16 November 2022, 09:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pemartabatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara Malaysia masih menjadi isu yang perlu diberi perhatian kerana kedudukannya yang masih dipersoalkan oleh segelintir masyarakat. Dalam mengulas dan membincangkan dengan lebih lanjut berkaitan dengan hal ini, pihak BERNAMA Radio telah menjemput Felo Majlis Profesor Negara, YBhg. Prof. Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong dalam slot “Pemikir Negara” kelolaan penyampainya, iaitu Ziana Nasir.

Menurut beliau, bahasa Melayu merupakan satu-satunya bahasa di dunia yang tidak dihormati sepenuhnya oleh warganegaranya sendiri sedangkan bahasa tersebut mewakili segenap lapisan masyarakat dan seluruh pelosok tanah air.

Masih ada warganegara terutamanya dalam kalangan kaum bukan Melayu yang belum boleh berbahasa Melayu dengan baik sedangkan negara kita telah 65 tahun merdeka dan Persekutuan Malaysia pula telah pun 59 tahun terbentuk.

Katanya lagi, perkara yang menyedihkan ialah ada dalam kalangan kaum Melayu sendiri yang mempertikaikan kemampuan bahasa Melayu untuk memandaikan anak bangsa dan membangunkan negara ini. Walaupun hanya segelintir yang mempunyai pandangan tersebut tetapi sebenarnya tidak boleh ada seorang pun yang mempunyai pandangan sebegitu terhadap bahasa kebangsaan. Bak kata pepatah “Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga”.

Sepatutnya penggunaan bahasa Melayu pada papan tanda juga perlu berkuatkuasa di seluruh negara di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976. Namun begitu, kebanyakan papan tanda dan iklan di negara kita terutamanya di bandar raya tidak menggunakan bahasa Melayu sedangkan penggunaannya merupakan keperluan dari sudut perundangan.

Beliau juga berkata, sikap masyarakat Malaysia menyebabkan usaha pemartabatan bahasa Melayu menjadi sukar kerana kebanyakannya kurang dan tidak yakin akan kemampuan bahasa ini untuk memajukan negara dan memandaikan anak bangsa. Bukan itu sahaja, bagi masyarakat, bahasa Melayu tidak mempunyai nilai ekonomi yang tinggi seperti bahasa Inggeris dan bahasa Mandarin. Bahasa Melayu mempunyai nilai budayanya yang tinggi.

Katanya lagi, usaha pemartabatan bahasa kebangsaan ini juga menempuh jalan sukar disebabkan tindak balas rakyatnya sendiri. Contohnya, apabila ingin memartabatkan kembali tulisan Jawi dan dimuatkan dalam sukatan pelajaran dan diajar di sekolah, terdapat tindak balas yang begitu agresif daripada pihak tertentu. Faktor sikap dan tindak balas rakyat yang negatif menyukarkan usaha perkembangan dan kemajuan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara ini.

Dalam usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu, masyarakat perlu mengubah sikap mereka terhadap bahasa ini. Masyarakat perlu yakin dan percaya akan kebolehannya untuk memajukan negara selain menyokong sepenuhnnya penggunaan bahasa tersebut dalam sektor pendidikan negara kita.

Tambah beliau, masyarakat perlu berusaha untuk meningkatkan lagi nilai ekonomi bahasa ini agar setanding dengan bahasa lain. Dalam usaha untuk mengubah sikap ini, pelbagai pihak perlu mempunyai perancangan yang rapi dan memupuknya sejak zaman sekolah lagi. Anak muda tidak boleh dibiarkan mencintai bahasa itu dengan sendirinya tanpa sebarang usaha pemupukan dari awal.

Jika dilihat, penggunaan bahasa kebangsaan di negara ini kurang memuaskan baik dari segi kualiti mahupun kuantiti. Kedua-dua aspek ini harus dipertingkat dan setiap warganegara perlu memberikan perhatian kepada penggunaan bahasa Melayu yang baik dan betul seperti yang disyorkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, selaku agensi bahasa yang ulung di negara ini.

Penggunaan bahasa Melayu yang berkualiti adalah penting terutamanya apabila diguna pakai dalam urusan rasmi khususnya medium yang berbentuk tulisan. Hal ini kerana kita mempunyai masa untuk menyuntingnya dari segi ejaan dan tatabahasa berbanding dengan bentuk pertuturan.

Tambahnya, bahasa Melayu juga perlu berkualiti dalam siaran yang berbentuk berita atau dokumentari. Namun begitu, terdapat pengecualian bagi program yang bersiaran secara langsung disebabkan oleh siaran ini berlaku secara spontan sehingga menyukarkan masyarakat daripada tidak menggunakan bahasa rojak.

Dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu di negara ini, terdapat satu sisi yang sangat penting, iaitu dengan menggunakan perkataan asli bahasa Melayu. Perkataan yang sudah mantap penggunaannya janganlah sesekali digantikan oleh perkataan pinjaman bahasa lain. Contohnya, perkataan “solusi” bagi menggantikan perkataan asli bahasa Melayu yang telah mantap, iaitu “penyelesaian”.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.