitannya menerusi penerbitan buku Glosari Linguistik: Linguistik Korpus. Buku yang sangat bermanfaat kepada ahli penyelidik dalam bidang korpus ini dipromosikan oleh Encik Mohd Fadzli Tajuid, Ketua Bahagian Peristilahan dan Leksikologi, DBP, selepas menyampaikan taklimat dalam Sesi Korpus DBP.

Promosi buku ini dilakukan bersempena dengan Simposium Penyelidikan Korpus Malaysia (SPKM) 2022 yang diadakan pada 29 September 2022 di Hotel Bangi-Resort. Simposium yang telah bermula pada 28 September 2022 itu menghimpunkan pelbagai sarjana linguistik korpus dari dalam dan luar negara. Perhimpunan ini ialah usaha sama antara DBP, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Malaysian Corpus Research Network, serta Gale Cangage.

Buku Glosari Linguistik: Linguistik Korpus diterbitkan secara dalam talian oleh DBP sebagai usaha untuk memaksimumkan penyebarluasannya. Menerusi matlamat ini, diharapkan semua sarjana linguistik berpeluang menjadikannya sebagai rujukan ketika melaksanakan kajian yang berasaskan korpus.

Sebanyak 259 istilah sumber dan 274 istilah sasaran terkandung dalam buku ini. Pembinaan istilah dalam glosari ini pula disahkan oleh Jawatankuasa Istilah (JKI) Linguistik: Linguistik Korpus yang terdiri daripada pakar dalam bidang linguistik korpus.

Antara pakar yang terlibat dalam penerbitan buku ini termasuklah Profesor Dato’ Dr. Imran Ho Abdullah (UKM), Profesor Madya Dr. Norliza Jamaluddin (Universiti Penyelidikan Sultan Idris), Dr. Azhar Jaludin (UKM) dan Dr. Noor Ida Ramli (Universiti Teknologi MARA). Oleh sebab itu, pengguna tidak perlu ragu-ragu akan ketepatan istilah yang terdapat dalam buku ini.

Profesor Dato’ Dr. Imran Ho Abdullah antara pakar yang menyumbang kepakaran dalam buku ini.

Peranan ketua editor bagi buku ini digalas oleh Encik Mohd Fadzli Tajuid, manakala peranan editor digalas oleh Puan Nor Azianti Abd Aziz dari bahagian yang sama. Perunding portal yang menempatkan buku ini pula terdiri daripada pakar dari DBP sendiri, iaitu Encik Sulaiman Kaiat, yang merupakan Ketua Bahagian Sistem Maklumat dan Encik Abu Bakar Buyong dari bahagian yang sama.

Encik Mohd Fadzli Tajuid ialah ketua editor yang bertanggungjawab dalam penerbitan buku ini.

Bagi memudahkan pengguna yang kali pertama menggunakannya, buku ini dilengkapi dengan pedoman penggunaan. Pedoman ini meliputi aspek tertentu, seperti senarai istilah, nombor, garis miring dan sinonim. Sebagai usaha menyebarluaskan istilah dalam bahasa Melayu ini, pengguna boleh mendapatkan buku ini di http://linguistikkorpus.dbp.gov.my/. Pengguna tidak perlu memperuntukkan duit untuk membelinya kerana capaian terhadap buku ini diberikan secara percuma oleh DBP.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.