9 November 2022, 21:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Nilai – Bahasa dan budi merupakan dua perkara yang penting dalam menggambarkan keperibadian dan perwatakan seseorang. Penggunaan bahasa yang indah ialah cermin keperibadian kita. Namun begitu, golongan muda masa ini dilihat semakin rapuh bahasanya dan acapkali menggunakan bahasa-bahasa yang tidak baik dan agak kasar dalam komunikasi mereka seharian. Sehubungan dengan itu, Perpustakaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)  dan Dewan Bahasa Pustaka (DBP) Wilayah Tengah, telah bekerjasama menganjurkan forum berjudul “Yang Indah Itu Bahasa” pada hari ini.

Menurut personaliti televisyen, Encik Ahmad Fedtri Yahya, selaku ahli panel forum tersebut, bahasa yang indah merupakan satu bentuk komunikasi yang baik. Kebanyakan ibu bapa sebenarnya telah mendidik anak masing-masing dengan bahasa yang baik tetapi apabila semakin membesar, mereka terdedah dengan bahasa yang tidak baik dan kasar melalui pergaulan dengan rakan-rakan sebaya.

Tambah beliau, bahasa Melayu juga sebagaimana bahasa lain berkembang dan mempunyai makna perkataan yang membawa makna berlainan daripada maksud asalnya seperti perkataan “membawang”. Katanya lagi, sebagai umat Islam, tiada ahli syurga yang berbahasa kasar. Namun begitu, orang muda kini begitu mudah menggunakan bahasa yang tidak baik kerana pengaruh sekeliling mereka memainkan peranan yang besar.

Menurut beliau, dakwah itu luas dan mengajak masyarakat bercakap dengan bahasa yang baik juga sebahagian daripadanya. Kita perlu melihat, mentaksir, menganalisis dan sentiasa menambah pengetahuan untuk berbahasa dengan baik.

Pencinta bahasa sebenarnya perlu banyak membaca. Sebenarnya situasi kini sangat membimbangkan kerana jika pencinta bahasa yang terdiri daripada mereka yang berusia telah tiada dan tinggallah generasi baharu yang lebih banyak berbahasa yang tidak baik akan menyebabkan bahasa Melayu semakin rapuh.

Katanya lagi, kebanyakan daripada golongan muda berasa bimbang untuk mempelajari bidang berkaitan dengan bahasa kerana dikatakan tidak mempunyai masa hadapan yang baik sedangkan bahasa tidak boleh bergerak sendiri tetapi bergantung kepada penuturnya.

Beliau turut berkongsi dengan khalayak tentang lirik-lirik lagu yang indah pada zamannya membesar sehingga menimbulkan rasa cinta akan bahasa itu berputik dalam dirinya Di Indonesia, para penjawat awamnya perlu menghafal banyak puisi kenegaraan supaya jiwa orang Indonesia berbekas dalam diri mereka. Beliau berkata, dalam memupuk kecintaan terhadap bahasa ibunda kepada anak-anaknya, beliau berbual menggunakan dialek kerana di sekolah anak-anak hanya bercakap bahasa standard.

Tulisan memerlukan penjelasan yang 4M, iaitu majlis seperti forum untuk berdiskusi, murabbi untuk menerangkan maksud penulisan tersebut dengan lebih jelas, memasyarakatkan karya itu melalui lagu contohnya agar lebih difahami dan memvisualkannya dalam drama pentas pendek sebagai contoh untuk difahami. Semua sudut dalam kehidupan kita ada makna yang tersirat.

Sementara itu, penceramah motivasi, Puan Fynn Jamal sebagai ahli panel kedua forum pula membuka perkongsiannya dengan menyatakan bahasa sebenarnya tiada harga jika tiada makna yang diletakkan. Golongan muda pada zaman ini terpaksa menggunakan bahasa yang diguna pakai oleh kebanyakan individu sekeliling mereka kerana mereka mahu diterima dalam kelompok tersebut.

Beliau juga sangat menghargai perasaan dan tidak kisah dengan pemilihan perkataan asalkan tidak kasar dan tidak membawa makna fasik. Keindahan bahasa antara setiap orang itu tidak sama.

Kita tidak boleh memaksa masyarakat untuk mencintai bahasa. Walaupun industri mengatakan bahawa lagu-lagu yang liriknya indah kurang digemari atau diminati oleh masyarakat tetapi saudara Fedtri masih kekal relevan dalam industri hingga kini kerana “naskhahnya” yang cantik. Sesuatu yang cantik dan indah sebenarnya kekal relevan kerana tidak ada sempadannya. Tanpa pencerita yang bagus, maka tidak adalah peristiwa yang terjadi pada hari ini yang dapat dikisahkan.

Beliau turut mencadangkan pemberian naskhah yang indah kepada golongan muda dalam usaha atau inisiatif untuk mendekatkan diri mereka dengan sastera. Jika tidak diberikan pendedahan tentang indahnya bahasa dan sastera, tidak mungkin golongan ini mahu cuba mengenalnya. Setelah itu, golongan yang telah meminatinya boleh cuba untuk mempengaruhi individu sekeliling mereka.

Demikianlah penerangan dan perbincangan menarik oleh dua ahli panel yang turut melibatkan sesi interaktif bersama-sama khalayak forum bersama-sama Timbalan Pengarah StraComm USIM, Encik Mohd Zaini Othman, yang bertindak selaku moderator. Forum yang berlangsung selama lebih kurang dua jam setengah ini diadakan di ruang legar perpustakaan USIM, yang juga bersiaran secara langsung secara dalam talian melalui USIMTV dan portal JendelaDBP

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.