2 Februari 2023, 20:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jelutong – Kolej Vokasional Batu Lanchang telah dipilih menjadi tuan rumah bagi satu program, iaitu “I’ll Look” yang dikendalikan oleh Kumpulan Pengurusan Timbalan Pengarah Akademik Kolej Vokasional dan Sekolah Menengah Teknik (KVSMT), Zon Pulau Pinang. Sebanyak 18 orang guru Bahasa Melayu telah dipilih bagi mewakili KVSMT masing-masing untuk sama-sama turun padang bagi mengutip dan menimba ilmu pengetahuan tentang cara memulakan langkah dalam menyertai pertandingan inovasi sama ada pada peringkat kebangsaan mahu pun antarabangsa.

Perkongsian ilmiah ini dipimpin dan disampaikan oleh Puan Nurul Aini Mohd Yunus, yang dijemput khas dari Kolej Vokasional Batu Lanchang untuk berkongsi ilmu, bercerita tentang kaedah dan cara memulakannya untuk melibatkan diri dalam pertandingan penuh berprestij ini terutama dalam kalangan guru Bahasa Melayu KVSMT, Zon Pulau Pinang.

Menurut kaca mata pelbagai pihak, banyak hal inovasi yang masih tidak diambil peduli dan tidak diketahui oleh masyarakat terutamanya oleh para guru sebagai penggerak kemajuan kaedah pembelajaran pada zaman sekarang. Begitu juga dengan kurangnya penyertaan dalam pertandingan inovasi dalam kalangan guru Bahasa Melayu di KVSMT, Zon Pulau Pinang.

Guru-guru Bahasa Melayu yang dipilih mewakili KVSMT, Zon Pulau Pinang.

Guru-guru yang berdaya saing untuk memartabatkan inovasi dalam pendidikan merupakan tunjang utama bagi institusi tersebut. Menurut Puan Nurul, untuk menyertai pertandingan inovasi tidaklah sukar. Hanya berbekalkan idea, kudrat dan semangat serta sokongan kuat daripada kumpulan pengurusan institusi masing-masing sudah cukup untuk terus mencurahkan bakti dengan mempelbagaikan produk inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Bahasa Melayu, khasnya.

Terdapat lima perkara wajib yang perlu diketahui oleh para guru dalam memulakan langkah untuk menyertai pertandingan inovasi. Antaranya termasuklah bayaran yuran pertandingan, syarat penyertaan, tarikh akhir penghantaran, projek yang dilaksanakan serta peringkat pertandingan yang disertai. Justeru, bayaran yuran merupakan elemen yang paling penting yang patut dikuasai oleh guru.

Dalam pertemuan ilmiah ini, Puan Nurul juga telah berkongsi tentang tatacara dan etika yang betul dalam mendapatkan sumber kewangan untuk penyertaan inovasi kategori profesional dan pelajar. Hal ini telah membuka mata para guru yang hadir berkenaan dengan perolehan kewangan tersebut kerana urusan inilah yang sentiasa menjadi tanda tanya para guru.

Satu daripada slaid pembentangan Puan Nurul yang berkaitan dengan sumber kewangan untuk bayaran yuran pertandingan inovasi.

Perkongsian ilmiah ini juga dilihat dapat memberikan galakan dan semangat kepada para guru Bahasa Melayu yang hadir untuk turut serta dalam pertandingan inovasi peringkat antarabangsa. Guru-guru yang hadir diharapkan merebut peluang yang sentiasa terbuka luas agar dapat menambah nilai serta melebarluaskan pengalaman dan bakat masing-masing yang terpendam sekian lama.

Ts. Haji Nazhar Kader Bawa, Pengerusi KVSMT, Zon Pulau Pinang menyampaikan amanat dan harapan buat para guru yang hadir.

Menurut Pengerusi KVSMT, Zon Pulau Pinang, iaitu Ts. Haji Nazhar Kader Bawa, inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran tidak terhad hanya kepada guru-guru bahagian kemahiran sahaja malah guru dalam bidang aliran akademik juga mempunyai kualiti yang sangat cemerlang apabila mula mengorak langkah dalam membudayakan inovasi.

Beliau juga berharap agar para guru Bahasa Melayu yang hadir tampil menyerlahkan diri masing-masing demi kemajuan pelajar dalam pelajaran dengan membudayakan inovasi. Beliau turut merasmikan penutupan Majlis Perkongsian Ilmiah Pembudayaan Inovasi dalam Mata Pelajaran Akademik Bahasa Melayu Peringkat KVSMT, Zon Pulau Pinang.

Penyerahan sijil penghargaan kepada Puan Nurul daripada Ts. Haji Nazhar Kader Bawa.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.