19 Februari 2024, 20:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jurufoto: Mohamad Adib Zulkifli

Kuala Lumpur Kolej Universiti New Era telah mengadakan kunjungan hormat buat pertama kalinya ke Ibu Pejabat Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada hari ini bagi menyampaikan hasrat untuk menjalinkan kerjasama dengan pihak DBP ke arah memartabatkan bahasa Melayu.

Menurut Naib Canselor Kolej Universiti New Era, YBrs. Prof. Dr. Mok Soon Chong, Kolej Universiti New Era juga ingin memainkan peranan untuk mendaulatkan bahasa Melayu dan bercadang ingin meluaskan pengajian dalam bahasa Melayu ke peringkat antarabangsa.

Ujar beliau,

Kalau boleh, lebih banyak lagi orang-orang Cina di China menguasai Bahasa Melayu. Itulah peluang untuk kita.

Sehubungan dengan itu, Kolej Universiti New Era berhasrat untuk menawarkan pengajian dalam Bahasa Melayu kerana sebahagian besar daripada kursus pengajian yang ditawarkan di kolej tersebut menggunakan bahasa Inggeris dan bahasa Cina.

Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari bersama-sama Naib Canselor Kolej Universiti New Era, YBrs. Prof. Dr. Mok Soon Chong.

Menurut YBrs. Dr. Hazami Jahari, Ketua Pengarah DBP, beliau mencadangkan agar pihak Kolej Universiti New Era membentuk satu jawatankuasa bersama antara universiti dengan DBP, dan pakar bahasa tertentu bagi mewujudkan sukatan pelajaran Bahasa Melayu yang bersesuaian yang boleh digunakan oleh pelajar di kolej tersebut.

Kami boleh menyumbang dengan gerakan membentuk satu jawatankuasa bersama antara universiti dengan DBP, dan pakar bahasa tertentu.

Sementara itu, DBP juga menawarkan bahan sokongan pembelajaran yang boleh digunakan oleh pelajar di Kolej Universiti New Era termasuklah bahan terbitan DBP, seperti majalah, bahan penerbitan yang disiarkan menerusi JendelaDBP, dan Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) yang boleh dijadikan sebagai pusat rujukan pelajar dari aspek kosa kata atau yang berkaitan dengan istilah.

YBrs. Dr. Hazami Jahari ketika menyampaikan ucapan semasa kunjungan hormat daripada pihak Kolej Universiti New Era pada petang tadi di Bilik Mesyuarat Lembaga Pengelola, Aras 30, Menara DBP.

Tegas Ketua Pengarah DBP lagi,

Untuk bahan pengajaran, kita ada PRPM yang boleh diakses dalam 24 jam dari seluruh dunia. Yang kedua, kita boleh membuka perpustakaan untuk rujukan pelajar dan untuk latihan amali. Kita juga boleh menawarkan kepada pelajar untuk membuat latihan industri. Datanglah ke tempat kami. Selain itu, kami menawarkan beberapa aktiviti bagi mengukuhkan penguasaan bahasa mereka.

Selain itu, pihak DBP juga bercadang untuk melibatkan pelajar dari kolej tersebut dengan aktiviti kebahasaan negeri, seperti membaca puisi, syair dan peraduan menulis bagi mengukuhkan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar.

Yang turut hadir dalam kunjungan hormat tersebut ialah Encik Azhar Mohamad Dora (Ketua Bahagian Pengurusan Sumber Manusia), Dr. Rosmani Omar (Ketua Editor Bahagian Majalah), Puan Roziah Md Yunus (Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan), Encik Mohd Fadzli Tajuid (Ketua Bahagian Peristilahan dan Leksikologi), Encik Sharrul Rizal Hashim (Ketua Bahagian Komunikasi Korporat), Encik Azizan Othman (Timbalan Naib Canselor), dan Puan Raha Jaafar (Jawatankuasa Pusat Interaksi Pelbagai Kaum Kolej Universiti New Era).

Barisan pegawai DBP, staf Kolej Universiti New Era bergambar bersama-sama Ketua Pengarah DBP dan Naib Canselor Kolej Universiti New Era.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.