Oleh Mohd Amran Daud
13 Oktober 2022, 13:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Subang Jaya – Program Gegar Bahasa dan Sastera (GEBARA) bersempena dengan Dekad Bahasa Kebangsaan Sektor Swasta/Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) telah dilaksanakan dengan meriahnya oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Peristilahan dan Leksikologi dengan kerjasama Universiti Taylor’s Subang pada baru-baru ini.

Program yang melibatkan dua kegiatan utama, iaitu Ekplorasi Bahasa Jiwa Bangsa dan Gema Bahasa Jiwa Bangsa ini telah berlangsung di Taylors University Subang Jaya dan dihadiri oleh para peserta dalam kalangan pelajar, pensyarah dan staf universiti serta staf daripada sektor swasta dan GLC.

Pemenang utama Pertandingan Eksplorasi Bahasa Jiwa Bangsa, iaitu Kumpulan Ahh Ghisau daripada Kraftangan Malaysia.

Program yang memfokuskan kegiatan kebahasaan dan kesusasteraan seperti ini mula diadakan sejak awal tahun 1960-an melalui program Minggu Bahasa Kebangsaan, kemudian diteruskan pada tahun-tahun yang berikutnya dengan nama Gerakan Cintailah Bahasa Kita, Gerakan Bahasa Kebangsaan Sektor Swasta, Bulan Bahasa dan Sastera Negara, Bulan Bahasa Kebangsaan dan kini dikenali dengan nama Dekad Bahasa Kebangsaan.

Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera DBP, iaitu Puan Fauzilahyatun Mustafa dalam ucapannya berkata,

Objektif utama program GEBARA ini adalah untuk mengukuhkan jalinan kerjasama antara DBP dengan pihak swasta dan Syarikat Berkaitan Kerajaan dalam acara kebahasaan dan kesusasteraan serta menerapkan kecintaan dan kemegahan terhadap bahasa kebangsaan. Program ini turut memberi ruang dan peluang kepada generasi muda untuk menyerlahkan bakat masing-masing, khususnya dalam bidang bahasa dan sastera.

Pada sebelah pagi diadakan Pertandingan Eksplorasi Bahasa Jiwa Bangsa. Program yang berkonsepkan jejak bahasa ini berjaya menarik penyertaan lapan pasukan yang bertanding, iaitu PETRONAS, Kraftangan Malaysia, Lembaga Tabung Angkatan Tentera Malaysia, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), UMW Corporation Sdn. Bhd. dan pasukan tuan rumah, Universiti Taylors.

Dalam pertandingan ini, kumpulan Ahh Ghisau daripada Kraftangan Malaysia mengungguli persaingan, manakala kumpulan “Lestari” daripada Petronas di tempat kedua dan kumpulan Kita Menang daripada KTMB di tempat ketiga. Hadiah sagu hati pula dimenangi oleh kumpulan Lipan Besi (KTMB), kumpulan Teratai daripada Taylors University dan kumpulan Adikara daripada UMW Corporation Sdn. Bhd.

Pada sebelah petang pula diadakan program Gema Bahasa Jiwa Bangsa yang berkonsepkan persembahan kesenian dan kebudayaan. Program ini menampilkan Sasterawan Negara ke-15, iaitu YBhg. Dato’ Rahman Shaari, yang mempersembahkan puisi artistik yang berjudul “Dialog”, “Diam”, “Apa Ditakutkan kepada Malam” dan “Aku Hanya Mahu ke Seberang”.

Peserta lain yang terlibat ialah juara Pertandingan Puisi Kebangsaan, Norzailani Mohd Nuzi dan Mohd Aqi Mohd Azmi. Program ini turut dimeriahkan dengan persembahan pantun, nyanyian lagu dan dendangan syair.

Kumpulan SUBARI pula tampil dengan persembahan sketsa yang bertajuk “Bahasaku di Mercu” manakala penyanyi daripada PETRONAS, Ummu Nadiah Suhaimi menggamatkan suasana dengan menyanyikan lagu “Kurik Kundi”. Program gema bahasa ini diakhiri dengan persembahan lagu puisi yang bertajuk “Mencari Isteri” oleh penyanyi popular, Abot.

Urus setia program bersama-sama Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera DBP, iaitu Puan Fauzilahyatun Mustafa.

Sementara itu, menurut Puan Norshahila Mohamad Razak, iaitu Ketua Program Pusat Bahasa dan Pengajian Liberal semasa berucap mewakili Universiti Taylor’s menyatakan bahawa universiti ini merupakan universiti swasta yang menyediakan Modul Bahasa Melayu Komunikasi kepada pelajar antarabangsa di peringkat diploma dan ijazah sarjana muda, manakala pelajar tempatan yang tidak mengambil subjek Bahasa Melayu di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) perlu mengikuti Modul Bahasa Kebangsaan A, dan wajib lulus modul ini untuk membolehkan mereka bergraduasi.

Bahasa Melayu tidak banyak digunakan di sini kerana pelajar menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama dalam komunikasi dan pengajian. Namun begitu, kami lebih bernasib baik kerana penggunaan bahasa Melayu dalam program dan penyelidikan disokong oleh Prof. Dr. Anindita Dasgupta, Ketua Pusat Pengajian dan Sastera Liberal, Universiti Taylor’s, walaupun beliau berasal dari India.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.