8 Disember 2022, 20:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Duta bahasa merupakan istilah yang jarang-jarang didengar kerana kebiasaannya kita hanya mendengar tentang individu yang dilantik menjadi duta bagi produk barangan dan perkhidmatan. Bagi mengulas lebih lanjut hal yang berkaitan dengan duta bahasa, BERNAMA Radio telah menjemput Pensyarah Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, Prof. Madya Dr. Salmah Jan Noor Muhammad dalam slot Cakna Bahasa, kelolaan penyampainya, Ziana Nasir pada petang tadi.

Menurut beliau, duta secara umumnya merupakan individu yang memegang peranan yang besar. Berdasarkan Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM), duta ialah utusan atau wakil yang dilantik secara sah atau dihantar oleh kerajaan atau pertubuhan ke negara asing. Yang sebenarnya, konsep duta ini telah pun ada pada zaman dahulu yang berpusat di istana tetapi kini berada di Kementerian Luar Negeri. Namun begitu, tanggungjawabnya masih sama. Dalam manuskrip Melayu lama, Kesultanan Melaka telah pun mempunyai utusannya seperti Hang Tuah dan Hang Nadim.

Kata beliau, duta bahasa merupakan individu yang mewakili perilaku dan pertuturan sesuatu bangsa itu. Dalam manuskrip Melayu lama seperti Sastera Kenegaraan, tertera kriteria dalam pemilihan dan pelantikan seseorang utusan. Antara kriteria tersebut termasuklah seseorang itu mestilah berpengetahuan, berketerampilan, berkelakuan baik, amanah dalam menjalankan tugas, fasih dan mempunyai nada yang baik tanpa mengguris perasaan orang yang mendengar atau berlawan cakap dengannya.

Tambah beliau, kriteria untuk menjadi duta bahasa pula ialah seseorang itu mestilah bangga berbahasa Melayu dan menjiwai sastera dan budaya Melayu. Selain itu, seseorang itu mestilah mempunyai keyakinan, bersikap komunikatif dan berketerampilan untuk menyebatikan bahasa dan sastera Melayu dalam masyarakat agar menggunakan dua bidang yang berkolerasi ini dengan tepat dan betul. Individu yang dilantik menjadi duta bahasa mestilah seseorang yang cekap dalam kedua-dua bidang ini. Penilaian dan pemilihan duta bahasa juga seharusnya dilakukan oleh mereka yang mempunyai kepakaran dalam bidang bahasa dan sastera.

Duta bahasa boleh dikatakan sebagai pempengaruh untuk bercakap dan melontarkan pandangan dari aspek bahasa dan sastera selain berperanan untuk menjaga kelestarian bahasa. Duta bahasa juga perlu melindungi serta mempromosikan bahasa Melayu  dan seterusnya mensosialisasikan penggunaan bahasa Melayu yang betul dalam masyarakat.

Katanya lagi, kerancuan bahasa Melayu terutamanya dalam media sosial pada masa ini sangat membimbangkan. Kerancuan bahasa yang berleluasa dikhuatiri boleh menghilangkan identiti dan jati diri kerana menggunakan bahasa campuran atau istilah lainnya, bahasa rojak. Masyarakat perlu berjiwa besar dan tidak mengagungkan bahasa rancu ini dalam kehidupan.

Juruhebah dan pengamal media massa sebenarnya mempunyai jasa yang sangat besar dalam memperkasakan bahasa Melayu. Kelompok ini menjadi suri teladan kepada masyarakat dalam penggunaan bahasa Melayu yang betul.

Prof. Madya Dr. Salmah Jan Noor Muhammad ketika bersiaran dalam slot Cakna Bahasa, BERNAMA Radio.

Sebagai contoh, golongan ini juga boleh memantapkan penyampaian masing-masing dengan merapatkan diri dengan pakar-pakar bahasa dan peristilahan dari Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Pengaruh mereka boleh digunakan untuk mempromosikan istilah bahasa Melayu yang baharu agar masyarakat tidak terlalu bergantung kepada perkataan dalam bahasa asing.

Beliau berkata, bahasa Melayu merupakan jati diri bangsa tetapi masyarakat tidak dihalang untuk belajar dan menguasai bahasa lain selain bahasa Melayu. Namun begitu, kita perlu berbangga akan bahasa kita, iaitu bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan. Usaha mantan Perdana Menteri dalam memperkasakan bahasa Melayu ke peringkat antarabangsa sememangnya baik tetapi pelbagai pihak perlu terlebih dahulu memperkasakan penggunaan bahasa ini di dalam negara.

Usaha pihak DBP Wilayah Selatan yang menganjurkan pertandingan Pencarian Duta Bahasa pada September lalu dilihat merupakan langkah terbaik dalam mencari legasi penyambung bahasa kebangsaan negara. Semoga usaha tersebut dapat diteruskan dan tidak berhenti setakat pertandingan tersebut sahaja.

Mengakhiri perkongsiannya, beliau berkata, tanpa ilmu hati itu mati. Duta bahasa inilah yang bakal menjadi pemangkin untuk meningkatkan jati diri masyarakat Malaysia terutamanya dalam golongan muda. Beliau turut mencadangkan agar pihak DBP melantik duta muda bahasa kerana legasi inilah yang merupakan individu yang mampu memperjuangkan bahasa Melayu. Masyarakat pula seharusnya berbangga akan bahasa Melayu kerana bahasa Melayu merupakan jati diri bangsa.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.