22 Disember 2022, 15:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bahasa Melayu merupakan bahasa antarabangsa yang turut dipelajari sebagai bahasa kedua oleh masyarakat luar termasuklah masyarakat di Jepun. Sehubungan dengan itu, bagi mengetahui sejarah perkembangan bahasa Melayu di Jepun, Persatuan Pengajian Jepun Malaysia (MAJAS) dan Yayasan Jepun, dengan kerjasama Universiti Malaya dan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), menganjurkan Syarahan Umum MAJAS yang bertajuk “Sejarah Perkembangan Bahasa Melayu di Jepun”. Syarahan ini disampaikan oleh Profesor Universiti Nanzan, Jepun, iaitu Prof. Dr. Mikihiro Moriyama melalui aplikasi Zoom pada pukul 9.00 pagi tadi.

Menurut beliau, orang Jepun mula mempelajari bahasa Melayu pada akhir abad ke-19, manakala sekolah yang memulakan pengajaran mata pelajaran Bahasa Melayu dan menerbitkan buku bahasa Melayu pula bermula pada awal abad ke-20.

Beliau turut mengupas tentang permulaan pembelajaran bahasa Melayu pada peringkat awal, semasa Perang Dunia Kedua dan pembelajaran bahasa asing dan bahasa ibu.

Permulaan pembelajaran bahasa Melayu di Jepun adalah dengan penerbitan buku percakapan bahasa Melayu pertama yang berjudul Taiyaku Mago Kaiwa Hen, yang disusun oleh Otohiko Takaoka dan buku pelajaran pertama, iaitu Shinpen Marai-go Dokusyu yang disusun oleh Gisaburo Yamamichi pada tahun 1912. Orang Jepun mula mempelajari bahasa Melayu kerana mahu berdagang di daerah selatan.

Prof. Dr. Mikihiro Moriyama ketika sedang menyampaikan syarahannya.

Menurutnya lagi, orang Jepun mula belayar ke benua Asia Tenggara khususnya ke Semenanjung Melayu dan Kepulauan Hindia Belanda setelah Pemerintahan Shogun Tokugawa berakhir pada tahun 1968 kerana pemerintah Jepun mula menjadi negara terbuka pada masa tersebut.

Peningkatan ekonomi antara Jepun dengan negara luar memerlukan masyarakatnya mempelajari pelbagai bahasa termasuklah bahasa Melayu. Pada tahun 1908, pemerintah Jepun membuka Program Intensif Bahasa-bahasa Timur di Akademi Bahasa-bahasa Tokyo. Pada tahun yang sama, Kursus Bahasa Melayu juga dibuka di daerah Tokyo. Akademi bahasa ini akhirnya berkembang menjadi universiti di Jepun.

Tambah beliau, pada tahun 1921, sekolah yang menyediakan pembelajaran bahasa asing termasuklah Program Bahasa Melayu dibuka di Osaka oleh pemerintah Jepun. Semasa zaman tersebut, terdapat dua buah sekolah tinggi di daerah Tokyo dan dua buah sekolah tinggi di Kansai, Osaka, yang menawarkan mata pelajaran Bahasa Melayu dan bahasa Jepun semasa permulaan pembelajaran.

Bahasa Melayu di Semenanjung Melayu diajarkan kepada orang Jepun disebabkan oleh faktor perdagangan dan perniagaan mereka di Semenanjung Melayu. Antara guru yang mengajar subjek Bahasa Melayu di Akademi Bahasa-bahasa Tokyo pada masa tersebut ialah Ibrahim Ahmad, Ahmad Ambac, Bachik Wan Chik, Ibrahim Pachee dan Abdul Rani Haji Abdullah. Antara guru-guru tersebut, Bachik Wan Chik merupakan tokoh yang paling berjasa dalam hal pembelajaran bahasa Melayu di Jepun.

“Pembelajaran Bahasa Melayu semasa Perang Dunia Kedua di Jepun berubah daripada bahasa Melayu Semenanjung kepada bahasa Melayu di Hindia Belanda. Pada tahun 1941 hingga tahun 1945, banyak orang Jepun yang mula mempelajari bahasa Melayu dan didorong oleh keperluan perang yang mendadak,” jelasnya.

Tambahnya lagi, bahasa Melayu dipelajari pada masa tersebut demi kemakmuran Asia Raya dan kejayaan penjajahan Jepun. Semua orang Jepun harus menyumbang demi kemenangan perang dan hubungan antara orang Jepun dengan Asia Tenggara juga telah berubah daripada berkawan kepada penjajahan.  Pada masa ini, orang Jepun sendiri mula menjadi tenaga pengajar Bahasa Melayu seperti Sumitaka Asakura.

Tambahnya lagi, setelah berakhirnya Perang Dunia Kedua, pembelajaran bahasa Melayu mengalami zaman suram selama lebih kurang 20 tahun. Keadaan ini juga dapat dilihat dengan jumlah penerbitan pelajaran dan kamus bahasa Melayu yang kurang pada masa itu.

“Bahasa Inggeris menjadi mata pelajaran yang paling penting pada masa ini dan bahasa Eropah yang lain seperti bahasa Perancis, Jerman dan Sepanyol juga diajarkan di peringkat universiti sama seperti bahasa Melayu,” katanya.

Bahasa ibunda atau bahasa pertama sebenarnya merupakan semangat bangsa itu sendiri yang perlu dipelajari secara bersungguh-sungguh dan tidak boleh diabaikan. Bahasa kedua dan ketiga pula boleh dipelajari bagi tujuan komunikasi.

Beliau turut menyatakan bahawa bahasa menunjukkan bangsa kerana bahasa mempunyai kaitan yang erat dengan identiti dan jati diri bangsa. Masyarakat dan pemerintah Jepun tetap mengutamakan pengajaran bahasa Jepun di samping mengembangkan pengajaran bahasa asing terutamanya bahasa Inggeris.

Demikian antara penerangan menarik yang disampaikan oleh Prof. Dr. Mikihiro Moriyama selama lebih kurang sejam. Selain melalui aplikasi zoom, syarahan umum ini juga boleh ditonton melalui Facebook, Asia Timur, https://www.facebook.com/100079955860588/videos/1504751293368212.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.