Oleh Kho Thong Eng
1 Jun 2023, 09:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kehalusan komunikasi melibatkan penggunaan bahasa yang sopan, manis dan beradab semasa seseorang menyatakan sesuatu perkara atau berlawan cakap dengan orang lain. Dengan penggunaan bahasa yang halus, kita dapat memelihara hubungan yang mesra. Hal ini dikatakan demikian kerana pihak yang berkenaan akan berasa senang hati dan ingin terus bergaul dengan kita, atau menyokong usaha kita.

Penggunaan bahasa yang sopan menjadi semakin penting apabila kita berhubung dengan orang yang lebih tua, berpangkat lebih tinggi atau dalam hubungan rasmi. Hal ini dikatakan demikian kerana penggunaan bahasa yang kasar mungkin menyebabkan kita ditegur, dikenakan tindakan atau dipandang serong oleh masyarakat. Selain itu, dalam ujaran lisan, bahasa halus perlu disampaikan dengan nada suara yang rendah dan lembut agar tidak menyinggung perasaan orang lain.

Penggunaan bahasa halus melibatkan penggunaan kata ganti atau kata alternatif bagi kata yang kurang sedap didengar atau mempunyai erti emotif yang negatif. Hal ini jelas dalam keadaan yang berhubungan dengan manusia tertentu.  Sebagai contoh, kata ibu tunggal (wanita yang tidak bersuami) lebih sedap didengar berbanding dengan kata janda (wanita yang sudah bercerai atau kematian suami).

Contoh lain ialah kata pengawal keselamatan terasa lebih hormat daripada kata jaga, kata pembantu rumah lebih sesuai daripada kata orang gaji, dan kata pekerja seks atau kupu-kupu malam lebih elok daripada kata pelacur. Untuk merujuk orang yang sudah berkahwin, kata suami atau bapa budak dirasakan lebih sesuai daripada kata laki, dan kata isteri atau orang rumah dianggap lebih sopan daripada kata bini. Bagi merujuk si mati pula, kata arwah, mendiang, Allahyarham atau Almarhum tentulah lebih sesuai. Bagi merujuk mayat pula, kata yang lebih halus ialah jenazah.

Sekarang kata haram sudah tidak lagi digemari oleh kebanyakan orang. Hal ini berlaku demikian mungkin kerana konotasi kat haram terlalu negatif dan kurang sesuai. Sebagai contoh, kata rumah haram lebih sesuai diganti dengan kata rumah setinggan, anak haram sepatutnya dipanggil anak luar nikah, dan pendatang haram sepatutnya disebut sebagai pendatang tanpa izin.

Ada juga anggota badan yang dirasakan kurang manis kalau disebut secara langsung dan perlu diganti dengan kata lain. Contohnya ialah kemaluan patut diganti dengan alat kelamin lelaki atau perempuan, dan tetek diganti dengan kata buah dada atau payudara. Dengan itu wujudlah istilah penyakit kelamin dan penyakit barah payudara.

Bagi hal yang berkaitan dengan tahi atau kencing, terdapat juga kata gantinya. Sebagai contoh, kata berak dan kencing diganti dengan frasa membuang air besar atau membuang air kecil. Namun begitu, ada orang yang hanya menyatakan hal demikian secara tidak langsung, iaitu ingin ke tandas atau mahu ke bilik air.

Dalam bidang perubatan pula, kata kencing dan berak dibolehkan untuk tujuan ketepatan dan pemudahan pemahaman, seperti penyakit kencing manis, kencing darah, kencing nanah, ujian air kencing, berak darah, berak cair dan sebagainya.

Dalam peribahasa warisan budaya kita pula, terdapat contoh guru kencing berdiri, murid kencing berlari. Selain itu, kini kita tidak lagi menamai tempat membuang air besar dan air kecil sebagai jamban, tetapi menggantinya dengan kata tandas atau bilik air.

Ada juga sejumlah kata kerja yang cenderung diganti orang dengan kata yang lebih halus. Contohnya, kata kentut diganti dengan buang angin, frasa datang haid diganti dengan datang bulan, mati diganti dengan meninggal dunia atau pulang ke rahmatullah, menguburkan diganti dengan mengebumikan, beranak diganti dengan bersalin, dan hamil diganti dengan berbadan dua.

Pada zaman ini, kebanyakan orang tidak suka dikatakan sebagai gemuk. Oleh itu, kata gemuk mungkin diganti dengan frasa semakin sihat untuk menjaga hati pihak yang dimaksudkan itu.

