7 Mac 2023, 17:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kamus diibaratkan sebagai khazanah ilmu yang unggul dan ulung bagi menggambarkan peradaban tamadun sesuatu bangsa dan negara. Kehebatan dan keunggulan kamus terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pula memang tidak dapat disangkal lagi dalam kalangan masyarakat yang sentiasa menjadikan kamus terbitan DBP sebagai bahan rujukan utama.

Sehubungan dengan itu, Bahagian Perkamusan, DBP, telah mengundang Ahli Persatuan Munsyi Dewan (Jawi) ke Wisma DBP untuk sesi perkongsian ilmu, iaitu program “Bersahabat dengan Kamus”. Penganjuran program ini hasil rentetan daripada Muzakarah Jawi yang telah diadakan pada 18 Disember 2022.

Kamus Dewan Perdana dipilih dan dikongsikan cara penggunaannya dalam program tersebut. Pegawai kanan dari Bahagian Perkamusan, iaitu Puan Siti Norsuhaila Samsudin, yang dibantu oleh Puan Rohana Abdul Rahman, Tuan Syed Mohd. Yasir Syed Ahmad dan Puan Farah Idayu Johari turut terlibat dalam sesi perkongsian ilmu ini dengan Ahli Persatuan Munsyi Dewan (Jawi).

Program yang berlangsung selama setengah hari di Wisma DBP, dan disertai oleh 20 orang peserta daripada Ahli Persatuan Munsyi Dewan (Jawi), iaitu guru KAFA, guru Pendidikan Islam dan pensyarah Bahasa Melayu dari Institut Pendidikan Guru Malaysia mendapat sambutan yang baik dan berlangsung dengan jayanya.

Antara tujuan program ini dilaksanakan termasuklah untuk memahami dan mendalami cara penggunaan kamus yang betul serta berkesan oleh guru di dalam bilik darjah dengan pelajar sekolah. Selain itu, program ini juga dapat mempromosikan Kamus Dewan Perdana yang merupakan produk kamus terlaris yang terkini terbitan DBP.

Terlebih dahulu, menerusi ucapan alu-aluan Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera DBP, yang diwakili oleh Encik Mohd Fadzli Tajuid (Ketua Bahagian Peristilahan dan Leksikologi), kerjasama amat diperlukan daripada Ahli Persatuan Munsyi Dewan (Jawi) bagi mempercepat proses penerbitan Kamus Dewan Perdana Edisi Kedua menerusi penyemakan entri ejaan Jawi yang dimasukkan dalam kamus tersebut.

Menurut beliau, kerja penyemakan entri ejaan Jawi dalam Kamus Dewan Perdana sebelum ini dilakukan oleh kumpulan sidang editor yang mengambil masa yang lama untuk kerja penyemakan. Oleh itu, beliau berharap agar Ahli Persatuan Munsyi Dewan (Jawi) dapat bekerjasama dalam membantu menyemak ejaan Jawi kerana DBP sedang mengusahakan penerbitan Kamus Dewan Perdana Edisi Kedua yang berpandukan buku Pedoman Umum Ejaan Jawi Bahasa Melayu Dewan.

Program “Bersahabat dengan Kamus” ini merupakan acara rutin anjuran Bahagian Perkamusan, DBP, dalam usaha mempromosikan kamus terbitan DBP sama ada secara sesi perkongsian ilmu mahupun menerusi permainan “Roda Kata”. Maklumat yang terdapat dalam kamus wajar dikongsi dan disebarluaskan agar pengguna bahasa termasuklah masyarakat negara ini dapat menghargai kamus terbitan DBP sebagai khazanah bangsa dan negara.

Penyampaian cenderamata kepada wakil Ahli Persatuan Munsyi Dewan (Jawi), Ustaz Mat Yusof Abdul Rahman.
Encik Mohd. Fadzli Tajuid  bersama dengan Ahli Persatuan Munsyi Dewan (Jawi) yang menjayakan program “Bersahabat dengan Kamus”.
Sesi perkongsian ilmu, “Bersahabat dengan Kamus”: Kamus Dewan Perdana oleh Puan Siti Norsuhaila Samsudin.
Sebahagian Ahli Persatuan Munsyi Dewan (Jawi) yang hadir dalam sesi perkongsian ilmu di Wisma DBP.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.