Oleh Kho Thong Eng
8 Februari 2023, 14:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kata rasmi (official), merasmikan (officiate) dan perasmian (officiating) merupakan kata yang cukup biasa dan sederhana dalam bahasa Melayu. Namun demikian, hubung kait antara tiga kata tersebut ada kalanya menjanakan ikatan yang rumit dan mengelirukan sesetengah pengguna bahasa Melayu.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2016: 1292), kata rasmi bermaksud “disahkan atau ditentukan oleh kerajaan, pihak berkuasa, jabatan dan lain-lain”.  Contoh penggunaannya adalah seperti upacara rasmi, ejaan rasmi, resit rasmi dan tugas rasmi.

Kata merasmikan bererti “mengisytiharkan, mengesahkan, menentukan, menetapkan atau melantik dengan rasminya”. Contoh penggunaannya termasuklah merasmikan pameran lukisan dan merasmikan pembukaan sekolah.

Kata perasmian pula mendukung makna “pengisytiharan, penentuan, penetapan, pengangkatan, pengumuman, pelantikan dan lain-lain”. Contoh penggunaannya ialah perasmian ejaan, perasmian upacara, perasmian pelantikan, dan lain-lain.

Satu perkara yang sering membingungkan sebilangan pengguna bahasa Melayu ialah penggunaan kata rasmi, merasmikan dan perasmian dalam hubungan dengan sesuatu majlis, iaitu mereka tidak tahu dan tidak pasti tentang bentuk yang betul atau salah.

Jika sesuatu aktiviti diadakan oleh sesuatu organisasi, biasanya kegiatan tersebut bermula dengan majlis pembukaan (opening ceremony) dan berakhir dengan majlis penutupan (closing ceremony). Sekiranya majlis yang berkenaan bersifat rasmi, kita boleh juga menggunakan frasa majlis pembukaan rasmi (official opening ceremony) dan majlis penutupan rasmi (official closing ceremony). Sila lihat contoh yang berikut:

1a.  Majlis pembukaan sukan tahunan telah diadakan.

1b.  Majlis pembukaan rasmi sukan tahunan telah diadakan.

 

2a.  Majlis penutupan sukan tahunan telah diadakan.

2b.  Majlis penutupan rasmi sukan tahunan telah diadakan.

 

Bagi majlis yang cukup besar dan penting, majlis pembukaan atau penutupan bukan sahaja bersifat rasmi, malahan diserikan dengan perasmian (officiating) oleh tetamu kehormat. Oleh itu, tindakan perasmian majlis (officiating of the ceremony) yang khusus diadakan, dan tetamu kehormat mungkin diundang untuk merasmikan majlis yang berkenaan. Tetamu kehormat tersebut biasanya merupakan pemimpin politik, ketua jabatan, tokoh masyarakat, dan sebagainya. Oleh itu, kita juga boleh membina ayat seperti yang berikut:

3a.  Tetamu kehormat merasmikan majlis pembukaan sukan tahunan itu.

3b.  Tetamu kehormat merasmikan majlis penutupan sukan tahunan itu.

 

4a.  Perasmian majlis pembukaan sukan tahunan telah diadakan.

4b.  Perasmian majlis penutupan sukan tahunan telah diadakan.

 

5a.  Perasmian majlis pembukaan sukan tahunan telah diadakan oleh tetamu

kehormat.

5b.  Perasmian majlis penutupan sukan tahunan telah diadakan oleh tetamu

kehormat.

 

6a.  *Perasmian majlis pembukaan rasmi sukan tahunan telah diadakan.

6b.  *Perasmian majlis penutupan rasmi sukan tahunan telah diadakan.

 

Dalam kelompok ayat 3, terdapat kata kerja transitif merasmikan (officiate) yang disusuli oleh majlis pembukaan (opening ceremony) atau majlis penutupan (closing ceremony). Oleh itu, kata nama terbitannya ialah perasmian majlis pembukaan (officiating of the opening ceremony) atau perasmian majlis penutupan (officiating of the closing ceremony) dalam kelompok ayat 4. Dalam kelompok ayat 5, pelaku tetamu kehormat turut dinyatakan. Walau bagaimanapun, kelompok ayat 6 kurang sempurna kerana bersifat lewah. Hal ini dikatakan demikian kerana kata nama terbitan perasmian sudah menjadikan majlis itu bersifat rasmi.

Jika kita mahu menekankan bahawa majlis itu ialah majlis perasmian (officiating ceremony) bagi pembukaan (opening) atau penutupan (closing) sukan tahunan, kita akan menghasilkan kata majmuk majlis perasmian pembukaan (officiating ceremony for the opening of) dan majlis perasmian penutupan (officiating ceremony for the closing of). Sila lihat variasi ayat yang berikut:

7a.  Majlis perasmian pembukaan sukan tahunan telah diadakan.

7b.  Majlis perasmian penutupan sukan tahunan telah diadakan.

 

Oleh itu, kita ada beberapa variasi ayat yang betul tentang situasi di atas, seperti yang berikut:

8a.  Majlis pembukaan sukan tahunan telah diadakan.

8b.  Majlis pembukaan rasmi sukan tahunan telah diadakan.

8c.  Tetamu kehormat merasmikan majlis pembukaan sukan tahunan itu.

8d.  Perasmian majlis pembukaan sukan tahunan telah diadakan.

8e.  Perasmian majlis pembukaan sukan tahunan telah diadakan oleh tetamu

kehormat.

8f.   Majlis perasmian pembukaan sukan tahunan telah diadakan.

 

Walaupun semua ayat di atas gramatis dan bermakna, terdapat sedikit perbezaan dari segi nuansa maknanya.

Jika kita mahu membuat sepanduk atau latar pentas yang berkaitan dengan majlis tersebut, kita akan menghasilkan variasi bentuk seperti yang berikut:

9a.  Majlis Pembukaan Sukan Tahunan SMK Sentosa

9b.  Majlis Pembukaan Rasmi Sukan Tahunan SMK Sentosa

9c.  Majlis Pembukaan Sukan Tahunan SMK Sentosa dirasmikan oleh Yang Berhormat Menteri Pendidikan Malaysia

9d.  Perasmian Majlis Pembukaan Sukan Tahunan SMK Sentosa disempurnakan oleh Yang Berhormat Menteri Pendidikan Malaysia

9e.  Perasmian Majlis Pembukaan Sukan Tahunan SMK Sentosa disempurnakan oleh Yang Berhormat Menteri Pendidikan Malaysia

9f. Majlis Perasmian Pembukaan Sukan Tahunan SMK Sentosa disempurnakan oleh Yang Berhormat Menteri Pendidikan Malaysia

Bagi ayat 9c, kata kerja transitif dirasmikan sesuai digunakan kerana maksud rasmi tidak dinyatakan pada frasa nama majlis pembukaan sukan tahunan SMK Sentosa yang mendahuluinya. Namun demikian, bagai ayat 9d, 9e dan 9f, kata kerja transitif dirasmikan patut diganti dengan kata kerja disempurnakan atau diserikan kerana maksud rasmi sudah dinyatakan dalam frasa nama yang pertama.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.