26 Januari 2023, 17:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur − Buat julung-julung kalinya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM), Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM) melaksanakan satu projek rintis bersama melalui Pertandingan Inovasi, Digital DBP-UTHM, yang bertujuan untuk mendigitalkan bahan terbitan DBP ke dalam bentuk pertandingan. Pertandingan ini telah pun bermula pada 26 Oktober 2022 dan peringkat penjurian terakhir akan diadakan pada 29 Januari 2023 di Perpustakaan Tunku Tun Aminah, UTHM.

Sehubungan dengan itu, bagi mendapatkan penjelasan lanjut berkaitan dengan perkara ini, Program Canai Bahasa dan Sastera yang bertajuk “Inovasi, Bahasa dan Pendigitalan” telah bersiaran langsung menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP pada pukul 3.00 petang tadi.

Program ini telah dipengerusikan oleh Encik Rusdi Abd. Rahman, Perancang Bahasa, DBP, bersama-sama dua orang ahli panel jemputan, iaitu Prof. Ts. Dr. Hj. Mohd Farhan Md. Fudzee dan Prof. Madya Dr. Noorhaniza Wahid, yang merupakan pensyarah FSKTM, UTHM.

Menurut Prof. Madya Dr. Noorhaniza, produk akhir pertandingan ini perlu dihasilkan dalam tempoh yang tidak terlalu singkat dan tidak terlalu lama untuk melihat hasil produk akhir sebagai penanda aras bagi keberhasilan bakat pelajar dan kejayaan program tersebut.

Program ini dilaksanakan dalam tempoh satu semester, iaitu selama 14 minggu dan hanya memfokuskan para pelajar tahun dua program Sarjana Muda Pengkomputeran Multimedia dengan Kepujian, yang mengambil Kursus Interaksi Manusia Komputer.

Pelajar tahun dua program Sarjana Muda Pengkomputeran Multimedia dengan Kepujian, yang mengambil Kursus Interaksi Manusia Komputer terlibat dalam pertandingan ini. − Prof. Madya Dr. Noorhaniza Wahid

Pertandingan ini memerlukan para peserta membangunkan satu aplikasi mudah alih berasaskan kandungan buku terbitan DBP yang terpilih dan sesuai untuk dialih wahana ke dalam media digital. Penentuan kategori aplikasi mudah alih sama ada realiti terimbuh atau permainan digital dan penentuan mentor bagi pertandingan ini adalah secara undian.

Prof. Ts. Dr. Hj. Mohd Farhan pula menyatakan bahawa statistik pengguna internet di Malaysia memperlihatkan trend yang sangat positif. Oleh itu, pendigitalan bahan bahasa dan sastera yang menarik seperti melalui animasi dan permainan mudah alih dapat menarik generasi kini untuk mengakses bahan tersebut.

Bagi Prof. Madya Dr. Noorhaniza, generasi pada masa ini lebih gemar kepada kandungan yang ringkas dan padat. Justeru, kandungan video yang berdurasi pendek seperti Tik Tok menjadi keterujaan untuk ditonton.

Menerusi program itu juga, Prof. Ts. Dr. Hj. Mohd Farhan mencadangkan satu cara bagi menggalakkan masyarakat  menggunakan bahasa kebangsaan dengan betul, iaitu dengan mewujudkan cabaran secara terbuka untuk mencari ikon bahasa di platform digital media sosial. Hal ini kerana generasi muda suka akan cabaran dan meraih “like” dan pengikut di media sosial mereka.

Salinan pendua amat penting dan buku tersebut juga perlu didigitalkan sebagai bahan rujukan. − Prof. Ts. Dr. Hj. Mohd Farhan Md. Fudzee

Beliau turut menyatakan bahawa buku bercetak yang telah mencapai usia beratus tahun perlu mempunyai salinan pendua dan didigitalkan.  Hal ini bagi menjamin kelangsungan kandungan bahan tersebut dan boleh dijadikan sebagai rujukan kepada generasi muda pada masa akan datang.

Buku bercetak yang telah beratus tahun umurnya perlu ada salinan pendua, setidak-tidaknya dalam bentuk dokumen elektronik. Perlu ada salinan penuh kerana buku tersebut adalah ilmu. Ilmu ini tanggungjawab kita sebagai manusia yang perlu disebarkan.

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.