15 Mac 2023, 15:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur –Baru-baru ini, sebanyak 73 orang guru pelatih dan empat orang pensyarah dari Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pendidikan Islam Bangi, Selangor, telah mengikuti program Bersahabat dengan Kamus dengan jayanya di Wisma DBP.  

Program yang dikendalikan oleh Bahagian Perkamusan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), kini semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat khususnya bagi pencinta bahasa Melayu.

Pada sesi pertama, para peserta telah mengikuti Ceramah Asas Perkamusan yang disampaikan oleh Puan Rohana Abdul Rahman.

Pada sesi kedua pula, mereka diberi pendedahan tentang cara penggunaan kamus yang betul serta berkesan yang disampaikan oleh Ketua Unit Ekabahasa, Bahagian Perkamusan iaitu, Puan Siti Norsuhaila Samsudin yang berjudul “Keistimewaan Kamus Dewan Perdana“, yang merupakan produk kamus terlaris dan terkini terbitan DBP.

Pada sesi  ketiga pula, para peserta didedahkan dengan ilmu Peristilahan menerusi ceramah yang disampaikan oleh Puan Nor Azianti Abdul Aziz dari Bahagian Peristilahan dan Leksikologi, DBP.

Untuk sesi terakhir, iaitu pada sebelah petang, mereka mengikuti ceramah yang bertajuk “Kamus dan Makna” yang disampaikan oleh Puan Zuraini Yeop Ahmad, Ketua Unit Dwibahasa, Bahagian Perkamusan DBP.

Menurut Dr. Jeyagobi Dhamoderam, yang juga pensyarah dan penyelaras kursus Pengajian Melayu dari IPG berkenaan, beliau telah lama merancang untuk membawa kumpulan pelajar semester enam tersebut ke DBP bagi mengikuti program Bersahabat dengan Kamus.

Selain mempelajari ilmu perkamusan menerusi kuliah, pelajar juga harus didedahkan dengan cara kerja ilmu perkamusan serta peristilahan di DBP.  Pengalaman ini amat berguna apabila mereka menamatkan pengajian di IPG dan bertugas di sekolah untuk mengajar.

Sementara itu, menerusi ucapan alu-aluan Tuan Haji Razali Che Mat, Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, DBP, yang  turut menjalankan tugas Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, DBP, berharap agar program ini dapat menambah pengetahuan guru pelatih tersebut khususnya dalam mendalami  ilmu yang berkaitan dengan perkamusan dan peristilahan.

Perkongsian ilmu ini penting kepada generasi muda seperti bakal guru kerana mereka terlibat dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu di sekolah kelak. Beliau  turut mempelawa peserta untuk menjadi penulis dan menghantar karya sama ada karya kreatif ataupun ilmiah untuk diterbitkan oleh DBP.

Sekiranya terdapat pihak dan agensi yang berminat untuk berkongsi ilmu tentang leksikografi dan leksikologi, bolehlah menghubungi Bahagian Perkamusan, Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, DBP bagi mendapatkan maklumat lanjut.

Penyampaian cenderamata daripada Dr. Jeyagobi Dhamoderam, pensyarah IPG Kampus Pendidikan Islam kepada Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, DBP, Tuan Haji Razali Che Mat.
Para guru pelatih IPG Kampus Pendidikan Islam yang hadir dalam program “Bersahabat dengan Kamus” di DBP.
Wakil guru pelatih IPG Kampus Pendidikan Islam memberikan ulasan berkaitan dengan Kamus Dewan Perdana.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.