5 Januari 2023, 20:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bahasa kebangsaan merupakan “tiang seri” dalam pembinaan negara bangsa yang menekankan elemen pemersatuan dalam kalangan rakyat melalui bahasa. Walaupun rakyat Malaysia terdiri daripada masyarakat majmuk yang penuh dengan kerencaman, bahasa kebangsaan memainkan peranan yang penting sebagai wahana perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia khususnya dalam kalangan pelajar sekolah.

Bagi memastikan bahasa kebangsaan tidak bersifat eksklusif kepada sesuatu kelompok tertentu, program Pertandingan Teater Bahasa Melayu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) diadakan pada hari ini bagi menggalakkan persekitaran penggunaan bahasa kebangsaan yang betul, indah, dan santai, namun sarat dengan nilai murni dan teladan sama ada secara tersurat atau tersirat kepada semua pihak yang terlibat.

Demikian antara ucapan YB Puan Lim Hui Ying, iaitu Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia, ketika merasmikan Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Teater Bahasa Melayu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP, Kuala Lumpur.

Dalam ucapannya itu, YB Puan Lim Hui Ying berkata bahawa program ini juga menjadi wahana bagi menanam dan menyemai kecintaan dan mewujudkan sikap megah akan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam kalangan pihak yang terlibat khususnya dari SJKC yang melibatkan murid, guru, pentadbir sekolah serta pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Selain itu, penganjuran ini juga membolehkan bahasa kebangsaan menjadi bahasa komunikasi utama dalam kalangan pihak yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung melalui pertandingan ini.

Saya sentiasa menyokong dan mendukung program ini yang bertepatan dengan tujuh teras utama dalam memperkasakan pendidikan negara yang menjadi tumpuan Kementerian Pendidikan Malaysia pada masa ini. Program ini bertepatan dengan teras kelima, iaitu Penekanan Aspek Karamah Insaniah, yang bermatlamat bagi pembinaan sahsiah akhlak mulia dan keperibadian serta jati diri murid.

Tambah beliau, elemen ini amat penting bagi mengurangkan gejala negatif dan masalah disiplin dalam kalangan murid. Tambahan pula, program ini dapat membentuk keterampilan berbahasa kebangsaan dan meningkatkan kecintaan terhadap bahasa kebangsaan dalam kalangan warga SJKC.

Pertandingan Teater Bahasa Melayu SJKC telah dilaksanakan sejak tahun 2016 yang bertujuan mengetengahkan bakat pelajar SJKC, yang secara langsung dapat mempertingkatkan penguasaan bahasa kebangsaan melalui teater. Program ini dilaksanakan secara kerjasama antara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum dengan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dan Persatuan Kebudayaan Han Malaysia (HAN). Sebanyak sembilan buah sekolah menyertai pertandingan ini bagi merebut enam hadiah utama.

Sementara itu, YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, iaitu Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam ucapan alu-aluannya pula menyatakan bahawa program Pertandingan Teater Bahasa Melayu SJKC ini merupakan program yang saling melengkapi dalam acuan pembudayaan dan penghayatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi. Program  ini memupuk elemen perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia menerusi kegiatan kebahasaan dan persuratan Melayu dengan pelibatan pelbagai khalayak yang melibatkan agensi kerajaan, pihak swasta, pertubuhan bukan kerajaan, persatuan dan lain-lain.

Semoga pertandingan seperti ini dapat mempertingkatkan penguasaan bahasa kebangsaan dengan lebih baik dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia. Program kebahasaan seperti ini juga dapat menerapkan pendekatan didik hibur dalam kalangan masyarakat kerana bahasa Melayu bukan sekadar dilihat dalam aspek bahasa semata-mata, tetapi mempunyai unsur hiburan dan penyaluran ilmu serta maklumat yang betul melalui hiburan. Semoga teater bahasa Melayu juga dapat diantarabangsakan kerana sudah terbukti bahawa bahasa kebangsaan menjadi unsur persefahaman pelbagai kaum.

Tambah beliau lagi, program ini membawa mesej yang jelas tentang pentingnya semua pihak menghargai dan memuliakan bahasa kebangsaan negara ini sebagai satu daripada tonggak negara. 

Bahasa Melayu berperanan sebagai bahasa pemersatu dan pembina identiti rakyat Malaysia yang memerlukan pelaksanaan cara baharu dan agresif bagi merealisasikan matlamat menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan.

Yang turut hadir dalam majlis tersebut ialah YBrs. Tuan Haji Md Johari Hasan [Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP], YBrs. Tuan Haji Mesran Yusop (Ketua Pengarah, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara), YBhg. Dato’ Goh Hin San (Presiden Persatuan HAN), pengarah-pengarah jabatan DBP, ketua-ketua bahagian DBP, guru besar, ibu bapa, pelajar sekolah, staf DBP dan para tetamu undangan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.