Oleh Abdullah Awang
2 Mac 2023, 15:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Istilah “insya-Allah” sering diberi teguran dan penjelasan pengertiannya oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kepada masyarakat. Walau bagaimanapun, kesilapan ejaan ini masih berlaku lagi dalam kalangan masyarakat. Hal ini membuktikan bahawa masyarakat tidak cakna akan tatabahasa dan ejaan bahasa Melayu.

Mengikut huraian Kamus Dewan Edisi Keempat, istilah “insya-Allah” bererti “Jika diizinkan Allah” dan Wikipedia pula memberikan ertinya sebagai “Jika Allah menghendaki”. Hal ini menunjukkan bahawa kita tidak mengetahui tentang masa hadapan atau apa-apa yang akan berlaku kepada kita.

Selain itu, hal ini juga menunjukkan bahawa manusia mempunyai rencana, namun hanya Allah SWT yang mempunyai kuasa menentukannya. Oleh yang demikian, perkataan “insya-Allah” menunjukkan kerendahan hati seseorang hamba, sekali gus kesedaran akan kekuasaan Allah.

Menurut kata-kata Baba Ismail Sepanjang dari Pondok Pattani, amalan akhlak mulia ini perlu dilakukan oleh setiap orang yang menghendaki kemurnian hidup, iaitu apabila hendak melakukan sebarang kerja hatta apa-apa sekalipun, ucaplah “Bismillahirrahmanirrahim”, apabila selesai melakukan sesuatu pekerjaan ucaplah “Alhamdulillah”, dan apabila ingin melakukan sesuatu pekerjaan atau mengucapkan janji, katakan “insya-Allah”.

“Insya-Allah” ialah suatu istilah yang cukup terkenal dan selalu digunakan oleh orang Melayu. Istilah ini sering digunakan berkaitan dengan janji. Selalunya apabila kita berjanji, orang yang perlu menunaikan janji itu akan berkata “insya-Allah” bagi memberikan kefahaman kepada si penerima janji itu bahawa pasti akan terjadi dengan keizinan Allah SWT.

Penyalahgunaan istilah ini kini telah menjadi begitu ketara sehinggakan jika istilah ini digunakan, masih lagi suatu pernyataan yang samar-samar dan tidak muktamad. Dapat difahami di sini bahawa penggunaan istilah ini selalunya digunakan untuk melepaskan diri atau sebagai jawapan tidak pasti untuk orang yang menerima janji.

Penggunaan istilah ini juga sebagai usaha untuk membujuk orang yang menerima janji itu agar tidak sakit hati atau merajuk. Yang sebenarnya, sebagai orang Islam, istilah “insya-Allah” adalah sesuatu yang amat besar maknanya dan maksudnya. Oleh sebab itulah ejaan penggunaannya hendaklah tepat mengikut linguistik bahasa Melayu dan betul sebutan tajwid dalam bahasa Arab.

Tegasnya, maksud sebenar istilah ini adalah dalam konteks berjanji melainkan dihalang atau dibatalkan oleh Allah SWT. Situasi ini dapat dikaitkan dengan satu frasa yang juga cukup popular dalam kalangan orang Melayu apabila sesuatu perkara terjadi.

Berhubung dengan istilah “insya-Allah”, pelbagai persoalan muncul dari sudut tatabahasa dan ejaan. Dalam hal ini, pihak DBP sentiasa memberikan penjelasan yang padat, ringkas, dan tepat. Lihat beberapa contoh soalan seperti yang berikut:

Soalan 1:

Assalamualaikum, antara tiga pernyataan di bawah, yang manakah betul mengikut penilaian tatabahasanya?

  1. “Insya-Allah” kami tidak akan mensia-siakan kepercayaan serta mandat yang telah diberi oleh ahli-ahli persatuan.
  2. “Insya-Allah” kami tidak akan mempersia kepercayaan serta mandat yang telah diberikan oleh ahli-ahli persatuan.
  3. “Insya-Allah” kami tidak akan mempersiakan kepercayaan serta mandat yang telah diberi oleh ahli-ahli persatuan.

Jawapan dari pihak DBP adalah seperti yang berikut dan pihak yang bertanya telah mengucapkan ribuan terima kasih atas penjelasan yang diberikan.

  • Ayat yang betul ialah “Insya-Allah, kami tidak akan mensia-siakan kepercayaan serta mandat yang telah diberi oleh ahli-ahli persatuan.”

(Jawapan ini dalam konteks tatabahasa dan bukan ejaan).

 

Soalan 2:

Yang manakah betul bagi ejaan “insya-Allah”, “insyaAllah” atau “in sha Allah”?

Soalan 3:

Apakah ejaan sebenar bagi istilah “insya-Allah” atau “insyaAllah” atau “insyaallah”?

 

Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat, ejaan yang betul ialah “Insya-Allah” (bagi permulaan ayat) dan “insya-Allah” bagi pertengahan ayat.

Ketidakcaknaan pembaca dan penulis di media sosial membuatkan kaedah penulisan, khususnya ejaan menjadi haru-biru. Masing-masing ingin menunjukkan kebolehan dan kepandaian namun sebaliknya mereka tidak ingin mengikuti pernyataan yang dikeluarkan oleh pihak DBP. Berhubung dengan isu di atas, DBP merumuskan bahawa jawapan bagi ejaan yang tepat ialah “insya-Allah”.

 

Soalan 4:

Perhatikan beberapa frasa ayat di bawah. Warga maya perlu prihatin dengan pernyataan DBP sebagai pusat penggubalan ejaan dan bahasa Melayu.

  1. “InsyaAllah” saya datang.
  2. “Insya-Allah” saya datang.
  3. “In Sha Allah” saya datang.

Jawapan sebenar bagi ayat di atas ialah (b), iaitu “Insya-Allah” saya datang.

 

Sering kali pembaca di media sosial berasa pelik akan perkembangan tatabahasa dan ejaan pada masa ini. Yang sebenarnya, pihak DBP sudah menyiapkan hukum DM berhubung dengan tatabahasa dan ejaan ini tetapi banyak dalam kalangan pengguna media sosial yang masih tidak begitu peka akan perkembangan bahasa mutakhir ini, maka muncullah pelbagai kekeliruan. Contohnya seperti yang berikut:

 

Soalan 5:

Selamat sejahtera. Soalan saya berkaitan dengan perkataan “insya-Alah”. Yang manakah ejaan yang betul, “insya-Allah” atau “insyaAllah”?

 

Biarpun pertanyaan ini agak kecil tetapi apabila dimuat naik sebagai bahan di media sosial telah menjadi sangat penting. Pihak DBP mengatakan bahawa ejaan “insya-Allah” adalah tepat.

 

Soalan 6:

Apakah ejaan terkini bagi perkataan “insya-Allah” atau “in sha Allah”?

 

Di media sosial seperti Facebook, Instagram, TikTok dan pelbagai lagi, mereka sering kali melakukan kesalahan dalam penggunaan ejaan bagi istilah “insya-Allah”. Penegasan untuk jawapan bagi soalan istilah di atas yang tepat ialah “insya-Allah”.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.