8 November 2022, 20:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Bahasa Melayu menghadapi lebih banyak cabaran dalam peranannya sebagai bahasa rasmi. Hal ini demikian kerana bahasa rasmi mempunyai unsur penggunaan yang wajib. Demikianlah antara penerangan yang diberikan oleh YBhg. Prof. Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong, Felow Utama, Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia melalui Syarahan Bahasa Jiwa Bangsa, bersempena dengan Majlis Perasmian Dekad Bahasa Kebangsaan dan Dekad Membaca Kebangsaan Sektor Perdana Menteri 2022.

Menurut YBhg. Prof. Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong, bahasa Melayu selaku bahasa rasmi tidak diterima sepenuhnya bukan disebabkan oleh sistemnya yang lemah setelah dibina dengan jayanya oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), selaku agensi utama pembangunan bahasa Melayu di negara ini.

Sebenarnya bahasa Melayu tidak diterima kerana sikap rakyat kita sendiri. Sikap ini merupakan kepercayaan, pandangan dan cara kita bertindak balas terhadapnya. Dari segi kepercayaan misalnya, bahasa ini tidak diyakini akan kemampuannya sebagai alat kemajuan, iaitu tidak mampu membawa kejayaan.

Tambah beliau, sikap seseorang juga berkaitan dengan kepercayaan yang melihat bahasa Melayu sebagai bahasa yang tiada nilai ekonomi yang tinggi berbanding dengan bahasa lain. Dari segi tindak balas misalnya, bahasa Melayu cuba ditolak apabila dikenakan penggunaannya yang wajib. Penolakan ini berlaku dalam pelbagai cara. Antaranya termasuklah keinginan atau desakan untuk diberi pilihan dalam menimba ilmu tertentu seperti mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa lain selain bahasa Melayu.

Sikap merupakan cabaran terbesar dalam memartabatkan bahasa Melayu, iaitu dalam usaha kita meletakkan bahasa Melayu yang merupakan bahasa negara pada tempat yang sewajarnya khususnya sebagai bahasa rasmi yang wajib penggunaannya dalam ranah rasmi negara. Usaha ini masih belum berjaya sepenuhnya meskipun dalam sektor awam diwajibkan penggunaannya seperti yang termaktub pada Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Profesor Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong menyampaikan syarahan yang bertajuk “Memartabatkan Bahasa Melayu: Cabaran dan Peranan Penjawat Awam”.

Sementara itu, majlis perasmian telah disempurnakan oleh YBrs. Tuan Mohd Sakeri Abdul Kadir, Setiausaha Bahagian Kawalan Kewangan Strategik dan Korporat Kementerian Kewangan Malaysia, wakil rasmi Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pengurusan), Kementerian Kewangan Malaysia. Dalam ucapannya, beliau berharap agar program kebahasaan seumpama ini dapat mencapai matlamatnya dalam usaha memperkasakan bahasa kebangsaan dan menyemarakkan budaya membaca masyarakat Malaysia, khususnya oleh penjawat awam di Sektor Perdana Menteri. Yang turut hadir ialah Tuan Haji Md Johari Hasan, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), DBP, yang menyampaikan ucapan alu-aluan dalam majlis tersebut.

Selain itu, sesi penyampaian hadiah bagi pertandingan yang telah diadakan bersempena dengan program DMK, iaitu Pertandingan Fotografi Telefon Pintar #marimembaca peringkat Kementerian Kewangan Malaysia turut disampaikan oleh YBrs. Tuan Haji Md Johari Hasan. Johan pertandingan tersebut milik Puan Dayana Ab Rahman manakala naib johan disandang oleh Puan Faizatul Iffah Sahar.  Tempat ketiga pula dimenangi oleh Puan Wan Norashikin Mohd Thair dan tiga orang pemenang sagu hati pula ialah Encik Muhamad Haziq Zaini Alamar, Puan Noor Shafiza Shaari dan Encik Muhammad Latif Mohd Yusuff.

Terdahulu, bagi menyahut seruan kerajaan, pelbagai aktiviti kebahasaan telah dilaksanakan bersempena dengan DBK dan DMK Sektor Perdana Menteri 2022. Antaranya termasuklah Majlis Syarahan Bahasa Jiwa Bangsa Sektor Perdana Menteri, Pertandingan Baca Naskhah Karya Agung peringkat Jabatan Perdana Menteri (18 Oktober 2022) dan Pertandingan Fotografi Telefon Pintar #marimembaca peringkat Kementerian Kewangan Malaysia (18 Oktober -31 Oktober 2022).

Barisan pemenang hadiah pertandingan fotografi telefon pintar #marimembaca.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.