19 Mei 2023, 10:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Nasi lemak dan teh tarik. Inilah antara gastronomi yang tidak dapat dipisahkan dengan rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Nasi lemak dan teh tarik dibaratkan sebagai mercu tanda penyatuan bangsa Malaysia dalam masyarakat MADANI. Tidak lengkap seseorang itu sebagai warganegara Malaysia jika tidak menjamah nasi lemak dan mencicip air teh tarik kala bersarapan.

Kedua-dua hidangan ini juga boleh dinikmati pada bila-bila masa kala perut berkeroncong untuk diisi waima kala kudapan. Bangsa Malaysia juga ada yang memulakan pagi mereka dan berkudapan dengan hidangan nasi lemak dan air teh tarik. Kedua-duanya mudah didapati di mana-mana kedai sama ada di tepi jalan mahupun di restoran.

Sementara itu, fenomena mencicip air teh boba juga telah meresap masuk ke Malaysia. Teh yang dicampur dengan gula merah, susu segar dan yang istimewanya ditambah dengan bebola manis kecil yang enak dikunyah kala mencicip air teh ini begitu digemari oleh para remaja.

Kafe teh boba ini tumbuh melata dan ada yang turut mempunyai sentuhan hipster. Begitu rancak pempengaruh media sosial yang turut memotretkan nikmat teh boba ini dengan pengaruh hiasan kafe hipster yang santai demi memikat pembeli dan mempromosikan kepelbagaian rasa air minuman di kafe boba ini.

Benarlah bahawa kepelbagaian rasa air teh boba ini begitu rancak dijual dan dipromosikan di Malaysia. Di Kota Wenchang, khususnya di wilayah Hainan ini, ketika melangkah keluar dari pagar kolej, kafe boba ini turut memenuhi ruang kedai di sepanjang kiri dan kanan jalan.

Harganya begitu berpatutan malah tidak begitu manis seperti yang ada di Malaysia. Penulis suka akan rasa sebegini malah sudah mencicip pelbagai jenis rasa air teh boba yang tidak dapat dihitung oleh jari-jemari. Aduh! Mengapakah rakyat Malaysia suka akan sesuatu yang manis? Penulis tiada jawapannya. Cukuplah manis pada senyuman sahaja tetapi bukan pada makanan dan minuman.

Fakulti Pengajian Bahasa Timur di Kolej Pengajian Bahasa Asing Hainan sebelum ini juga telah mengadakan minggu kebudayaan. Setiap jabatan bahasa di Pengajian Asia Tenggara yang terdiri daripada Jurusan Bahasa Melayu, Indonesia, Thailand, Laos, Myanmar, Kemboja, Vietnam dan terselit Jurusan Arab, dikehendaki memperkenalkan keunikan kebudayaan setiap negara dari segi makanan, pakaian dan persembahan.

Dengan bangganya, Jurusan Bahasa Melayu memperkenalkan keunikan minuman teh tarik di samping makanan yang tidak asing lagi, iaitu nasi lemak, cucur udang dan onde-onde. Penulis selaku guru Bahasa Melayu telah mendomentrasikan cara-cara membancuh dan menarik air teh sambil berkebaya.

Sejujurnya, air teh tarik bukanlah minuman kegemaran penulis. Boleh dihitung dengan jari- jemari ini berapa kali penulis mencicipnya sepanjang hidup ini. Namun begitu, kini di Wenchang, Hainan, China, penulis menarik air teh tersebut di hadapan para pelajar berbangsa China yang datangnya dari seantero wilayah China, juga tetamu yang singgah di reruai Jurusan Bahasa Melayu.

Sememangnya mereka kagum melihat penulis memegang dua buah kole di tangan kiri dan kanan lantas menariknya tidak terlalu tinggi seperti pakar menarik air teh di kedai mamak di Malaysia. Syukur juga kerana tiada air teh yang tertumpah kala penulis menarik air teh ini di hadapan pengunjung yang singgah di reruai kerana hal ini juga merupakan pengalaman penulis yang pertama kali melakukannya.

Ya. Menarik air teh bukan di rumah penulis di Semenyih, Malaysia, tetapi di Wenchang, China. Selain itu, penulis juga bukan berbaju santai seperti berada di rumah tetapi berkebaya. Satu pengalaman yang begitu mengujakan diri penulis.

Para pengunjung yang singgah di reruai Jurusan Bahasa Melayu kagum melihat teknik menarik air teh dan melihat air teh itu berbuih tetapi masih hangat ketika diminum. Pelbagai persoalan ditanya oleh pengunjung dan dijawab oleh para pelajar dan guru tempatan Jurusan Bahasa Melayu kerana kekangan bahasa yang ada pada diri penulis yang tidak tahu berbahasa Mandarin.

Ada yang bertanya tentang keistimewaannya, resipi, sukatan campuran air teh dan susu dan ada juga ingin mencuba menarik air teh tersebut. Tiada sukatan yang penulis lakukan. Sukatannya dari hati dan agak-agak sahaja.

