14 Oktober 2022, 20:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Lenggong – Kenduri Buku Bersempena dengan Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) 2022 Peringkat Negeri Perak telah diadakan secara bersemuka pada 13-14 Oktober 2022. Program ini dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU) dengan kerjasama Wakaf Che Teh Fatimah (WCTF), Lenggong, Perak. Sebanyak 260 orang peserta telah mengambil bahagian dalam aktiviti sepanjang program dua hari ini, yang terdiri daripada pelajar MRSM Lenggong, Kolej Komuniti Lenggong, Sekolah Tahfiz Lenggong, SK Bukit Balai, SJKC Yeong Hwa dan SJKT Ladang Kota Lima. Selain itu, aktiviti dalam Kenduri Buku tersebut turut disertai masyarakat setempat yang terdiri daripada pelbagai kaum.

Pelbagai acara diadakan dalam Kenduri Buku Bersempena DMK 2022 Peringkat Negeri Perak.

Penyair yang tidak asing lagi, Cikgu Awang Abdullah turut diundang bagi memeriahkan program dengan beliau diberi tanggungjawab mengendalikan bengkel penulisan dan deklamasi puisi untuk 22 orang peserta.

Beberapa pengisian lain juga berlangsung serentak dengan bengkel tersebut. Antaranya termasuklah Pertandingan Mewarnai Lukisan Bertemakan Buku Kategori enam tahun hingga 10 tahun, Pertandingan Mewarnai Lukisan Bertemakan Buku Kategori 11 tahun hingga 13 tahun, Pertandingan Membaca Berita daripada Teks Buku, Pertandingan Menulis Warkah Berkenaan Buku, Pertandingan Mencipta Sajak Mengenai Buku dan Pertandingan Menulis Ringkasan Buku.

Pelbagai pertandingan ini diadakan untuk mencungkil bakat terpendam dalam diri peserta, selain turut dimeriahkan dengan pameran dan demonstrasi kuih warisan seperti pek nga dan nasi ganja. Pameran tersebut memberikan ruang kepada peserta dan pengunjung untuk mengenali kuih warisan.

Perasmian Rumah Buku WCTF oleh Encik Rahimi Arifin, Pengarah DBPWU.

Selain bengkel, pertandingan dan pameran yang berkaitan dengan buku, perasmian Rumah Buku WCTF juga telah dilaksanakan. Perasmian Rumah Buku WCTF tersebut disempurnakan oleh Encik Rahimi Arifin, Pengarah DBPWU dalam suasana hujan lebat yang menyimbah bumi Lenggong.

Nyaman hujan pada petang yang menyejukkan bumi Lenggong itu turut memberikan keselesaan kepada Malam Gema Puisi Kenduri Buku yang disertai oleh pelajar Pusat Tahfiz, pelajar MRSM dan masyarakat setempat yang terdiri daripada pelbagai kaum dan peringkat usia.

Pada Malam Gema Puisi Kenduri Buku itu, para peserta bengkel turut membuat persembahan yang dikendalikan oleh Cikgu Awang Abdullah dan Puan Rhumie Arniza Mat Esa. Persembahan pada malam itu juga diakhiri dengan persembahan “puiter” (puisi dan teater) oleh Cikgu Awang Abdullah dan Puan Rhumie Arniza Mat Esa, serta deklamasi puisi oleh penulis, E Pian Pro Poul.

Pertandingan Swafoto Buku,

Sementara itu, pada hari kedua pula, berlangsungnya pertandingan dan majlis penyampaian hadiah bagi Pertandingan Swafoto Buku, Pertandingan Reka Cipta Kulit Buku, Pertandingan Menggubah Objek Menggunakan Kain Sejadah dan Pertandingan Teka Jumlah Buku yang Berada di Dalam Kotak.

Secara keseluruhannya, program Kenduri Buku ini dapat menanam minat para hadirin yang bukan sahaja terdiri daripada kelompok bahasa dan sastera terhadap bahasa dan sastera kebangsaan, sekali gus dapat mengeratkan perpaduan kaum kerana aktiviti ini melibatkan masyarakat pelbagai kaum daripada pelbagai peringkat umur. Oleh itu, usaha seumpama ini perlu diteruskan pada masa hadapan.

Para peserta yang mengambil bahagian dalam Kenduri Buku.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.