Oleh Kho Thong Eng
6 Disember 2022, 14:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pelengkap merupakan satu kata atau lebih yang melengkapkan maksud sesuatu ujaran atau ayat. Pada umumnya, pelengkap dikaitkan dengan kata kerja tak transitif tertentu, dan meliputi kata nama, kata adjektif dan frasa sendi nama.

Pelengkap kata nama berkaitan dengan kata kerja tak transitif ada, menjadi dan kata kerja tak tarnsitif dengan imbuhan beR-…-kan. Sila lihat contoh yang berikut:

1a.  Dia ada harta.

1b.  Dia menjadi guru.

1c.  Dia tidur berselimutkan embun.

Pelengkap kata adjektif berkaitan dengan kata kerja tak transitif tertentu. Sila lihat contoh yang berikut:

2a.  Dia menjadi pandai.

2b.  Dia tinggal miskin.

2c.  Kedudukannya bertambah kukuh.

2d.  Kesihatannya beransur pulih.

Pelengkap frasa sendi nama juga berkaitan dengan kata kerja tak transitif tertentu. Sila lihat contoh yang berikut:

3a.  Dia berasal dari Kedah.

3b.  Lori itu membelok ke kiri.

3c.  Dia singgah di kedai buku.

3d.  Dia tinggal di kampung

3e.  Dia menetap di Miri.

Pelengkap juga boleh meliputi klausa pancangan komplemen. Sila lihat contoh yang berikut:

4a.  Dia berpendapat bahawa pendidikan penting.

4b.  Dia berharap bahawa dia dapat balik ke kampung.

Walau bagaimanapun, ada kata kerja tak transitif yang dapat menerima dua jenis pelengkap, atau tidak diikuti pelengkap. Hal ini bergantung pada konteks ayat yang berkenaan. Sila lihat contoh yang berikut:

5a.  Dia menjadi guru. (pelengkap kata nama)

5b.  Dia menjadi pandai. (pelengkap kata adjektif)

5c.  Tanamannya menjadi. (tanpa pelengkap)

 

6a.  Dia tinggal miskin. (pelengkap kata adjektif)

6b.  Dia tinggal di Miri. (pelengkap frasa sendi nama)

Selain pelengkap yang wajib, terdapat juga pelengkap yang tidak wajib. Sila lihat contoh yang berikut:

6a.  Dia bermain bola.

6b.  Dia bermain.

 

7a.  Dia belajar muzik.

7b.  Dia belajar.

Dalam ayat 6a dan 7a, pelengkap kata nama bola dan muzik menjadikan maksud ayat lebih khusus dan lebih jelas berbanding dengan ayat 6b dan 7b yang tidak dilengkapi pelengkap. Walau bagaimanapun, pelengkap pada ayat 6a dan 7a bersifat pilihan, dan boleh digugurkan tanpa menjejaskan struktur ayat.

Biasanya kata kerja transitif hanya perlu diikuti oleh objek, sama ada objeknya ialah kata tunggal, frasa atau klausa komplemen. Sila lihat contoh yang berikut:

8a.  Dia menebang pokok.   (objek kata nama)

8b.  Dia merebus udang gara itu.   (objek frasa nama)

8c.  Dia menyedari bahawa dirinya telah ditipu.   (objek klausa komplemen)

Walau bagaimanapun, terdapat sebilangan kata kerja transitif dengan objek yang perlu dilengkapkan maksudnya dengan pelengkap. Sila lihat contoh yang berikut:

9a.  Tuhan menjadikan alam ini.

9b.  Tuhan mewujudkan alam ini.

 

10a.  Perbuatannya menjadikan ibunya marah.

10b.  *Perbuatannya menjadikan ibunya.

 

11a.  Kekasarannya menjadikan adiknya menangis.

11a.  *Kekasarannya menjadikan adiknya.

 

12a.  Dia menjadikan anaknya pengurus.

12b.  *Dia menjadikan anaknya.

Dalam kelompok ayat 9, kata kerja transitif menjadikan yang bermaksud “mewujudkan” hanya perlu diikuti oleh objek alam ini. Namun demikian, dalam kelompok ayat 10, ayat yang berkenaan tidak sempurna maksudnya jika kata kerja transitif menjadikan dan objeknya ibunya tidak diikuti oleh pelengkap kata adjektif seperti marah. Dalam kelompok ayat 11, kata kerja transitif menjadikan dengan objeknya adiknya tidak lengkap maksudnya jika tidak diikuti oleh pelengkap kata kerja menangis. Dalam kelompok ayat 12 pula, kata kerja transitif menjadikan dengan objeknya anaknya tidak lengkap maksudnya jika tidak diikuti oleh pelengkap kata nama pengurus.

Selain kata kerja transitif menjadikan, kata transitif menyebabkan dan mengakibatkan juga perlu diikuti objek dan pelengkap yang sesuai. Sila lihat contoh yang berikut:

12a.  Perbuatannya menyebabkan ibunya marah.

12b.  *Perbuatannya menyebabkan ibunya.

 

13a.  Kekasarannya menyebabkan adiknya menangis.

13a.  *Kekasarannya menyebabkan adiknya.

 

14a.  Perbuatannya mengakibatkan ibunya marah.

14b.  *Perbuatannya mengakibatkan ibunya.

 

15a.  Kekasarannya mengakibatkan adiknya menangis.

15a.  *Kekasarannya mengakibatkan adiknya.

Walau bagaimanapun, kata kerja menjadikan, menyebabkan dan mengakibatkan yang perlu diikuti oleh objek dan pelengkap dapat digantikan dengan kata kerja transitif lain yang tidak memerlukan pelengkap. Sila lihat contoh yang berikut:

16a.  Perbuatannya menjadikan ibunya marah.

16b.  Perbuatannya menyebabkan ibunya marah.

16c.  Perbuatannya mengakibatkan ibunya marah.

16d.  Perbuatannya memarahkan ibunya.

 

17a.  Hasutannya menjadikan pergaduhan tercetus.

17b.  Hasutannya menyebabkan pergaduhan tercetus.

17c.  Hasutannya mengakibatkan pergaduhan tercetus.

17d.  Hasutannya mencetuskan pergaduhan.

 

18a.  Kecuaiannya menjadikan masalah timbul.

18b.  Kecuaiannya menyebabkan masalah timbul.

18c.  Kecuaiannya mengakibatkan masalah timbul.

18d.  Kecuaiannya menimbulkan masalah.

Ayat 16d tidak perlu dilengkapi dengan sebarang pelengkap kerana kata kerja transitif memarahkan sudah mendukung maksud “menjadikan seseorang marah”. Ayat 17d tidak perlu dilengkapi dengan sebarang pelengkap kerana kata kerja transitif mencetuskan sudah mendukung maksud “menjadikan sesuatu hal tercetus”. Ayat 18d pula tidak perlu dilengkapi dengan sebarang pelengkap kerana kata kerja transitif menimbulkan sudah mendukung maksud “menjadikan sesuatu perkara timbul”.

 

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.