Oleh Firdaus Mul
10 November 2022, 18:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – “Bahasa Jiwa Bangsa” bukan hanya slogan semata-mata tetapi merupakan satu ikrar bagi seluruh rakyat Malaysia untuk taat berbahasa kebangsaan kerana bahasa adalah identiti bangsa Malaysia. Sehubungan dengan itu, “Rancangan Tutur Kita 2022: Manis Muka Molek Bicara” anjuran Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum, Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Dewan Bahasa Pustaka (DBP) telah menampilkan seorang panel berbangsa Cina yang cukup terkenal dengan kemahirannya menguasai tiga bahasa, iaitu Encik Cheah Jin Seng yang juga seorang pengacara. Rancangan ini pula dikendalikan oleh Encik Azimin Daud (moderator) yang merupakan Perancang Bahasa di DBP.

Menurut Encik Cheah Jin Seng, sebagai seorang rakyat Malaysia, menjadi seorang yang fasih berbahasa Melayu bukanlah satu pilihan tetapi menjadi suatu kewajiban. Hal ini demikian kerana bahasa kebangsaan merupakan identiti bangsa Malaysia. Pada masa yang sama, penguasaan bahasa lain tidak diketepikan. Beliau juga menegaskan bahawa fasih berbahasa kebangsaan perlu dijadikan keutamaan kerana bahasa ialah alat komunikasi setiap rakyat di negara ini.

Beliau turut mengakui akan cabaran dan rintangan yang dihadapi yang berkaitan dengan isu penguasaan bahasa kebangsaan. Beliau kecewa kerana masih ada sebilangan rakyat Malaysia yang tidak fasih berbahasa dan tidak memahami bahasa kebangsaan.

Kalau anda tidak faham bahasa kebangsaan, bagaimanakah anda boleh mendapatkan informasi yang tepat dan sahih daripada saluran-saluran rasmi?.

Bagi beliau, individu yang ingin fasih berbahasa Melayu tidak boleh berasa takut untuk bertutur di hadapan khayalak. Latihan yang konsisten akan membantu seseorang itu fasih berbahasa.

Cakap sahaja. Kawan-kawan Melayu saya tidak pernah mentertawakan saya semasa saya tersilap dalam pengucapan malahan mereka memberikan panduan.

Beliau turut menyatakan harapannya agar masyarakat Malaysia mengutamakan penguasaan berbahasa kebangsaan. Contohilah rakyat negara Indonesia dan Thailand yang mengamalkan bahasa kebangsaan untuk berkomunikasi.  

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.