Oleh Kho Thong Eng
26 Oktober 2022, 09:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kata antara merupakan kata sendi nama yang kerap menimbulkan masalah kepada pengguna bahasa Melayu. Hal ini berlaku demikian kerana frasa yang berpangkalkan sendi nama antara ialah frasa sendi nama. Oleh itu, frasa sedemikian tidak dapat menjadi subjek ayat kerana subjek ayat dalam bahasa Melayu mesti terdiri daripada frasa nama. Hal ini meliputi frasa nama yang telah digugurkan intinya.  Sila lihat contoh yang berikut:

  1.  *Antara(tetamu) yang hadir ialah Ali.   (*FS + FN)

Oleh sebab kata antara dengan frasa nama (FN) ialah frasa sendi nama (FS), kata pemeri ialah tidak boleh kita gunakan. Hal ini juga benar jika ayat 1 diterbalikkan unsurnya.

  1.  *Ali ialah antara(tetamu) yang hadir. (FN + ialah + FS)

Walau bagaimanapun, ayat 1 kerap digunakan oleh pengguna bahasa Melayu. Oleh itu, kita harus berusaha membetulkannya.

Ayat 1 dan 2 menjadi betul jika kita mengubah strukturnya seperti yang berikut:

  1.  Ali antara(tetamu) yang hadir. (FN + FS)
  2.  Ali adalah antara(tetamu) yang hadir. (FN + FS)

Ayat 3 dan 4 adalah betul kerana strukturnya ialah FN + FS, iaitu subjeknya ialah FN (Ali) dan predikatnya ialah FS (antara tetamu yang hadir). Kata pemeri adalah merupakan kata perangkai opsyenal antara subjek FN dengan predikat FS.

Ada pengguna yang cuba menukarkan ayat 1 dengan memasukkan kata termasuk.  Sila lihat contoh yang berikut:

  1.  *Antara(tetamu) yang hadir termasukAli. (FS + FK)

Ayat di atas masih tidak betul. Selain subjek ayat tidak boleh terdiri daripada frasa sendi nama (FS), maksud kata termasuk ialah “sudah masuk” atau “tergolong dalam”. Ayat yang betul adalah seperti yang berikut:

  1.  Ali termasuk(tetamu) yang hadir. (FN + FK)
  2.  (Tetamu) yang hadir meliputiAli. (FN + FK)

Cara yang lain ialah kita menghasilkan ayat susunan songsang dengan frasa sendi nama yang berpangkalkan kata sendi nama antara. Sila lihat contoh yang berikut:

8a.  Antara lain, dia malas.

8b.  Dia malas, antara lain.

Frasa sendi nama dengan kata sendi nama antara di atas sebenarnya merupakan penanda wacana yang mengaitkan sesuatu ayat dengan ayat yang mendahuluinya. Sila lihat contoh yang berikut:

9a.  Kegagalannya disebabkan banyak faktor. Antara lain, dia malas (FN + FA).

9b.  Kegagalannya disebabkan banyak faktor. Antara lain, (salah satu/satu)

faktornya ialah (bahawa) dia malas (FN + FN).

9c.  Kegagalannya disebabkan banyak faktor. Antara faktornya, dia malas (FN

+ FA).

9d.  Kegagalannya disebabkan banyak faktor. Bahawa dia malas (adalah)

antara faktornya. (FN + FS)

Jika frasa sendi nama yang berpangkalkan kata sendi nama antara bukan digunakan sebagai penanda wacana, maklumat yang lebih lengkap harus dinyatakan. Sila lihat contoh yang berikut:

10a.  Antara faktor pemanasan global, satu (faktor) daripadanya ialah

pembakaran terbuka (FN + FN).

10a. Antara faktor pemanasan global, (salah) satu faktornya ialah           pembakaran terbuka (FN + FN).

Frasa sendi nama dengan kata sendi nama antara boleh juga digunakan untuk menyelitkan maklumat tambahan dalam ayat. Dalam hal ini, maklumat tersebut diapit oleh tanda baca dua koma. Sila lihat contoh yang berikut:

9c.  Pemanasan global disebabkan banyak faktor. Satu fakornya, antara lain, ialah pembakaran terbuka (FN + FN).

Kata antara digunakan juga untuk menunjukkan hubungan antara dua pihak (perkara) atau lebih, atau antara anggota dalam satu kelompok. Sila lihat contoh yang berikut:

10a.  Persahabatan antara Ali dengan Ahmad erat.

10b.  Perhubungan antara Ali, Ahmad dan abu semakin erat.

10c.  Terdapat perbezaan antara Malaysia dengan Indonesia.

10d.  Hubungan antara mereka semakin renggang.

10e.  Dia membuat perbandingan antara buah yang hendak dibelinya.

Kata antara berubah menjadi kata arah jika didahului oleh kata sendi nama di. Sila lihat contoh yang berikut:

11a.  Jarak di antara Indonesia dengan Malaysia dekat.

Ada kalanya kata antara dipendekkan sebagai antar- dalam kata tertentu. Sila lihat contoh yang berikut:

antarbenua:   antara benua

antardaerah: antara daerah

antarkelompok: antara kelompok

antarnegara: antara negara

antarpulau: antara pulau

Kata antara dapat ditambah imbuhan untuk menjadi kata terbitan atau diiringi kata lain untuk menjadi kata majmuk. Sila lihat contoh yang berikut:

Kata Terbitan

berantara mengantara mengantarai

perantara pengantara perantaraan pengantaraan

 

Kata majmuk

antarabangsa antara muka

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.