23 Mei 2024, 12:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur Selepas beraksi dalam Konsert Gendang Pati Live in Kuala Lumpur di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 18 November tahun lalu, seniman legenda Dato’ M. Nasir akan tampil pula di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 10 Ogos depan.

Pada kali ini, konsert solo Dato’ M. Nasir diberi nama “Dato’ M.N45ir – Cipta” yang akan menghangatkan pentas yang akan bermula pukul 8.30 malam.

Memang “cipta” ialah judul yang ringkas tetapi penganjurnya, Icon Entertainment menganggapnya mengesankan kerana cukup melambangkan keseluruhan seorang figura seni yang bernama M. Nasir.

Seluruh warga Nusantara tahu, seluruh karyawan seni sedar dan belajar daripada banyak
karya yang telah dicipta oleh M. Nasir. Beliau ialah “otak”, “arkitek”, maestro, sifu
dan semua yang berkaitan dengan penciptaan karya seni yang berkualiti tinggi.

Setiap karya yang dicipta oleh pemilik nama sebenarnya, iaitu Mohamad Nasir Mohamed ini jarang-jarang sekali tidak meledak sewaktu dipasarkan, sama ada daripada karya yang dihasilkan untuk penyanyi solo lelaki, dan wanita juga kugiran rock, mahupun mengusung genre pop, dan balada.

Sebenarnya, setelah 45 tahun berada dalam bidang seni, terutamanya muzik, M. Nasir tidak perlu diperkenalkan lagi. Dalam posternya, selain warna dan tonanya yang hitam gelap yang dijelaskan oleh penerbit, Iman Tang dari Icon Entertainment sebagai konsep “noir”, kita dapat melihat tulisan “cipta” dalam huruf Jawi.

Sebagai langkah awal menguar-uarkan konsert berskala besar ini, pada 20 Mei lalu telah berlangsung sidang media untuknya di Star Max Hall, DADI Cinema, Tingkat 5, Pavilion Bukit Bintang.

Selain pastinya M. Nasir, yang turut hadir ialah Iman sendiri sebagai pemilik Icon Entertainment. Menurut Iman, pihaknya sedar bahawa ini bukan kali pertama penonton atau peminat menyaksikan persembahan M. Nasir di sepanjang lebih empat dekad pembabitan beliau dalam industri seni Nusantara.

“Walau bagaimanapun, pentas pada kali ini akan menyajikan pelbagai ciptaan, dan kreativiti daripada seorang karyawan seni, lalu menjadi persembahan visual, dan audio yang tidak akan pernah dilupakan,” katanya.

Penyertaan tulisan Jawi dalam poster itu memang sangat sesuai dengan M. Nasir yang selama 45 tahun menghasilkan lagu berjiwa Melayu dan Nusantara. Penyanyi dan pelakon ini sendiri suka menulis tanda namanya dalam tulisan Jawi.

Iman menyatakan bahawa beliau memang menyedari perkara tersebut, dan bercadang menulis “cipta” dalam tulisan Jawi.

“Saya serahkan kepada Dato’ M. Nasir dan bertanya sama ada ejaannya betul atau salah. Setelah jawapannya betul, tulisan Jawi untuk “cipta” itu dikekalkan sebagaimana yang anda semua dapat lihat,” jawab Iman.

Antara lain, dalam sidang media tersebut, M. Nasir dan Iman sama-sama menyatakan bahawa pelbagai kemungkinan akan ada dalam bentuk persembahan dan berserta harapan akan kejayaan konsert nanti.

“Kemungkinan saya akan menyanyikan lagu ciptaan saya untuk saya sendiri lebih banyak sebagaimana biasa atau barangkali lebih banyak lagu untuk penyanyi lain,” ujar M. Nasir.

Bagi para peminat muzik, khususnya M. Nasir, tiket-tiket untuk Konsert Dato’ M. N45ir-Cipta secara dalam talian akan mulai dijual pada pukul 11 pagi di platform: www.ticket2u.com.my, bermula 27 Mei nanti.

Harga tiket bermula dengan RM238 (AWAN NANO), RM338 (SEJATI), RM458
(FENOMENA), RM488 (CINTA KRISTAL), RM528 (MUSTIKA) dan RM588
(APOKALIPS).

Dato’ M. Nasir bersama-sama Iman Tang (kanan) semasa sidang media konsert Dato’ M.N45ir – Cipta, di DADI Cinema, Pavilion Bukit Bintang.
Konsert Dato’ M.N45ir – Cipta akan diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 10 Ogos depan.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.