Oleh Firdaus Mul
10 November 2022, 10:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Nilai –Penggunaan bahasa pada masa ini terutamanya penggunaan bahasa slanga dalam kalangan anak muda semakin menjadi-jadi. Bahasa slanga anak muda kini sudah mula bersalut dengan noda-noda pencemaran bahasa. Demikianlah antara kegusaran yang diluahkan oleh Encik Ahmad Fedtri Yahya, yang merupakan seorang daripada panel yang diundang dalam Rancangan Lidah Rakyat, iaitu Forum yang Indah Itu Bahasa, anjuran Perpustakaan Universiti Sains Islam Malaysia dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka.

Menurut beliau, penggunaan kesantunan berbahasa perlu dipupuk dalam lingkungan masyarakat hari ini, terutama kepada generasi muda. Bagi beliau, dalam kesantunan ada keindahan yang terkandung di dalamnya. Berdasarkan pemerhatiannya, beliau bimbang dengan situasi yang melanda anak-anak muda yang semakin mengabaikan aspek kesantunan berbahasa.

Jika kita lihat pada hari ini, budak-budak atau yang berumur muda jika bersembang dengan kawan-kawannya, dalam sebaris ayat itu penuh dengan nama-nama haiwan.

Beliau berpandangan bahawa jurang perbezaan antara generasi turut menyebabkan berlakunya kekurangan generasi pelapis yang tekun mempraktikkan keindahan berbahasa. Oleh itu, beliau berharap agar generasi muda pada hari ini perlu tekun membaca dan mendalami perihal kesantunan berbahasa.

Amalan mempraktikkan kesantunan berbahasa ini adalah satu perjuangan dan pencinta bahasa perlu bersedia menghadapi pelbagai rintangan dan dugaan seperti tegas beliau,  “Jika mahu berjuang, perlu bersedia juga menghadapi penentang”.

Sesi forum pada kali ini dikendalikan sepenuhnya oleh Encik Mohd Zaini Othman, selaku moderator yang turut menampilkan Puan Fyn Jamal, iaitu seorang penceramah motivasi dan juga cukup terkenal terutamanya dalam kalangan anak muda.

Menurut Puan Fyn Jamal, bahasa tidak akan mempunyai nilai jika tidak diberikan makna. Beliau juga berkongsi kegusaran yang sama berkaitan dengan kedudukan semasa penggunaan kesantunan berbahasa dalam kalangan masyarakat.

Tambah beliau, ketakutan yang mengundang tekanan daripada masyarakat sekeliling yang menyebabkan sebilangan masyarakat pada hari ini menjadi takut untuk mempraktikkan kesantunan berbahasa dan menggunakan bahasa baku sehingga ada dalam kalangan mereka yang terpaksa mengambil kebiasaan dengan mempraktikkan pengunaan bahasa pada masa ini untuk menghidupkan suasana semasa berkomunikasi, yang jelas mengandungi elemen pencemaran bahasa.

Penggunaan bahasa itu melibatkan pemilihan kata, asalkan tidak kasar dan memberikan makna kefasikan. Selain itu, mungkin juga orang tak nampak relevannya bahasa dengan sastera tetapi tanpa tukang cerita yang baik, tanpa penceritaan yang bagus, tiada sesiapa yang akan ingat akan sejarah yang terjadi pada hari ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.