Oleh Asad Mohamed
9 Disember 2022, 18:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Serdang – Sambutan Putra® LACD atau Language and Cultural Day anjuran Pusat Pemajuan Kompetensi Bahasa(CALC), Universiti Putra Malaysia (UPM), yang diadakan kelmarin berjaya menonjolkan kepelbagaian kaedah pengajaran dan pembelajaran bahasa kepada umum khususnya kepada siswa di UPM. Berperanan dalam menawarkan kursus Bahasa Melayu dan pelbagai kursus bahasa asing, Bahagian Bahasa Melayu dan Bahasa Global mengambil peluang dan inisiatif dalam menarik minat dan semangat siswa untuk meneroka keupayaan linguistik mereka dalam mempelajari dan menguasai bahasa ketiga.

Mewakili Naib Canselor, UPM bagi majlis perasmian, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Abdul Mua’ti @ Zamri Ahmad, iaitu Pengarah Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat menyatakan bahawa program didik bahasa dan budaya yang bertemakan makanan, hiburan dan permainan ini sangat bertepatan dengan citra masyarakat Malaysia, khususnya masyarakat Melayu yang gemar akan temasya yang melibatkan makanan, hiburan dan permainan.

Yang turut menyampaikan ucapan ialah Puan Iza Dura Abdul Manan, iaitu Pengarah Pusat Pemajuan Kompetensi Bahasa, yang berharap agar program tersebut dapat membangunkan kemahiran insaniah siswa dan memberikan pengalaman dan kenangan unik kepada semua pengunjung. Yang turut hadir ialah YBhg. Profesor Dr. Arifin Abdu, Timbalan Naib Canselor, Universiti Putra Malaysia.

Program ini turut dimeriahkan dengan persembahan tarian oleh pelajar UPM.

Antara acara yang berlangsung pada hari tersebut termasuklah pertandingan nyanyian, peragaan pakaian, persembahan kebudayaan, demonstrasi masakan, reruai pameran dan pertandingan pidato bahasa Melayu. Dengan kemeriahan dan jumlah penyertaan yang begitu memberangsangkan, dianggarkan kira-kira 2000 orang pengunjung khususnya siswa UPM tidak melepaskan peluang untuk meneroka ilmu bahasa dan menimba pengalaman dalam program ini.

Menarik perhatian pada program tersebut ialah reruai pameran bahasa-bahasa asing yang ditawarkan di CALC, UPM. Bukan sahaja mempamerkan keunikan bahasa yang diajar, malah turut memperkenalkan pelbagai aspek kebudayaan termasuklah pakaian, permainan bahasa serta makanan dan minuman.

YBhg. Prof. Dr. Arifin Abdu tidak melepaskan peluang mencuba pakaian tradisi Turki.

 

YBhg. Prof. Dr. Arifin Abdu dan YBhg. Prof.  Dato’ Dr. Abdul Mua’ti tidak melepaskan peluang mencuba permainan bahasa yang diadakan.

Yang menarik mengenai program Putra® LACD 2022 pada kali ini ialah pertandingan Duta Kelas Bahasa atau yang dinamakan Language Cosplay, yang menerima penyertaan yang sangat memberangsangkan daripada para pelajar dari pelbagai kursus bahasa. Peserta yang menyertai acara ini bukan sahaja memperagakan pakaian, malah berpeluang berkomunikasi dengan para pengunjung untuk mempromosikan dan berkongsi tentang budaya dan bahasa yang mereka pelajari.

Begitu juga dengan pertandingan The Masked Talent, iaitu pelajar tidak kekok untuk mempersembahkan keunikan lagu bahasa asing yang menarik dan terkini. Banyak peserta yang mendapat tepukan gemuruh dengan kemerduan suara menerusi nyanyian. Ada yang mencuit hati dan ada juga yang mengagumkan penonton dengan kemampuan menyebut perkataan bahasa Melayu dengan betul oleh peserta yang berasal dari negara luar. Tiada yang lama, maka tiadalah yang baharu, tarian tradisi pelbagai kaum juga dipersembahkan keindahannya oleh pelajar UPM.

Kaoru Nakajima (barisan kedua, pertama dari kanan), wakil kedutaan Jepun di Malaysia turut hadir untuk memberikan sokongan kepada pelajar antarabangsa UPM yang mengambil peluang dan kesempatan mempelajari bahasa Melayu.

 

Antara pelajar yang memenangi hadiah bagi pertandingan yang diadakan.

Sebagai usaha membangunkan imej siswa yang mapan, pertandingan pidato bahasa Melayu juga telah diadakan. Dua kategori dipertandingkan bagi merebut gelaran juara Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu peringkat UPM. Bagi kategori Alam Melayu dijuarai oleh Zahrah Atthafiya, iaitu pelajar UPM yang berasal dari Indonesia, manakala bagi kategori antarabangsa pula dijuarai oleh Usama Altaf, iaitu pelajar antarabangsa UPM yang berasal dari Pakistan.

Saban tahun pertandingan ini semakin mendapat sambutan kerana para pelajar tidak mahu melepaskan peluang menunjukkan kemampuan berucap dalam bahasa Melayu termasuklah pelajar antarabangsa yang mewakili negara masing-masing. Tidak kurang juga ada yang menyatakan hasrat untuk melakarkan nama dalam pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri yang akan datang untuk mengharumkan nama universiti dan negara yang diwakili.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.