Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur –Dialek yang pelbagai di Malaysia merupakan khazanah bahasa Melayu yang amat bernilai dan perlu dipelihara. Dialek atau nama lainnya loghat merupakan kelainan dalam sesuatu bahasa yang menjadi ciri golongan tertentu dalam kalangan penutur sesuatu bahasa itu. Di Malaysia, terdapat pelbagai dialek yang dinamakan mengikut negeri di Semenanjung Malaysia selain berdasarkan golongan etnik. Sehubungan dengan itu, Selamat Pagi Malaysia @ Singgah Selangor yang berlangsung pada 4 Mac dan 5 Mac 2023 di Kampung Kunci Air Buang, Sungai Burong, Tanjung Karang, Selangor, turut membawakan satu segmen khas berkaitan dengan loghat, iaitu loghat Jawa dan Banjar Selangor.
Pengerusi Pertubuhan Jawa Parlimen Tanjong Karang, Encik Husisin Haji Tahiron Dimyati, yang merupakan antara tetamu jemputan dalam segmen tersebut berkata, kebanyakan penduduk Jawa di Tanjong Karang berasal dari Jawa Tengah, Indonesia.
Tambahnya lagi, tempat tumpuan orang yang berasal dari Jawa Tengah di negeri Selangor ialah di kawasan Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Sekinchan.
Laras bahasa Jawa yang digunakan oleh penduduk di sini terdiri daripada bahasa halus dan bahasa kasar. Bahasa halus sama penggunaannya tetapi penggunaan bahasa kasar pula berbeza antara keturunan Ponorogo dan Pegelen.
Menurut beliau, adat dan tradisi orang Jawa tidak begitu berbeza daripada kaum Melayu dan Banjar. Sebaliknya, bahasanya berbeza dan tidak sama dengan bahasa Melayu.
Tambahnya, contohnya orang Jawa turut mempunyai adat melenggang perut seperti orang Melayu di negara ini yang dipanggil “piton-piton”, manakala bagi orang Banjar, adat ini dipanggil “melenggang parot”. Adat ini memerlukan mereka menyediakan tujuh jenis ubi yang berlainan dengan acara kemuncaknya dengan membelah kelapa.
Ahli Jawatankuasa Kampung, Encik Ahmad Maidin yang berkongsi loghat Banjar masyarakat Banjar di Tanjong Karang pula berkata, orang Banjar di sini kebanyakannya berasal dari Banjar Kalimantan.
“Sebutan bahasa Banjar berbeza daripada bahasa Melayu dan pelbagai berdasarkan keturunan seperti Banjar Keruak dan lain-lain,” jelasnya.
Kedua-dua tetamu yang dijemput dalam segmen “Loghat Jawa dan Banjar Selangor” menyatakan bahawa kebanyakan anak muda pada hari ini tidak lagi menguasai kedua-dua loghat tersebut. Bahkan, semasa di rumah, mereka juga berkomunikasi dengan mencampurkan bahasa Melayu dengan loghat tersebut dalam perbualan harian.
Walau bagaimanapun, kedua-duanya juga bersetuju bahawa loghat ini perlu diketengahkan kepada masyarakat muda agar tidak pupus dan mati pada suatu hari nanti.