1 November 2022, 14:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – YB Datuk Dr. Radzi Jidin, Menteri Kanan Pendidikan berharap agar masyarakat dapat memanfaatkan dengan sebaik-baiknya sumber rujukan bahasa Melayu menerusi Kamus Dewan Perdana (KDP) terbitan Dewan Bahasa Pustaka (DBP). Bagi membolehkan bahasa Melayu terus berkembang, beliau juga berharap agar KDP didigitalkan untuk manfaat pengguna di Malaysia serta masyarakat di luar negara. Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmiannya bersempena dengan Majlis Pelancaran Kamus Dewan Perdana “Khazanah Unggul Negara” di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP, yang berlangsung pada pukul 11.30 pagi tadi.

Menurut beliau, KDP merupakan kamus bahasa Melayu yang amat penting, iaitu penggunaan bahasanya selari dengan perkembangan pada masa ini.

KDP cukup lengkap dan menjadi khazanah unggul negara kita kerana lebih 120 000 entri dalam bahasa Melayu telah terakam. Oleh itu, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan penerbitan dan pelancaran Kamus Dewan Perdana ini. Usaha yang dilaksanakan oleh semua pihak yang terlibat dalam menyiapkan kamus ini amat besar sumbangannya dalam bidang kebahasaan. 

Tambah beliau, bahasa yang digunakan dalam buku-buku lama dan kitab-kitab lama cukup berbeza daripada bahasa yang digunakan oleh masyarakat kini. Sehubungan dengan itu, kamus ini boleh dirujuk oleh sesiapa sahaja. Perkataan lama mesti dikekalkan selain penambahan kosa kata baharu dalam kamus. Kosa kata wajar ditambah dari semasa ke semasa supaya kamus ini sentiasa relevan pada setiap zaman. Oleh itu, bidang perkamusan ini memerlukan proses yang mendalam yang melibatkan banyak pakar bahasa.

Amat penting untuk DBP mendigitalkan KDP dengan secepat mungkin agar semua ahli masyarakat boleh menggunakannya secara pantas dan berkesan. Semoga usaha murni ini menjadi langkah bermakna ke arah mencapai sasaran dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam segala aspek kehidupan seharian kita.

 

KDP perlu didigitalkan untuk manfaat semua pihak – YB Datuk Dr. Radzi Jidin.

KDP merupakan kamus terbaharu yang diusahakan oleh DBP dan merupakan kamus Melayu pertama di dunia yang memanfaatkan sumber data dari pangkalan data korpus yang dibangunkan oleh DBP dan juga data Internet. Data korpus yang besar dan luas ini membolehkan para penyusun kamus memanfaatkan data secara optimum untuk menghasilkan pemerian makna kata yang jitu dan dapat diandalkan.

YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Haji Awang Sariyan ketika menyampaikan ucapan alu-aluan dalam Majlis Pelancaran Kamus Dewan Perdana “Khazanah Unggul Negara”.

Sementara itu, majlis pada pagi tadi terlebih dahulu diserikan dengan ucapan alu-aluan oleh YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, iaitu Pengerusi Lembaga Pengelola DBP. Menurut beliau, KDP disusun dan dihasilkan berikutan dengan ledakan maklumat, kemajuan teknologi dan penemuan baharu yang merentas pelbagai bidang ilmu dan kehidupan.

Katanya lagi, pelancaran KDP ini diharapkan bakal menjadi sejarah baharu bukan sahaja dalam dunia leksikologi Melayu malahan dapat menjadi kebanggaan rakyat Malaysia secara keseluruhannya dalam meneruskan legasi unggul pemeliharaan kosa kata dan persuratan Melayu dalam era ini.

Para tetamu kehormat dan tetamu undangan yang hadir.

Yang turut hadir dalam majlis ini ialah YBhg. Dato’ Ts. Kamel Mohamad, iaitu Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), Jabatan Perkhidmatan Awam, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, iaitu Ketua Pengarah DBP, ahli Lembaga Pengelola DBP, dif kehormat yang lain, pegawai DBP, pensyarah dan para pelajar dari Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) serta pelajar sekolah.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.