Ketika pengunjung mencuba menarik air teh, pelbagai aksi lucu sempat dipotretkan. Pastinya ada air yang tertumpah tetapi masih lagi terkawal. Hirik-pikuk dan gelak ketawa menyelubungi reruai kami. Ada pengunjung yang menjerit kala airnya tertumpah dan ada juga yang menggigil ketika pertama kali menarik air teh tersebut. Bermacam-macam aksi lucu yang terakam.

Rata-rata pengunjung yang singgah di reruai Jurusan Bahasa Melayu ini suka mencicip air teh tarik yang diberi kepada mereka. Penulis juga mencicip air teh tarik itu. Enak sesedap rasa dan kena di kerongkong penulis yang tidak suka akan kemanisan yang melampau pada sesuatu makanan dan minuman. Ya. Susu pekat manisnya tidak begitu manis bak kata teman-teman penulis yang acapkali berjenaka jika menikmati minuman yang manis, “potong kaki” kata mereka. Di sini rasa-rasanya tidak perlu potong kaki.

Pengarah Fakulti Pengajian Asia Timur, iaitu Prof. Go juga menyukai air teh tarik yang dibuat oleh penulis. Pengalaman pertamanya melihat seseorang menarik air teh yang menghasilkan buih lantas rasa enak dan masih hangat diminum. Dicicipnya senikmat yang mungkin.

Setelah mempunyai pengalaman menarik air teh bersempena dengan minggu kebudayaan di kolej, penulis turut diminta oleh pihak fakulti untuk sekali lagi melakukan demonstrasi menarik air teh di bandar Haikou, iaitu ibu wilayah Hainan, China, bersempena dengan Pameran Kolej Kemahiran. Kolej ini diundang untuk mempromosikan kursus pengajian bahasa asing yang ditawarkan.

Dengan mengenakan baju kurung dan pada waktu itu cuacanya agak cerah dan panas kerana menghampiri musim panas, penulis harus berkaca mata hitam kerana cahaya mataharinya terlalu silau. Menarik air teh di bandar Haikou! Sesuatu yang sangat menarik untuk diilustrasikan pengalaman ini.

Di sini, pengunjung begitu ramai dan pameran ini telah dirasmikan oleh Datuk Bandar Haikou. Sambil menarik air teh, penulis tidak sedar bahawa Dato Bandar Haikou turut melihat teknik teh tarik ini lantas ingin merasainya. Kelihatan Prof. Go menerangkan sesuatu kepada Dato Bandar kala beliau mencicip air teh tarik ini. Penulis tidak sedar aksinya kerana pengunjung yang lain ramai menanti air teh tarik yang siap untuk mereka rasai.

Begitu mencabar juga pengalaman ini kerana ketika itu cuaca begitu panas. Pengunjungnya ramai serta suasananya meriah dengan keinginan mereka untuk bertanya akan keistimewaan minuman yang bernama air teh tarik ini yang sinonim dengan kehidupan harian rakyat Malaysia.

Seorang Ketua dari Fakulti Pengajian Bahasa Timur yang mahir berbahasa Inggeris berlelucon kepada penulis dengan mengatakan bahawa penulis boleh berniaga dengan menjual teh tarik di Haikou. Suasana dipenuhi dengan hilai tawa kami. Mengapa tidak? Menarik juga jika boleh menjual teh tarik di sini.

Siapa bilang perempuan Melayu sambil berkebaya dan berbaju kurung tidak boleh menarik air teh di sebuah negara asing yang pertama kali rakyatnya melihat keistimewaan minuman ini? Penulis juga masih tidak percaya dengan diri ini yang buat julung-julung kalinya mempersembahkan gaya menarik minuman yang bernama air teh tarik ini bukan di Malaysia tetapi di China. Bukan penulis juga bukan berpakaian santai tetapi berkebaya dan berbaju kurung.

“Mengapakah air teh itu perlu ditarik?” tanya seorang pengunjung. Penulis membalas dengan mengatakan bahawa buih yang terhasil daripada tarikan dua buah kole yang dipegang oleh tangan kanan dan kiri ini menghasilkan rasa air teh yang padu dan lazat. Air ini hanya ada di Malaysia kerana rakyat Malaysia yang berbilang kaum boleh menikmatinya pada bila-bila masa sahaja waima di gerai tepi jalan.

Harganya juga berpatutan sama ada ingin cawan yang  bersaiz besar  atau yang bersaiz kecil. Pengunjung itu kagum ketika jawapan itu diterjemahkan oleh rakan sekerja. Teknik tarikan air teh sangat menarik perhatian pengunjung. Lain sungguh gaya menghidangkan air teh tarik ini katanya. Itulah tarikannya. Menarik bukan!

Penulis berkebaya sambil melakukan demonstrasi menarik air teh.
Keunikan rasa air teh tarik membuatkan pengunjung begitu teruja.
Penulis dan pelajar dari Jurusan Bahasa Melayu gembira kerana dapat memperkenalkan keunikan kebudayaan negara dari segi makanan, pakaian dan persembahan.

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.