19 Mei 2023, 15:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Persidangan Penterjemahan Antarabangsa (PPA) merupakan persidangan dwitahunan yang juga merupakan satu-satunya persidangan terjemahan yang dianjurkan di Malaysia. PPA-19 pada kali ini adalah anjuran bersama Persatuan Penterjemah Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM) Press, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) dan Jabatan Perpustakaan dan Sains Maklumat, IIUM.

Penganjuran persidangan ini adalah untuk semua pihak yang terlibat dalam bidang dan industri terjemahan termasuklah para akademik, pengamal, penyelidik dan pelajar.

Menurut Pengerusi PPA-19, Prof. Datin Dr. Roslina Othman, tujuan persidangan ini diadakan adalah untuk mewujudkan arena sejagat untuk wacana intelektual dan profesional mengenai teori terkini, pendekatan isu, perspektif, amalan, penyelidikan dalam bidang penterjemahan dan interpretasi

Tambahnya lagi, persidangan ini juga bagi menggalakkan pertukaran gagasan, pendapat dan pengalaman dalam bidang penterjemahan dan interpretasi demi mencapai kecemerlangan akademik dan peri relevannya dalam industri.

“PPA-19 pada kali ini yang bertemakan “Penterjemahan Global untuk Kesejahteraan Sejagat” bakal berlangsung selama tiga hari di Swiss Garden Hotel, Kuala Lumpur,” katanya ketika menjadi tetamu jemputan dalam program Apa Khabar Malaysia, terbitan BERNAMA TV semalam.

Beliau berkata, terjemahan yang tepat adalah penting kerana kecenderungan memberikan makna yang salah boleh menyebabkan berlakunya salah faham. Apabila timbulnya salah faham dalam sesuatu dokumen akan mendorong kepada impak yang negatif.

Katanya lagi, antara isu yang bakal diberikan perhatian ialah penggunaan teknologi dalam bidang penterjemahan pada masa ini seperti ChatGPT yang telah digunakan oleh pelbagai lapisan masyarakat termasuklah para pelajar tanpa sebarang garis panduan.

Bidang penterjemahan di Malaysia mempunyai rekod yang cemerlang terutamanya dalam penterjemahan bahan-bahan yang berkaitan dengan sastera. Sudah tiba masanya bidang penterjemahan memberikan perhatian terhadap bahan ilmiah seperti buku akademik dalam bidang perubatan, contohnya.

Tambahnya, terjemahan buku dalam bidang perubatan ke dalam bahasa Melayu membolehkan lebih banyak pihak dapat memperoleh ilmu tersebut.

Beliau berkata, pembentang dalam persidangan tersebut juga akan melibatkan jemputan antarabangsa seperti Presiden Persekutuan Penterjemah Antarabangsa yang beribu pejabat di Perancis, Miss Alison Rodriguez.

Beliau juga berharap agar persidangan ini dapat memberikan impak kepada industri terjemahan kerana industri terjemahan memerlukan penterjemahan yang berkualiti.

Pengerusi PPA-19, Prof. Datin Dr. Roslina Othman (kanan) semasa menjadi tetamu dalam program Apa Khabar Malaysia, terbitan BERNAMA TV semalam.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.