Umum mengetahui bahawa perbuatan merokok memudaratkan kesihatan dan membazirkan wang. Oleh itu, pelbagai pihak berusaha untuk membanterasnya dengan mendirikan papan tanda dan merentangkan sepanduk yang pelbagai. Ada papan tanda yang bernada keras dan tegas seperti “Larangan merokok. Denda RM10,000/Penjara 2 tahun”, “Jangan merokok”, “Dilarang merokok”, “Berhenti merokok”, “Kawasan Larangan Merokok” dan “Amaran! dan “Jangan jual rokok seludup”. Ketegasan mesej yang berkenaan menekankan kepentingan tindakan berhenti merokok agar dipatuhi umum.

Walau bagaimanapun, ada papan tanda yang lebih bersifat memujuk dengan menyatakan keburukan merokok. Contohnya ialah “Tak nak! Setiap sedutan membawa padah”, dan “Matikan rokok anda sekarang sebelum rokok mematikan anda dan orang di sekitar anda”. Ada juga papan tanda yang cuba memujuk orang ramai dengan menyatakan kebaikan berhenti merokok. Contohnya ialah “Hidup sihat tanpa merokok”.

Ada papan tanda yang memancing kerjasama umum dengan nada pujukan. Contohnya ialah “Jadikanlah sekolah kita kawasan tanpa rokok”, “Kami menyokong larangan merokok di premis makanan’ dan “Terima kasih kerana tidak merokok”. Namun demikian, ada juga papan tanda yang bernada neutral dengan mesej seperti “Kawasan bebas asap rokok” dan “Toleransi sifar terhadap rokok seludup”.

Larangan atau pujukan juga dapat kita perhatikan dalam hal lain. Di perpustakaan, mungkin terdapat papan tanda “Jangan membising” atau “Tolong senyap”. Di pejabat kerajaan mungkin terdapat papan tanda “Jangan masuk tanpa urusan”, atau “Sila masuk jika ada urusan”. Dalam hal penjagaan kebersihan, mungkin terdapat papan tanda yang berbunyi “Jangan buang sampah merata-rata”, “Dilarang buang sampah di sini” atau “Jagalah kebersihan sungai anda”, “Jagalah kebersihan taman perumahan kita”, dan sebagainya.

Pada umumnya, masyarakat kita sekarang kelihatan sedang beralih daripada bahasa yang tegas kepada bahasa halus agar mesej yang disampaikan akan mendapat sokongan ramai, bukan bangkangan dan penentangan.

Penggunaan bahasa halus juga berkaitan dengan penggunaan kata ganti nama diri, panggilan dan gelaran yang sesuai. Jika kita berurusan dengan golongan yang lebih tua atau berpangkat lebih besar, adalah kurang sopan jika kita menggunakan kata ganti nama seperti aku, awak, engkau dan kamu. Sebaliknya, kita patut menggunakan ganti nama dan panggilan/gelaran seperti saya, tuan, encik, puan, pak cik, mak cik, dan sebagainya.

Dalam keluarga, kita menggunakan panggilan hormat seperti datuk, nenek, ibu, ayah, pak cik, mak cik, kakak dan abang kepada ahli keluarga yang lebih tua. Dalam hubungan kita dengan ahli masyarakat yang berkedudukan tinggi, gelaran atau rujukan hormat yang sesuai harus kita gunakan, seperti Datuk, Tan Sri, Tun, Yang Berhormat, dan sebagainya.

Dalam penggunaan ayat perintah, terdapat pilihan kata perintah yang lebih halus dan lebih lembut seperti sila, jemput, minta, tolong dan harap. Sila lihat contoh yang berikut:

1a.  Hantar buku ke hadapan.

1b.  Minta hantar buku ke hadapan.

1c.  Tolong hantar buku ke hadapan.

1d.  Hantarlah buku ke hadapan.

 

2a.  Masuk.

2b.  Sila masuk.

2c.  Jemput duduk.

2d.  Masuklah.

 

3a.  Tolong saya sekejap.

3b.  Harap tolong saya sekejap.

3c.  Tolonglah saya sekejap.

3d.  Dapatkah tolong saya sekejap?

 

Dalam kelompok ayat 1, ayat yang berpangkalkan kata perintah minta dan tolong atau ditambah partikel pelembut -lah (lihat ayat 1b, 1c dan 1d) lebih sopan dan lebih halus berbanding dengan ayat 1a.

Dalam kelompok ayat 2, ayat yang berpangkalkan kata perintah sila dan jemput atau ditambah partikel pelembut -lah (lihat ayat 2b, 2c dan 2d) lebih sopan dan lebih halus berbanding dengan ayat 2a.

Dalam kelompok ayat 3, ayat yang berpangkalkan kata perintah harap atau ditambah partikel pelembut -lah (lihat ayat 3b dan 3c) lebih sopan dan lebih halus berbanding dengan ayat 3a. Bagi ayat 3d pula, ayat perintah ditukar kepada ayat tanya untuk menampilkan bahasa yang lebih halus dan lebih beradab.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.