Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPutrajaya – Setiap rakyat perlu menguasai konsep asas bahasa dan penguasaannya perlu ditingkatkan dari semasa ke semasa. Menurut Menteri Kanan Pendidikan, YB Datuk Dr. Radzi Jidin, penguasaan bahasa dalam kalangan anak-anak juga perlu mendapat asas yang kukuh dari peringkat awal tentang konsep bahasa seperti dari sudut nahu, tatabahasa, pemilihan perkataan dan sebagainya. Beliau berkata demikian dalam sidang media bersempena dengan Majlis Sambutan Dekad Bahasa Kebangsaan Sektor Pendidikan 2022 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, yang dirasmikannya pada pagi tadi.
Banyak program bahasa dalam konteks Kementerian Pendidikan Malaysia. Selain kurikulum, kita tekankan juga aktiviti kokurikulum. Contohnya, kita pernah mengadakan pertandingan syarahan, bahas, bicara berirama dan lain-lain. Yang terkini, kita mengadakan kerjasama dengan pihak UMW untuk melaksanakan pertandingan penulisan dan penyampaian puisi pada peringkat kebangsaan. Usahasama ini pertama kali dilaksanakan kerana kita mahu anak-anak kita melihat konteks bahasa dari lensa yang lebih luas.
Selain itu, tambah beliau, mereka yang menguasai sesuatu bahasa itu dengan baik akan mempunyai kelebihan berbanding dengan mereka yang tidak menguasainya. Lebih banyak bahasa dikuasai dengan baik, lebih banyak kelebihan yang dimiliki. Dalam dunia tanpa sempadan, setiap jenis bahasa memainkan peranannya. Dalam konteks negara Malaysia, bahasa Melayu dalam pembangunan negara dan kemasyarakatan menjadi bahasa kebangsaan negara, yang menjadi tunjang perpaduan di negara ini. Yang penting, dalam apa-apa bahasa sekalipun, kukuhkan asas bahasa dan tingkatkan tahap penguasaan bahasa yang ada.
Menurut beliau, pendekatan penulisan puisi tentunya berbeza daripada penulisan dokumen rasmi dalam agensi kerajaan. Oleh itu, setiap bidang bahasa mempunyai keperluan untuk pihak yang berkaitan menyampaikan mesej yang terbaik berdasarkan bidang yang dikuasai. Begitu juga dari sudut penyampaian, iaitu pentingnya penguasaan bahasa yang baik bagi membolehkan bahasa ini terus kukuh dan mereka yang menggunakannya mendapat kelebihan dalam konteks dunia yang penuh persaingan pada hari ini.
Usaha akan terus ditingkatkan sama ada dalam melaksanakan kurikulum atau kokurikulum. Di peringkat Kementerian Pendidikan Malaysia juga sentiasa menekankan penggunaan bahasa yang baik. Contohnya, dalam konteks komunikasi, polisi dan dasar, bukan sahaja dalam konteks penulisan, bahkan dalam penyampaian secara lisan turut diberi keutamaan untuk memastikan mesej atau dasar yang dirangka ini apabila diterjemahkan dalam penulisan akan dapat difahami dan dihayati oleh mereka yang membacanya khususnya dalam konteks yang lebih luas, iaitu rakyat Malaysia secara keseluruhannya.