25 Mei 2024, 08:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Miri Keunikan bahasa etnik dan nilai budaya yang mempunyai unsur sastera daripada pelbagai kaum dan etnik yang terdapat di Sarawak menjadi pengisian utama dalam Program Dendangan Puisi Tradisional Antarabangsa 2024 yang berlangsung pada malam tadi di Pustaka Negeri Sarawak.

Selain itu, majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran peserta dari negara Brunei Darussalam yang diwakili oleh Kumpulan Putra Seni, serta peserta dari negara Indonesia yang diwakili oleh Persatuan Penulis dan Seniman Kayong Utara, yang mempersembahkan lagu puisi dalam bahasa daerah di sana.

Program Dendangan Puisi Tradisional Antarabangsa 2024 yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak dengan kerjasama Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, DBP, Majlis Bandaraya Miri, Pejabat Residen Miri dan Persatuan Penulis Utara Sarawak (PUTERA) adalah antara program yang terdapat dalam Festival Puisi Bandar Raya Miri yang dianjurkan bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-19 Bandar Raya Miri, Sarawak, serta ulang tahun ke-68 DBP.

Tetamu yang hadir dalam majlis ini terdiri daripada kumpulan etnik yang terdapat di Sarawak, khususnya di daerah Miri, iaitu etnik Tering, Saban, Bisaya, Jatti Miriek, serta Kumpulan Lasykar Seni yang turut terlibat dalam persembahan.

Majlis ini bertambah meriah apabila tetamu hadir dengan pakaian tradisi etnik, di samping adanya persembahan dalam bahasa etnik yang meliputi dendangan puisi tradisional, seperti syair, seloka, pantun, mantera dan nyanyian lagu puisi serta tarian.

Program ini dirasmikan oleh Pengarah DBP Cawangan Sarawak, iaitu YBrs. Encik Abang Haliman Abang Julai. Menerusi ucapannya, beliau berkata;

Program Dendangan Puisi Tradisional Antarabangsa yang julung-julung kalinya dianjurkan di Miri ini dapat diperluaskan lagi pada masa akan datang dengan pelibatan generasi muda, mewakili persatuan dan etnik lain yang terdapat di sekitar bandar raya Miri dan juga terbuka untuk disertai oleh kumpulan seni daripada persatuan kesenian atau kebudayaan di negara jiran lain selain Brunei dan Indonesia.

Penganjuran program ini juga dapat menanamkan minat dan rasa cinta terhadap bahasa etnik, karya sastera dan warisan budaya dalam masyarakat pelbagai etnik di Sarawak yang kekal untuk diwarisi zaman-berzaman.

Persembahan dendangan puisi tradisional dalam bahasa ibunda etnik Tering, Miri.
Peserta dan kumpulan etnik yang membuat persembahan dendangan puisi tradisional merakamkan kenangan selepas tamat persembahan.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.