Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangLabuan – Program Bersahabat dengan Kamus (BdK) yang diadakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah menjadi antara tumpuan utama dalam Pesta Buku Labuan (PBL) 2024 yang berlangsung selama tiga hari, iaitu bermula pada 17 Mei 2024 hingga 19 Mei 2024, di ruang legar Pentas Anggerik, Ujana Kewangan, Wilayah Persekutuan Labuan.
Program BdK pada kali ini mempersembahkan dua konsep permainan baharu, iaitu Permainan Tangga Kata dan Pancing Huruf. Kedua-dua permainan ini menarik perhatian golongan kanak-kanak, remaja, dan dewasa dengan anggaran penyertaan sebanyak 80 orang.
Permainan Tangga Kata terbahagi kepada dua kategori, iaitu sekolah rendah tahap dua dan kategori umum.
Permainan ini melibatkan beberapa segmen permainan membina ayat yang memerlukan peserta memilih petak warna sebelum melangkah ke hadapan. Peserta akan diberi satu sampul di setiap segmen sebelum diberi tugasan membina ayat menggunakan kata adjektif, kata kerja, dan kata hubung berdasarkan gambar yang diberikan. Mereka juga diberi tugasan akhir dengan mencari makna perkataan tertentu dengan merujuk Kamus Dewan Perdana.
Permainan Pancing Huruf pula menjadi tarikan kepada kanak-kanak peringkat umur prasekolah dan sekolah rendah tahap satu. Permainan ini sangat menyeronokkan kerana mereka diberi kebebasan untuk memancing dua atau tiga huruf di kolam yang disediakan.
Permainan ini memberikan pengetahuan kepada kanak-kanak untuk mengenal huruf dan mencari sebanyak mungkin perkataan yang mengandungi huruf-huruf yang dipancing dengan merujuk Kamus Saku Bahasa Melayu Dewan.
Selain itu, ibu bapa dan ahli keluarga peserta turut diberi peluang untuk sama-sama terlibat dalam membimbing anak-anak mereka merujuk kamus, membina perkataan, dan memberikan galakan agar terlibat secara aktif dalam permainan tersebut.
Suasana semakin meriah dengan pelibatan YBrs. Puan Aminah Awang Basar, iaitu Pengarah DBP Cawangan Sabah dan Puan Julianah Kuli, iaitu Timbalan Pengarah II yang turut memberikan semangat kepada para peserta dan ibu bapa untuk menyertai program BdK ini.