Oleh Kho Thong Eng
4 April 2023, 08:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2016: 1330 & 1318), kata rima bererti “bunyi yang sama pada huruf akhir atau kata akhir sesuatu rangkap (seperti dalam gurindam”, dan kata rentak bererti “(muzik) gerakan yang teratur (dalam lagu)”.  Dalam bahasa Inggeris, kata rima sama dengan kata rhyme, dan kata rentak sama dengan kata beat.

Puisi lama seperti gurindam, syair dan pantun digubah dengan menurut skema rima atau persamaan bunyi tertentu. Sila lihat contoh yang berikut:

Kurang fikir, kurang siasat,

Tentu dirimu kelak tersesat   (Gurindam Beberapa Petua Hidup, Zaʻba)

 

 

Dengarkan tuan suatu hikayat,

Raja di desa Negeri Kembayat,

Dikarang fakir dijadikan hikayat,

Supaya menjadi tamsil ibarat     (Syair Bidasari)

 

Kalau kita mengkaji Gurindam Beberapa Petua Hidup di atas, kita akan mendapati bahawa terdapatnya rima akhir [at] yang sama di hujung kedua-dua baris. Jika kita meneliti Syair Bidasari di atas, kita mendapati adanya skema rima akhir yang sama, iaitu a-a-a-a ([at]-[at]-[at]-[at]).

Gendang gendut tali kecapi,

Kenyang perut senang hati.

 

Pisang emas dibawa belayar,

Masak sebiji di atas peti;

Hutang emas boleh dibayar,

Hutang budi dibawa mati.

 

Jika kita meneliti pantun dua kerat dan empat kerat di atas, kita akan mendapati bahawa adanya persamaan rima akhir [i] pada baris pantun dua kerat dan skema rima akhir a-b-a-b ([ar]-[i]-[ar]-[i]) pada baris pantun empat kerat. Tambahan pula, terdapat rima tengah yang sama [ut] pada baris pantun dua kerat, dan persamaan bunyi rima tengah [as] dan [i] pada pantun empat kerat tersebut. Oleh itu, kata rima atau rhyme merujuk persamaan bunyi dalam hal yang kita ujarkan.

Rentak (beat) muzik merupakan unit bunyi yang paling ringkas. Rentak itu ialah rentak yang didengari dan diikuti ketika mendengar sesuatu karya muzik atau ketika mengira tempo ketika memainkan sesuatu alat muzik.

Tempo ialah kelajuan sesuatu karya muzik dimainkan, iaitu kelajuan yang dikira mengikut rentak setiap minit (Beat Per Minute, BPM). Ringkasnya, rentak berkaitan dengan laju lambat sejumlah bunyi yang kita ujarkan, dan tidak ada kaitan dengan persamaan bunyi.

Di dunia Barat kini, ada sekumpulan penghibur yang dinamai sebagai beatboxer atau perentak muzik. Kumpulan pemuzik ini menarik minat peminatnya bukan dengan kemerduan suara atau bunyi kata lagu yang sama, tetapi dengan cara melepaskan bunyi nafas mengikut rentak yang kreatif dan pelbagai, iaitu ada kalanya cepat, kuat dan rancak, dan ada kalanya lambat dan perlahan. Kombinasi rentak bunyi yang pelbagai menampilkan persembahan yang menarik kerana menyerupai rentak muzik sesuatu lagu.

Dalam bidang perubatan, terdapat alat perentak (pacemaker) yang dipasang pada jantung pesakit jantung agar jantung mereka akan berdegup mengikut rentak laju lambat degupan yang biasa atau kadar degupan yang dikehendaki.

Sebagai rumusannya, kata rima atau rhyme berkaitan dengan persamaan bunyi, termasuk bunyi vokal atau vokal dengan konsonan mengikut skema tertentu. Sebaliknya kata rentak atau beat berkaitan dengan laju lambat sesuatu perkara diujarkan atau disampaikan, dan tidak ada kaitan dengan apa-apa persamaan bunyi.

Walau bagaimanapun, kita mendapati bahawa ada kata ganda dalam bahasa Melayu yang dinamai sebagai kata ganda berentak, sedangkan yang dimaksudkan ialah persamaan rima antara kata dasar dengan gandaannya, bukan laju lambat ujaran kata dasar atau gandaannya tersebut. Hal ini jelas bagi kata ganda berentak pengulangan bunyi vokal (termasuk bunyi diftong) atau pengulangan bunyi konsonan.  Sila lihat contoh yang berikut:

 

Kata nama ganda berentak pengulangan bunyi vokal

sayur-mayur:   persamaan bunyi vokal [a] dan [u]

kuih-muih:      persamaan bunyi vokal [u] dan [i]

 

Kata nama ganda berentak pengulangan bunyi konsonan

batu-batan: persamaan bunyi konsonan [b] dan [t]

gunung-ganang: persamaan bunyi konsonan [g], [n] dan [ng]

 

Kata kerja ganda berentak pengulangan bunyi vokal

selit- belit: persamaan bunyi vokal [e] dan [i]

cerai-berai: persamaan bunyi vokal [e] dan bunyi diftong [ai]

 

Kata kerja ganda berentak pengulangan bunyi konsonan

bolak-balik: persamaan bunyi konsonan [b], [l] dan hentian glotis

huyung-hayang: persamaan bunyi konsonan [h], [y] dan [ng]

 

Kata adjektif ganda berentak pengulangan bunyi vokal

hiruk-pikuk: persamaan bunyi vokal [i] dan [u]

 

Kata adjektif ganda berentak pengulangan bunyi konsonan

kucar-kacir: persamaan bunyi konsonan [k] dan [c]

porak-peranda: persamaan bunyi konsonan [p] dan [r]

 

Berdasarkan segala contoh kata ganda berentak pengulangan bunyi vokal dan bunyi konsonan yang meliputi kata nama, kata kerja dan kata adjektif di atas, ternyatalah bahawa yang dimaksudkan sebagai kata ganda berentak sebenarnya merupakan kata ganda berima. Hal ini dikatakan demikian kerana yang sama bagi kata-kata tersebut bukannya persamaan rentak (beat), tetapi persamaan rima (rhyme).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.