Oleh Julianah Kuli
7 Oktober 2022, 19:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ranau Pertandingan Melukis dan Mewarna bersempena dengan Dekad Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan 2022 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah telah berjaya dilaksanakan dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Ranau pada 5 dan 6 Oktober 2022 di SMK Mat Salleh Ranau.

Antara objektif pertandingan ini termasuklah untuk memupuk perasaan bangga akan bahasa kebangsaan yang digunakan oleh semua etnik berbilang kaum terutamanya di negeri Sabah dan menyuntik semangat cinta akan bahasa kebangsaan melalui pelaksanaan pertandingan dalam sektor pendidikan.

“Cintai Bahasa Kebangsaan Kita: Berbeza Budaya, Satu Bahasa, Tunjang Perpaduan” merupakan tema pertandingan yang telah menerima 48 penyertaan daripada sembilan buah sekolah di sekitar Ranau dan Kundasang. Antara sekolah yang terlibat ialah SMK Matupang Jaya, SMK Mat Salleh, SMA Al-Irsyadiah, SMK Bundu Tuhan, SMK Ranau, SMK Ulu Sugut, SMK Agama Mohamad Ali, SMK Kemburongoh dan SMK Kundasang.

Hasil karya para pemenang pertandingan.

Hadiah telah disampaikan oleh Yang Berhormat Datuk Amisah Yassin, Ahli Dewan Undangan Negeri (Dilantik) kepada pemenang pada 7 Oktober 2022 dalam Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Festival Seni dan Alam (FESA) di Pentas Budaya, Pekan Kundasang.

Johan pertandingan ini telah disandang oleh pelajar dari SMK Mat Salleh, iaitu Cae Vivian Amirin yang telah membawa pulang hadiah wang bernilai RM1000.00. Naib Johan pertandingan pula dimenangi oleh Nur Aina Nabila A. Rostam dari SMA Al-Irsyadiah dengan hadiah wang bernilai RM700.00, manakala RM400.00 dimenangi oleh Dexcy Lia Suali dari SMK Mat Salleh, Ranau sebagai pemenang tempat ketiga.

Hadiah sagu hati pula dimenangi oleh Nuradibah Buluan dari SMK Ulu Sugut, Eldaa Lea Madiun dari SMK Matupang dan Tesya Kimdolly Toiming dari SMK Bundu Tuhan, yang masing-masing membawa pulang wang bernilai RM100.00. Setiap pemenang dan peserta juga diberikan sijil penyertaan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.