5 Januari 2023, 21:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Jalan Davidson, Kuala Lumpur muncul juara setelah memenangi Anugerah Citra Cemerlang dalam Pertandingan Teater Bahasa Melayu peringkat SJKC pada hari ini. Pasukan tersebut telah membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM2000, pingat, sijil penyertaan dan buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Majlis penyampaian hadiah tersebut telah disempurnakan oleh YB Puan Lim Hui Ying, iaitu Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia dalam Majlis Perasmian Penutupan dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Teater Bahasa Melayu SJKC, di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP. Majlis tersebut merupakan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Persatuan Kebudayaan Han Malaysia (HAN) dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).

Kemenangan tersebut secara tidak langsung memberikan semangat baharu buat pasukan SJKC Jalan Davidson. Menurut mereka, usaha yang dicurahkan oleh ahli pasukan selama ini yang tanpa jemu berlatih telah berjaya membuahkan hasil. 

Kami mengambil masa selama dua bulan untuk berlatih dan turut mengalami kekangan masa kerana terpaksa berlatih selepas waktu persekolahan. Kami juga berasa agak sukar untuk menyebut sesetengah perkataan dalam bahasa Melayu dengan intonasi yang betul, namun kami terus berlatih. Akhirnya, usaha ini memberikan kemenangan kepada pasukan kami dan kami berasa seronok kerana dapat menjadi juara dalam pertandingan ini.

Wakil Juara Pertandingan Teater Bahasa Melayu SJKC.

Pada majlis yang sama, beberapa anugerah lain juga telah disampaikan oleh YB Puan Lim Hui Ying kepada para pemenang. Yang pertama ialah Anugerah Citra Semarak Seni yang disandang oleh SJKC Union, Cyberjaya, yang membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM2000, pingat, sijil penyertaan dan buku terbitan DBP. SJKC Masai dari Masai, Johor pula menerima Anugerah Citra Jendela Harapan  yang membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM2000, pingat, sijil penyertaan dan buku terbitan DBP.

SJKC Kuen Cheng 2 dari Kuala Lumpur pula menerima Anugerah Citra Cakna Kreatif, sementara SJKC Batu 11, Cheras, menerima Anugerah Citra Semangat Berpasukan dan SJKC Chi Man, Sentul, memenangi Anugerah Citra Kasih Juri. Ketiga-tiga pasukan ini membawa pulang wang tunai sebanyak RM500, pingat, sijil penyertaan dan buku terbitan DBP.

Sementara itu, Anugerah Citra Pelakon Perempuan Terbaik pula disandang oleh Wong Wei Yun dari SJKC Chi Man, Sentul. Bagi Anugerah Citra Pelakon Lelaki Terbaik pula dirangkul oleh Lee Hom dari SJKC Union, Cyberjaya. Mereka berjaya membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM300, pingat, sijil penyertaan dan buku terbitan DBP.

Yang turut hadir dalam majlis tersebut ialah YBhg. Prof. Datuk Seri Awang Sariyan (Pengerusi Lembaga Pengelola DBP), YBrs. Tuan Haji Md Johari Hasan [Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP], YBrs. Tuan Haji Mesran Yusop (Ketua Pengarah JKKN), dan YBhg. Dato’ Goh Hin San (Presiden Persatuan HAN).

Untuk rekod, Pertandingan Teater Bahasa Melayu SJKC telah dilaksanakan sejak tahun 2016. Tujuan pertandingan ini diadakan adalah untuk mewujudkan dan menyediakan persekitaran penggunaan bahasa kebangsaan yang betul, indah dan santai dalam kalangan murid sekolah. Selain itu, pertandingan ini juga merupakan satu daripada usaha untuk menanam semangat kecintaan murid-murid terhadap bahasa kebangsaan dan memperkukuh bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu, bahasa komunikasi dan bahasa perpaduan. Semoga pertandingan teater seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang sebagai langkah untuk mengetengahkan bakat pelajar SJKC yang secara langsung dapat mempertingkatkan penguasaan bahasa kebangsaan.

Penerima Anugerah Citra Cemerlang (Johan) dari SJKC Jalan Davidson, Kuala Lumpur.
Penerima Anugerah Citra Semarak Seni dari SJKC Union, Cyberjaya.
Penerima Anugerah Citra Jendela Harapan dari SJKC Masai, Johor.
Penerima Anugerah Citra Semangat Berpasukan dari SJKC Batu 11, Cheras.
Penerima Anugerah Citra Kasih Juri dari SJKC Chi Man, Sentul.
Penerima Anugerah Citra Cakna Kreatif dari SJKC Kuen Cheng 2, Kuala Lumpur.
Anugerah Citra Pelakon Perempuan Terbaik (Wong Wei Yun) dari SJKC Chi Man, Sentul.
Anugerah Citra Pelakon Lelaki Terbaik (Lee Hom) dari SJKC Union, Cyberjaya.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Keputusan Pertandingan Teater Bahasa Melayu SJKC

 Anugerah Pasukan
Anugerah Citra Cemerlang SJKC Jalan Davidson, Kuala Lumpur
Anugerah Citra Semarak Seni SJKC Union, Cyberjaya
Anugerah Citra Jendela Harapan SJKC Masai, Johor
Anugerah Citra Cakna Kreatif SJKC Kuen Cheng 2, Kuala Lumpur
Anugerah Citra Semangat Berpasukan SJKC Batu 11, Cheras
Anugerah Citra Kasih Juri SJKC Chi Man, Sentul
Anugerah Citra Pelakon Perempuan Terbaik Wong Wei Yun (SJKC Chi Man, Sentul)
Anugerah Citra Pelakon Lelaki Terbaik Lee Hom (SJKC Union, Cyberjaya)

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.