Oleh Kho Thong Eng
16 Mei 2023, 10:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pertembungan antara bahasa Melayu dengan bahasa lain menyebabkan wujudnya kata pinjaman atau terjemahan yang pelbagai dalam bahasa Melayu. Hal ini amat ketara dalam hal bahasa Inggeris. Antara kata yang dipinjam atau dipinjam terjemah termasuklah kata bahasa Inggeris yang berakhir dengan bentuk akhir -tion.

Banyak kata bahasa Inggeris (bI) yang berakhir dengan bentuk -tion diterima sebagai kata pinjaman yang berakhir dengan bentuk -si. Sila lihat contoh yang berikut:

Kata BI Kata BM Kata BI Kata BM
tradition tradisi modification modifikasi
assimilation asimilasi location lokasi
respiration respirasi resolution resolusi
evolution evolusi revolution revolusi

 

Ada juga antara kata bI yang berakhir dengan -tion diterjemahkan kepada bahasa Melayu. Sila lihat contoh yang berikut:

Kata BI Kata BM Kata BI Kata BM
action perbuatan motion pergerakan
qualification kelayakan auction lelong
pollution pencemaran humiliation Penghinaan
invention ciptaan abortion Pengguguran
audition uji bakat friction Pergeseran
allocation peruntukan preparation Persediaan

Ada kata bI yang berakhir dengan -tion diterima sebagai kata pinjaman daripada bahasa Indonesia Belanda dan juga diterjemahkan kepada bahasa Melayu. Sila lihat contoh yang berikut:

Kata BI Kata BM (IB) Terjemah 1 Terjemah 2
condition kondisi keadaan syarat

 

Ada kata bI yang berakhir dengan -tion diterima sebagai kata pinjaman dan diterjemahkan sekali gus kepada bahasa Melayu. Sila lihat contoh yang berikut:

Kata BI Pinjam Terjemah
definition definisi takrif

Ada kata bI yang berakhir dengan -tion diterima sebagai kata pinjaman dan mempunyai lebih daripada satu bentuk terjemahan, bergantung pada konteks penggunaan kata tersebut dalam ayat yang berkenaan. Sila lihat contoh yang berikut:

Kata BI Pinjam Terjemah 1 Terjemah 2
demonstration demonstrasi tunjuk cara tunjuk perasaan

 

Ada kata bI yang berakhir dengan -tion yang mempunyai lebih daripada satu bentuk terjemahan, bergantung pada konteks penggunaan kata tersebut dalam ayat yang berkenaan. Sila lihat contoh yang berikut:

Kata BI Terjemah 1 Terjemah 2
competition pertandingan persaingan

 

Ada kata bI yang berakhir dengan -tion yang diterima sebagai kata pinjaman dalam bentuk tertentu pada peringkat awal kemerdekaan negara, dan bentuk ejaan tersebut dikekalkan hingga kini. Sila lihat contoh yang berikut:

Kata BI Kata BM Kata BI Kata BM
station stesen lotion losen

 

Ada kata bI yang berakhir dengan -tion yang disalah pinjam oleh sesetengah pihak, dan kata tersebut sebenarnya mempunyai terjemahan yang sesuai dalam bahasa Melayu. Sila lihat contoh yang berikut:

Kata BI Salah Pinjam Terjemah / Pinjam Terjemah
solution *solusi penyelesaian larutan

 

Satu hal yang menarik ialah kata graduation dalam bahasa Inggeris. Maksud graduation dalam bahasa Inggeris ialah “the receiving or conferring of an academic degree or diploma, iaitu “penerimaan atau penganugerahan ijazah atau diploma”.  Oleh sebab hal sedemikian, kata graduation hanya berkaitan dengan pusat pengajian tinggi seperti universiti, dan tidak berkaitan dengan tadika, sekolah rendah atau sekolah menengah.

Selain itu, ada pihak yang meminjam kata graduation sebagai graduasi dalam bahasa Melayu. Walaupun hal tersebut menepati rumus bentuk pinjaman sesetengah kata pinjaman yang ada bentuk akhir -tion, kata tersebut sebenarnya tidak menjadi bentuk pilihan dalam bahasa Melayu, dan tidak wujud dalam kamus. Sila lihat contoh yang berikut:

1a.  A graduation ceremony will be held at the kindergarten tomorrow.

1b.  *Majlis Graduasi Tadika akan diadakan di tadika itu esok.

1c.  Majlis Tamat Pendidikan Tadika akan diadakan di tadika itu esok.

 

2a.  A graduation ceremony will be held at the primary school tomorrow.

2b.  *Majlis Graduasi Sekolah Rendah/Tahun 6 akan diadakan di sekolah

rendah itu esok.

2c.  Majlis Tamat Persekolahan Sekolah Rendah/Tahun 6 akan diadakan di

sekolah rendah itu esok.

 

3a.  A graduation ceremony will be held at the secondary school tomorrow.

3b.  *Majlis Graduasi Sekolah Menengah/Tingkatan 5 akan diadakan di

sekolah menengah itu esok.

3c.  Majlis Tamat Persekolahan Sekolah Menengah/Tingkatan 5 akan

diadakan di sekolah menengah itu esok.

 

4a.  A graduation ceremony will be held at the university tomorrow.

4b.  *Majlis Graduasi akan diadakan di universiti itu esok.

4c.  Majlis Konvokesyen akan diadakan di universiti itu esok.

 

Satu lagi perkara yang sering mengelirukan sesetengah pengguna bahasa Melayu ialah perbezaan antara kata mahasiswa/mahasiswi, graduan dan siswazah.  Sebenarnya, kata mahasiswa/mahasiswi atau undergraduate (bI) merujuk pelajar yang sedang mengikuti kursus peringkat siswa di universiti, kata graduan atau graduand (bI) merujuk mahasiswa atau mahasiswi yang akan menerima ijazah pada hari konvokesyen, dan kata siswazah atau graduate (bI) pula merujuk lulusan atau lepasan universiti.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.