Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKata bukan dan tidak merupakan kata nafi, iaitu kata prafrasa yang menidakkan sesuatu perkara. Dari segi penggunaannya, kata bukan menafikan frasa nama dan frasa sendi nama, manakala kata tidak menafikan frasa kerja dan frasa adjektif. Sila lihat contoh yang berikut:
1a. Dia bukan guru.
1b. Bukan guru dia.
2a. Hadiah ini bukan untuk adiknya.
2b. Bukan untuk adiknya hadiah ini.
Dalam kelompok ayat 1, kata nafi bukan menafikan kata nama guru. Hal ini termasuklah ayat susunan biasa dan ayat susunan songsang. Dalam kelompok ayat 2, kata nafi bukan menafikan frasa sendi nama untuk adiknya. Hal ini termasuklah ayat susunan biasa dan ayat susunan songsang.
3a. Dia tidak berusaha.
3b. Tidak berusaha dia.
4a. Dia tidak malas.
4b. Tidak malas dia.
Dalam kelompok ayat 3, kata nafi tidak menafikan kata kerja berusaha. Hal ini termasuklah ayat susunan biasa dan ayat susunan songsang. Dalam kelompok ayat 4, kata nafi tidak menafikan kata adjektif malas. Hal ini termasuklah ayat susunan biasa dan ayat susunan songsang.
Ayat yang ada kata nafi bukan dan tidak mungkin mengalami pertentangan maklumat dengan adanya kata hubung gabungan tetapi. Sila lihat contoh yang berikut:
5a. Dia bukan guru, tetapi kerani.
5b. Bukan guru tetapi kerani dia.
6a. Hadiah ini bukan untuk adiknya, tetapi untuk ibunya.
6b. Bukan untuk adiknya tetapi untuk ibunya hadiah itu.
7a. Dia bukan belajar, tetapi bermain.
7b. Bukan belajar tetapi bermain dia.
8a. Dia bukan sombong tetapi pendiam.
8b. Bukan sombong tetapi pendiam dia.
9a. Dia tidak mahu bekerja keras tetapi mahu diberi kenaikan pangkat.
9b. Tidak mahu bekerja keras tetapi mahu diberi kenaikan pangkat dia.
Dalam kelompok ayat 5 dan 6, kata nafi bukan tetap digunakan dalam ayat yang ada pertentangan maklumat antara frasa nama atau frasa sendi nama. Dalam kelompok ayat 7 dan 8, kata nafi bukan juga digunakan dalam ayat yang ada pertentangan maklumat antara frasa kerja atau frasa adjektif. Walau bagaimanapun, ada kalanya kata nafi tidak digunakan dalam ayat yang ada pertentangan maklumat antara frasa kerja (sila lihat kelompok ayat 9).
Kata nafi tidak dan bukan boleh dinafikan lagi oleh kata tidak atau bukan, dalam struktur ayat yang pelbagai rupa. Dalam hal ini, kata penegas -lah dan -kah dan kata penekan -nya mungkin ditambah pada kata nafi bukan atau tidak. Sila lihat contoh yang berikut:
10a. Dia bukan tidak tahu bahawa adiknya bersalah.
10a. Bukan dia tidak tahu bahawa adiknya bersalah.
10c. Bukannya dia tidak tahu bahawa adiknya bersalah.
10d. Bukanlah dia tidak tahu bahawa adiknya bersalah.
10e. Bukankah dia tidak tahu bahawa adiknya bersalah?
11a. Takkan dia tidak tahu bahawa adiknya bersalah.
11b. Takkanlah dia tidak tahu bahawa adiknya bersalah.
12a. Tidak boleh tidak dia akan menyertai aktiviti ini.
12b. Bukan tidak mungkin bahawa dia akan menyertai aktiviti ini.
12c. Bukan tidak mungkin bahawa dia tidak akan menyertai aktiviti ini.
Dalam kelompok ayat 10a hingga 10d, kehadiran kata nafi bukan dan tidak yang saling menafikan mendukung pengertian positif, iaitu “tahu”. Walau bagaimanapun, dalam ayat 10e, kehadiran kata nafi bukan dan tidak dalam ayat tanya membawa makna negatif, iaitu “tidak tahu”. Dalam kelompok ayat 11, kehadiran dua kata nafi tak dan tidak mendukung makna positif, iaitu “tahu”. Dalam ayat 12a dan 12b, kehadiran kata nafi tidak dengan tidak, dan bukan dengan tidak membawa makna positif, iaitu “menyertai”, tetapi dalam ayat 12c, kehadiran kata nafi bukan dengan dua kata nafi tidak membawa pengertian negatif, iaitu “tidak menyertai”. Dalam ayat 13, kehadiran dua kata nafi tidak dan kata nafi bukan mendukung makna yang amat positif, iaitu “pastilah bahawa dia calon kita”.
Kata nafi tidak dan bukan boleh ditambah imbuhan. Hal ini termasuklah kata dasar yang terdiri daripada tidak + kata adjektif, tidak + kata kerja, dan tidak + kata bantu. Sila lihat contoh yang berikut:
14a. Dia bertidak akan tuduhan itu.
14b. Janganlah kita menidakkan sumbangannya.
14c. Ketidakadilan harus kita banteras.
14d. Ketidakpercayaan daripada keluarganya menyedihkannya.
14e. Ketidakmahuan belia untuk menceburi pertanian merugikan negara.
15a. Mereka seia sebukan dalam hal itu.
15b. Dia membukankan ajaran kumpulan itu.
Kata nafi tidak dan bukan boleh digandakan, dah hal tersebut ada kalanya melibatkan proses pengimbuhan juga. Sila lihat contoh yang berikut:
17a. Jangan bercakap tentang hal yang tidak-tidak.
17b. Setidak-tidaknya dia masih sudi bercakap dengan kita.
17c. Dia bertidak-tidak apabila disoal siasat tentang jenayah itu.
Kata nafi bukan dapat juga membentuk kata hubung gabungan berpasangan dengan kata lain, seperti bukan sahaja … tetapi juga dan bukan sahaja … malahan. Sila lihat contoh yang berikut:
18a. Dia bukan sahaja jahil, tetapi degil juga.
18b. Dia bukan sahaja jahil, malahan degil.
Singkatan kata nafi tidak, iaitu tak, digunakan dalam hal tertentu. Sila lihat contoh yang berikut:
19a. Dia bersikap acuh tak acuh.
19b. Kata berdiri ialah kata kerja tak transitif.
19c. Ketaknormalan yang berlaku akan diselidiki oleh para pakar.
19d. Takkanlah dia berani melawan samseng itu!