15 Disember 2022, 13:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bangi – Kecemerlangan Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) terus diiktiraf apabila kini dalam proses untuk dinaiktarafkan sebagai Pusat Kecemerlangan Pengajian Tinggi (HiCoE). ATMA juga kini sedang dalam usaha untuk menjalinkan kerjasama dengan Jawaharlal Nehru University di India bagi mewujudkan Kursi Pengajian Melayu di institusi berkenaan.

Demikian antara usaha dan kejayaan yang sedang dan akan dicapai oleh ATMA dalam usaha memperkasakan bidang alam dan tamadun Melayu. Hal ini dinyatakan oleh YBhg. Prof. Dato’ Ts. Dr. Norazah Mohd Nordin, iaitu Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, UKM, menerusi ucap utamanya pada majlis Syarahan Khas yang berjudul “Imbasan dan Hala Tuju ATMA”, oleh SN YBhg. Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh di Bilik Majlis, Bangunan Canselori, UKM, pada pukul 9.30 pagi tadi bersempena dengan sambutan Jubli Emas ATMA Ke-50.

Menurut beliau, ATMA mempunyai sejarah penubuhan yang panjang dan telah menempuh pelbagai cabaran sehingga berjaya menjadi sebuah institut alam dan tamadun
Melayu yang tersohor.

Kini ATMA mempunyai empat bidang tujahan utama, iaitu Bahasa, Linguistik dan Persuratan Alam Melayu, Falsafah dan Epistemologi Alam Melayu, Arkeologi, Sejarah dan Budaya Alam Melayu dan Sains dan Teknologi Alam Melayu.

Tambah beliau, keempat-empat tujahan ini memenuhi matlamat utama penubuhan ATMA, iaitu untuk memperkukuh pengajian pemikiran, peradaban dan teknologi Melayu, serta mengantarabangsakan pengajian alam dan tamadun Melayu sebagai penyumbang utama peradaban Asia Tenggara.

Antara kejayaan ATMA dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu termasuklah mengadakan Kod Amalan Bahasa Melayu di persada antarabangsa (KAMPA), penerbitan jurnal ATMA dari pelbagai negara yang meliputi bidang bahasa, sejarah, arkeologi, budaya, sains dan teknologi Alam Melayu dan Jurnal Alam Sekitar, Sejarah dan Warisan Asia (AJEHH) yang berkaitan dengan hasil penyelidikan yang berkaitan dengan alam sekitar, sejarah, arkeologi, budaya dan warisan di Malaysia dan dunia luar.

Majlis ini turut dihadiri oleh YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan (Pengarah ATMA, yang juga Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka), SN YBhg. Datuk Dr. Siti Zainon Ismail, para pegawai UKM dan beberapa orang mantan Pengarah ATMA serta para tetamu undangan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.