10 Disember 2022, 03:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kecintaan terhadap bahasa Melayu harus terus diperkasa dalam kalangan warga KPT khususnya pelajar-pelajar IPT agar obor bangga dan cinta akan bahasa kebangsaan terus menyala. Saya melihat banyak bakat telah dicungkil dalam acara-acara yang dianjurkan  seperti pertandingan Pidato, Nyanyian Lagu Rakyat dan Sahibba serta Poster Kajian dalam bahasa Melayu. Hal ini menunjukkan bahawa bahasa Melayu berupaya menjadi wadah dalam arena penyelidikan.

Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar ketika menyampaikan ucapan.

Demikian kata-kata Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar ketika merasmikan Sambutan Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK) dan Penganugerahan Tokoh Akademik Bahasa Melayu  KPT 2022 di Dewan Za’aba, Kementerian Pengajian Tinggi, Putrajaya petang semalam. Dalam ucapannya, Dato’ Seri Abdul Razak turut menyatakan bahawa DBK merupakan satu pelan yang komprehensif untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa utama di Malaysia. Semua usaha yang dilakukan ini adalah untuk memastikan kedudukan bahasa Melayu kukuh di samping meletakkan nilai ilmu dalam bahasa tersebut. Tambah beliau lagi, kementerian sentiasa berusaha memantau dan memainkan peranan dalam memastikan pelibatan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) negara dalam memartabatkan bahasa Melayu.

KPT sentiasa komited mendorong aspirasi mengukuhkan kedudukan bahasa Melayu khususnya di institut pendidikan tinggi. Pelbagai inisiatif diadakan seperti kewujudan pusat-pusat pendidikan bahasa Melayu di universiti awam. Antaranya ialah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) di Universiti Kebangsaan Malaysia dan Akademi Pengajian Melayu (APM) di Universiti Malaya.

Bagi pihak kementerian, saya menyeru agar semua warga pendidikan tinggi bekerjasama khususnya dalam kalangan ilmuan, pakar bahasa, agensi kerajaan dan swasta serta industri bagi memastikan bahasa Melayu muncul sebagai bahasa ilmu seterusnya menjadi bahasa antarabangsa.

Sambutan ini merupakan kemuncak kepada program Dekad Bahasa Kebangsaan yang bertujuan memperkasa bahasa kebangsaan dan meningkatkan semangat kecintaan masyarakat terhadap bahasa kebangsaan. Acara tahunan berprestij, iaitu Penganugerahan Tokoh Akademik Bahasa Melayu Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) 2022 pula dianjurkan bagi mengiktiraf sumbangan individu daripada golongan akademik dalam memartabatkan bahasa Melayu dalam pelbagai disiplin ilmu di peringkat institusi pendidikan tinggi awam (IPTA), politeknik serta kolej komuniti. Anugerah unggul ini merupakan salah satu inisiatif strategik yang terkandung dalam Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu di Institut Pendidikan Tinggi (IPT) 2016 hingga 2020 di bawah Objektif 1, iaitu “Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu”.

Barisan tetamu kehormat bersama-sama para penerima anugerah.

Pada tahun ini, Profesor Dr. Mohammad Nazri Mohd Jaafar dari Universiti Teknologi Malaysia telah dinobatkan sebagai Tokoh Akademik Bahasa Melayu 2022 manakala Ts. Dr. Izwah Ismail dari Politeknik Ungku Omar telah dianugerahkan Tokoh Akademik Bahasa Melayu Sektor Teknikal 2022. Anugerah Tokoh Harapan Akademik Bahasa Melayu pula dianugerahkan kepada Profesor Madya Dr. Abdul Halim Abdullah dari Universiti Teknologi Malaysia. Anugerah ini diberikan kepada tokoh yang menggunakan, membangunkan dan memartabatkan bahasa Melayu sebagai wahana aktiviti akademik dalam disiplin ilmu mereka.

Tokoh Akademik Bahasa Melayu 2022, Profesor Dr. Mohammad Nazri Mohd Jaafar.

Penerima Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu (ATABM), Profesor Dr. Mohammad Nazri Mohd Jaafar menyatakan penghargaan dan terima kasih kepada KPT dan Ahli Jawatankuasa ATABM, di samping penghargaan kepada Universiti Teknologi Malaysia, khususnya Fakulti Kejuruteraan Mekanikal atas ruang yang diberikan untuk memartabatkan bahasa Melayu.

 

Saya percaya penganugerahan ini akan terus mendorong saya untuk terus memartabatkan bahasa Melayu dalam pelbagai kesempatan yang ada walaupun telah bersara kelak. Pada masa hadapan, besarlah harapan saya agar bahasa Melayu akan dapat terus dimartabatkan di peringkat pendidikan tinggi terutama dalam aspek pengajaran dan pembelajaran, penulisan dan lain-lain, khususnya dalam bidang kejuruteraan.

Dalam majlis ini juga, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang Sayembara DBK termasuklah Sayembara Sahibba, Pidato, Nyanyian Lagu Rakyat dan Poster Kajian dalam bahasa Melayu. Yang berikut merupakan senarai pemenang bagi sayembara tersebut mengikut kategori:

Johan Sayembara Sahibba, Nik Zarifahana Mohd Fakri.

Sayembara Sahibba:

Johan: Nik Zarifahana Mohd Fakri

Naib Johan: Nor Hafizah Abdul Rahman

Tempat Ketiga: Nur Khairunnisa Abu Hasan

 

 

Johan Sayembara Pidato, Muhammad Syazwan Sulaiman.

Sayembara Pidato:

Johan: Muhammad Syazwan Sulaiman

Naib Johan: Muhammad Jihadullah Othman

Tempat Ketiga: Anis Akmal Shabudin

 

 

Johan Sayembara Nyanyian Lagu Rakyat, Aliff Firdaus Abd Rahman.

Sayembara Nyanyian Lagu Rakyat:

Johan: Aliff Firdaus Abd Rahman

Naib Johan: Mohd Hanif Khairuddin

Tempat ketiga: Muhamusyarrifa Hashim

 

 

Turut hadir dalam majlis unggul ini ialah Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP; Dato’ Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT; Datuk Dr. Mohd Zabri Yusoff, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT; Dr. Haji Mohd Zahari Ismail, Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti; naib-naib canselor universiti awam dan pegawai-pegawai kanan kementerian.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.