26 Oktober 2022, 09:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Aspirasi Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob yang mahukan bahasa Melayu dimartabatkan bukan sahaja di dalam negara bahkan pada peringkat antarabangsa sewajarnya digalas bersama dalam setiap bidang termasuklah dalam bidang ekonomi dan perniagaan. Sehubungan dengan itu, Dekan Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Zafir Khan Mohamed Makhbul, yang juga penerima Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu (ATABM) 2021 diundang sebagai tetamu di studio Selamat Pagi Malaysia.

Bahasa dan kehidupan tidak dapat dipisahkan kerana bahasa merupakan khazanah bernilai yang perlu diperkasakan oleh setiap individu tanpa mengira ras dan agama selagi seseorang itu bergelar warganegara.

Tambah beliau, dalam usaha meletakkan bahasa Melayu pada kedudukan yang tinggi, keyakinan penuturnya terhadap kemampuan bahasa juga perlulah kuat. Pendapat yang menyatakan bahawa penggunaan bahasa Melayu tidak akan membawa kecemerlangan adalah tidak tepat kerana sebagai pegawai yang berkhidmat di sebuah universiti watan dan pada masa yang sama mengangkat agenda memartabatkan bahasa Melayu, beliau masih mampu mencapai kecemerlangan dan kegemilangan.

UKM juga sebagai sebuah universiti yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar baik dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PnP) mahupun penyelidikan masih mampu berada pada kedudukan yang membanggakan dalam penarafan universiti dunia.

Ujarnya lagi, beliau sendiri turut menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya dalam PnP selain menghasilkan lebih daripada 40 buah buku yang berkaitan dengan bidang ekonomi dan perniagaan dalam bahasa Melayu. Buku-buku tersebut menjadi rujukan utama dan buku sampingan bagi para pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta di negara ini.

Prof. Dr. Zafir Khan Mohamed Makhbul (kiri) ketika bersiaran dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia.

Beliau juga mengukuhkan dampak ilmiah kepada komuniti dan masyarakat apabila dilantik menjadi kolumnis bagi dua majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, iaitu Dewan Ekonomi dan Dewan Masyarakat.

Menurutnya lagi, kegemilangan bahasa Melayu dalam bidang ekonomi dan perniagaan tidak perlu dipertikaikan kerana telah bermula lama sejak zaman kegemilangan tamadun Melayu lagi. Kini dalam usaha merealisasikannya kembali, tanggungjawab tersebut tergalas pada bahu setiap penuturnya. Semua pihak yang terlibat perlu memupuk keyakinan kepada Keluarga Malaysia, iaitu penggunaan bahasa Melayu dalam setiap aspek mampu membawa kecemerlangan.

Banyak cabaran dan halangan dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu dalam bidang ekonomi dan perniagaan. Konsep memartabatkan bahasa Melayu dan memperkukuh bahasa Inggeris juga janganlah disalah tafsir. Usaha mengukuhkan penguasaan bahasa Inggeris penting untuk menerokai bidang ilmu bagi menambah kemenjadian masyarakat pada peringkat antarabangsa. Namun begitu, harus diingat bahawa kita juga bertanggungjawab membawa bahasa ibunda ke peringkat yang lebih tinggi.

Ulasnya lagi, antara cabaran lain untuk memartabatkan bahasa Melayu termasuklah kurangnya pembudayaan yang mendalam dalam sistem pendidikan, tempoh penjajahan yang terlalu lama dan penerimaan bidang moden yang diasaskan oleh tamadun Barat. Pada zaman moden kini, cabarannya lebih meluas dengan penggunaan teknologi, bahasa rojak, bahasa basahan dan sebagainya yang turut menjadi antara cabaran dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.