14 Disember 2022, 09:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur Bahasa tubuh atau bahasa badan merupakan bahasa bukan lisan yang digunakan untuk berkomunikasi. Hampir 50 peratus hingga 70 peratus daripada komunikasi yang terjalin datangnya daripada bahasa tubuh dan bukannya daripada kata-kata yang diucapkan oleh seseorang. Bagi membincangkan isu ini dengan lebih lanjut, Rancangan Selamat Pagi Malaysia telah mengundang Presiden Persatuan Bahasa Tubuh Malaysia, Tuan Jackson Yogarajah.

Jackson Yogarajah berkongsi maklumat tentang bahasa badan ketika bersiaran secara langsung.

Menurut beliau, istilah bahasa tubuh berasal daripada istilah bahasa Inggeris, iaitu body language. Jika diikutkan, bahasa tubuh tidak mempunyai makna kerana tubuh tidak mempunyai bahasa. Namun begitu, secara umumnya bahasa tubuh membawa maksud komunikasi tanpa lisan.

Antara bahasa tubuh yang perlu diberi perhatian semasa berkomunikasi ialah mata. Bahasa yang digambarkan melalui mata dapat mempengaruhi pemikiran seseorang sebanyak 75 peratus. Gerakan mata mampu menunjukkan kebenaran sesuatu perkara yang diceritakan. Misalnya, jika seseorang mereka cerita, matanya akan bergerak ke arah kanan manakala jika mata bergerak ke arah kiri, mereka sedang cuba mengumpul memori.

Selain mata, bahasa tubuh sebenarnya dapat digambarkan melalui beberapa tingkah laku dan gerak-geri seseorang termasuklah ekspresi muka, postur badan, gerak isyarat, pergerakan mata, sentuhan dan penggunaan ruang. Bahasa tubuh ini juga boleh menggambarkan tahap keyakinan seseorang.

Bahasa tubuh amat penting terutamanya dalam proses siasatan. Para penyiasat akan dapat membaca mesej penting melalui bahasa tubuh terutamanya berdasarkan gerakan mata. Mereka akan memerhatikan sama ada percakapan individu yang disiasat tersebut selari dengan bahasa tubuhnya.

Beliau turut berkongsi buku tulisannya yang bertajuk A to Z About Body Language kepada penonton di hujung sesi perkongsiannya. Bagi masyarakat yang ingin mengetahui dan mendalami berkenaan dengan bahasa tubuh, mereka boleh mendapatkan buku tersebut di pasaran sama ada melalui kedai-kedai buku berhampiran ataupun secara dalam talian.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.