13 Oktober 2022, 18:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sik, Kedah – Bahasa merupakan satu kemampuan terpenting yang dimiliki oleh manusia sebagai medium untuk berkomunikasi, menyampaikan pendapat dan perasaan. Selain penguasaan bahasa ibunda, mempelajari bahasa asing juga akan mengasah pemikiran seseorang. Hal ini kerana proses pembelajaran bahasa kedua atau ketiga dapat membantu meningkatkan beberapa kemampuan seseorang seperti mengingati, mengenali pelbagai jenis kata dan menguasai pertuturan yang akan menjadi nilai tambah kepada individu yang mempelajari bahasa kedua atau ketiga ini.

Sehubungan dengan itu, Unit Bahasa Antarabangsa dengan kerjasama Jawatankuasa Jaringan Industri dan Masyarakat dari Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), Universiti Utara Malaysia (UUM) mengadakan Kelas Asas Bahasa Antarabangsa sebagai satu program khidmat masyarakat kepada staf pentadbiran di Pejabat Daerah Sik dan Majlis Daerah Sik, Kedah.

Peserta kelas Asas Bahasa Antarabangsa di SLCP, UUM.
Pensyarah UUM bersama-sama peserta kelas Asas Bahasa Antarabangsa di SLCP, UUM.

Pensyarah SLCP, Zeety Kartini Abdul Hamid berkata, objektif bengkel ini adalah untuk memperkenalkan komunikasi asas bahasa antarabangsa seperti bahasa Arab dan bahasa Mandarin kepada peserta.

SLCP memberikan peluang kepada staf pentadbiran di Daerah Sik memperoleh kemahiran untuk berkomunikasi berserta pendedahan budaya dalam bahasa asing selain menyediakan platform kepada warga SLCP untuk berkomunikasi dan berkongsi ilmu kepada komuniti luar.

Jelasnya lagi, SLCP mempunyai staf akademik yang terlatih dan pakar dalam pelbagai bahasa seperti bahasa Jerman, Sepanyol, Jepun, Mandarin, Perancis, Arab, Korea dan Thai.

Melalui kepakaran yang sedia ada, kita berharap dapat berkongsi dengan masyarakat luar supaya kepakaran ini tidak terbatas dalam universiti sahaja dan berharap ilmu yang dikongsi ini akan dapat memanfaatkan komuniti luar kampus. Program ini juga akan memberikan nilai tambah kepada staf pentadbiran Pejabat Daerah Sik dan Majlis Daerah Sik dengan kemahiran berbahasa melalui penguasaan bahasa asing selain membantu dalam peningkatan pengalaman pengajaran dalam kalangan guru bahasa di SLCP.  Program ini juga merupakan langkah ke arah keterlihatan dalam usaha memperkenalkan SLCP kepada masyarakat luar.

Para peserta bergambar bersama-sama Ustaz Abdul Hadi Abu Hassan yang mengajar bahasa Arab di Majlis Daerah Sik.
Kelas Bahasa Mandarin dibimbing oleh Ang Wei Yin, di Sik Inn.
Peserta yang mengikuti Kelas Asas Bahasa Antarabangsa.

Program ini berlangsung dalam tiga sesi, iaitu Kelas Bahasa Arab dikendalikan oleh Ustaz Abdul Hadi Abu Hassan di Majlis Daerah Sik manakala Kelas Bahasa Mandarin pula dikendalikan oleh Ang Wei Yin di Sik Inn.

Sementara itu, Pembantu Tadbir Majlis Daerah Sik, Mohamad Fauzi Md Isa teruja menimba pengalaman baharu dalam mengasah kemahiran berbahasa Arab selain menguasai cabang ilmu dalam bahasa tersebut.

Bengkel ini sangat bagus untuk menambah ilmu pengetahuan dan meningkatkan kemahiran berkomunikasi dengan pelanggan yang berbahasa Mandarin dan Arab. Kami juga belajar untuk meningkatkan kemahiran berkomunikasi sebab ada juga pelanggan kami dalam kalangan masyarakat Cina.

Akuinya, terdapat perbezaan selepas menyertai kursus ini kerana dapat mempelajari perbezaan bahasa, iaitu tatabahasa, pertuturan dan ejaan yang berbeza daripada bahasa Melayu. Kebolehan bertutur dalam bahasa Arab merupakan satu kelebihan yang boleh dijadikan satu nilai tambah.

Tambahnya lagi, antara kelebihan mempelajari bahasa ini ialah kita boleh memahami makna ayat yang terkandung di dalamnya. Belajar bahasa Arab menjadi mudah apabila kita bersungguh-sungguh ingin mendalaminya, tambahan pula bahasa Arab merupakan bahasa al-Quran. Sepanjang penganjuran kelas ini, banyak ilmu dan manfaat yang dipelajari dengan bimbingan pensyarah UUM yang cukup baik sedikit banyak memberikan pengetahuan kepada kami untuk sebutan, ejaan dan pengunaan kata yang tepat.

Peserta bergambar di Welcome Centre, UUM.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.