Oleh Kho Thong Eng
22 Mei 2023, 09:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Golongan kata merujuk jenis kata, iaitu sama ada kata yang berkenaan ialah kata nama, kata kerja, kata adjektif atau kata tugas. Kata nama, kata kerja dan kata adjektif dapat menjadi inti frasa, manakala kata tugas merupakan golongan heterogen yang meliputi pelbagai kata yang mempunyai tugas tatabahasa tertentu. Pembahagian dan perbezaan antara jenis kata biasanya amat jelas. Sila lihat contoh yang berikut:

Kata nama: pintu, peti, pembangunan, kesakitan

Kata kerja: tidur, berehat, menangis, tertipu

Kata adjektif: buruk, kaya, cermat, prihatin

Kata tugas: sangat, bukan, dengan, kerana

 

Walaupun kata dapat dikategorikan mengikut golongan atau jenis tertentu, ada kalanya fungsinya dalam ayat menyerupai golongan atau jenis kata yang lain. Fungsi kata bergantung pada fungsi kata yang berkenaan dalam konteks ayat yang berbeza-beza. Apabila konteks ayat berubah, fungsi kata mungkin tutur berubah. Hal ini merupakan perkara yang agak rumit yang harus kita halusi. Sila lihat contoh yang berikut:

1a.  Banyak tetamu hadir.

1b.  Hartanya banyak.

1c.  Dia banyak bercakap.

 

2a.  Kereta itu laju.

2b.  Kereta itu bergerak laju.

 

Dalam ayat 1a, kata banyak tergolong dalam golongan kata asal sebagai kata bilangan tak tentu. Namun begitu, dalam ayat 1b, kata banyak berfungsi sebagai kata adjektif dalam pola ayat Frasa Nama + Frasa Adjektif.  alam ayat 1c, kata banyak berfungsi sebagai adverba dalam pola ayat Frasa Nama + Frasa Kerja.

Dalam ayat 2a, kata laju tergolong dalam golongan kata asal sebagai kata adjektif. Dalam ayat 2b pula, kata laju berfungsi sebagai adverba dalam pola ayat Frasa Nama + Frasa Kerja.

 

3a.  Tembakannya mengenai sasaran.

3b.  Dia berceramah mengenai teknologi hijau.

3c.  Dia berceramah tentang teknologi hijau.

 

4a.  Dia melalui jalan itu.

4b.  Jarum menerusi kain itu.

4c.  Perhubungan mereka melalui/menerusi Internet.

4d.  Perhubungan mereka dengan Internet.

 

5a.  Dia mengikut/menurut ibunya ke pasar.

5b.  Mengikut/Menurut Ali, kawannya bercakap benar.

5c.  Bagi Ali, kawannya bercakap benar.

 

Dalam ayat 3a, kata mengenai tergolong dalam golongan kata asal sebagai kata kerja. Dalam ayat 3b pula, kata mengenai berfungsi seperti sendi nama tentang dalam pola ayat Frasa Nama + Frasa Sendi Nama (lihat ayat 3c).

Dalam ayat 4a dan 4b, kata melalui dan menerusi tergolong dalam golongan kata asal sebagai kata kerja. Dalam ayat 4c pula, kata melalui dan menerusi berfungsi seperti sendi nama dengan dalam pola ayat Frasa Nama + Frasa Sendi Nama (lihat ayat 5d).

Dalam ayat 5a, kata mengikut dan menurut tergolong dalam golongan kata asal sebagai kata kerja. Dalam ayat 5b pula, kata mengikut dan menurut berfungsi seperti sendi nama bagi dalam pola ayat Frasa Nama + Frasa Kerja dengan frasa keterangan (lihat ayat 5c).

 

6a.  Pegawai polis merupakan diri seperti orang awam.

6b.  Dia merupakan pegawai polis.

6c.  Dia (ialah) pegawai polis.

 

Dalam ayat 6a, kata merupakan tergolong dalam golongan kata asal sebagai kata kerja. Dalam ayat 6b pula, kata merupakan berfungsi seperti kata pemeri ialah dalam pola ayat Frasa Nama + Frasa Nama (lihat ayat 6c).

 

7a.  Dia berilmu banyak.

7b.  Dia sangat berilmu.

 

8a.  Dia terkenal dengan ilmunya.

8b.  Dia sangat terkenal.

 

Dalam ayat 7a dan 8a, kata berilmu dan terkenal tergolong dalam golongan kata asal sebagai kata kerja. Dalam ayat 7b dan 8b pula, kata berilmu dan terkenal berfungsi seperti kata adjektif dalam pola ayat Frasa Nama + Frasa Adjektif, dan dapat dihuraikan dengan kata penguat seperti sangat.

 

9a.  Hadiah ini untuk ibu.

9b.  Dia berusaha untuk berjaya.

9c.  Untuk dia lulus adalah sukar.

 

Dalam ayat 9a, kata untuk berfungsi sebagai kata sendi nama, dan diikuti oleh kata nama ibu. Dalam ayat 9b, kata untuk merupakan kata hubung pancangan keterangan tujuan, iaitu berada di pangkal klausa untuk (dia) berjaya. Dalam ayat 9c pula, kata untuk ialah kata hubung pancangan komplemen, iaitu berada di pangkal klausa untuk dia lulus yang menjadi subjek ayat.

 

10a.  Katanya benar.

10b.  Dia pandai benar.

 

Dalam ayat 10a, kata benar ialah kata pembenar, manakala dalam ayat 10b, kata benar merupakan kata penguat belakang.

 

11a.  Dia diturunkan pangkat oleh (sebab) kecuaiannya.

11b.  Dia diturunkan pangkat oleh sebab dia cuai.

11c.  Dia diturunkan pangkat sebab dia cuai.

11d.  Sebab dia diturunkan pangkat ialah dia cuai.

 

Dalam ayat 11a, kata oleh atau oleh (sebab) merupakan sendi nama yang diikuti kata nama kecuaiannya. Dalam ayat 11b, kata oleh sebab merupakan kata hubung pancangan keterangan musabab kerana berada di pangkal klausa oleh sebab dia cuai. Dalam ayat 11c, kata sebab juga merupakan kata hubung pancangan keterangan musabab kerana berada di pangkal klausa sebab dia cuai. Dalam ayat 11d, kata sebab merupakan kata nama dan menjadi inti frasa nama sebab dia diturunkan pangkat.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.