Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Sebanyak 196 orang mahasiswa Management & Science University (MSU) yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan latar belakang pendidikan telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Lawatan yang diketuai oleh dua orang pensyarah, iaitu Dr. Siti Rabiatul Adawiah Jaffar dan Cik Maliati Mohamad ini bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada mahasiswa tentang fungsi dan peranan DBP dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, di samping mengetahui tentang pembentukan kata, istilah dan proses penerbitan buku dan majalah DBP.
Dr. Siti Rabiatul Adawiah Jaffar menjelaskan bahawa kebanyakan mahasiswa yang mengikuti lawatan ini terdiri daripada pelbagai kursus. Ada yang mengambil subjek Bahasa Kebangsaan dan ada juga dari Kelab Bahasa Melayu MSU. Menurutnya lagi, baru-baru ini terdapat pelajar yang telah berjaya menghasilkan kamus digital dialek bahasa Melayu untuk subjek kursus mereka.
Hal ini menunjukkan perkembangan positif bahasa Melayu dalam kalangan mahasiswa MSU. Oleh itu, bagi mendapatkan maklumat tentang bahasa Melayu dengan lebih mudah, tepat dan betul, mahasiswa telah diperkenalkan dengan laman web yang sering digunakan oleh masyarakat umum untuk mendapatkan rujukan dan panduan tentang bahasa Melayu, iaitu Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM), Khidmat Nasihat DBP (KNDBP), dan JendelaDBP.
Sesi lawatan dimulakan dengan taklimat dari Bahagian Perkamusan, yang memfokuskan sejarah penerbitan kamus dan pembentukan kata. Yang menariknya, taklimat ini turut diselangselikan dengan aktiviti kuiz dan ejaan. Semasa aktiviti roda kata, kebanyakan mahasiswa dapat menjawab soalan yang diberikan. Hal ini menunjukkan bahawa pengetahuan bahasa Melayu mahasiswa berada pada tahap yang baik dan boleh dibanggakan.
Melalui Bahagian Peristilahan dan Leksikologi pula, mahasiswa telah diberikan pengetahuan tentang pembentukan istilah yang dikeluarkan oleh DBP. Mahasiswa juga telah diberikan beberapa contoh istilah semasa yang dikeluarkan dalam pelbagai bidang. Kebanyakan daripada mereka teruja dengan padanan istilah yang diberikan bagi perkataan tersebut.
Sementara itu, penerbitan buku, majalah dan jurnal merupakan antara penerbitan utama di DBP. Oleh itu, melalui Bahagian Buku Umum, mahasiswa MSU telah diberikan maklumat tentang proses penerbitan dan penyuntingan buku. Mahasiswa MSU daripada pelbagai bidang pengajian seperti Perakaunan, Perniagaan, Psikologi, Pereka Bentuk, Sains Kesihatan, dan Undang-undang, telah diberi pendedahan dan peluang untuk menerbitkan buku di DBP bagi menambah dan memperkaya koleksi penerbitan buku DBP.
Melalui Akademi DBP pula, mahasiswa telah didedahkan dengan fungsi dan peranan Akademi untuk mengembangkan bahasa Melayu dengan menawarkan kursus penataran bahasa, sastera dan penerbitan pada peringkat serantau dan antarabangsa. Mahasiswa turut diberikan pendedahan kepada kursus Pusat Pembangunan Keilmuan dan Kemahiran Akademi DBP kerana sijil yang dikeluarkan itu diiktiraf oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia.
Selain itu, taklimat dari Bahagian Majalah pula memfokuskan penerbitan bercetak majalah dan jurnal, serta sohor kini yang boleh dicapai melalui laman web JendelaDBP. Berdasarkan 11 majalah bercetak, lapan daripadanya diterbikan dalam bentuk e-majalah yang mengandungi ruangan berita dan artikel. Dalam usaha untuk mempelbagaikan kandungan sohor kini e-majalah, mahasiswa juga digalakkan untuk menghantar karya dalam bentuk puisi, cerpen, artikel dan berita.
Sebelum berangkat pulang, mahasiswa dibawa ke Anjung DBP, iaitu kedai buku DBP untuk melihat produk penerbitan buku dalam pelbagai bidang. Selain itu, mereka turut dimaklumkan tentang Ujana DBP yang menawarkan khidmat jualan dan pameran buku di lokasi program atau aktiviti.
Program ini diharapkan dapat menjalinkan kerjasama yang erat antara DBP dengan MSU untuk melaksanakan program atau kegiatan bahasa, sastera dan penerbitan pada masa akan datang. Program seumpama ini juga merupakan antara inisiatif DBP untuk mendekati golongan remaja bagi bersama-sama memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara.