30 Mei 2024, 08:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Beijing Pada 29 Mei 2024, berlangsungnya pertemuan antara delegasi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan pensyarah Universiti Komunikasi China (CUC), di Beijing, China, bersempena dengan Program Pengantarabangsaan Bahasa Melayu di China.

Kehadiran delegasi DBP yang diketuai oleh YBrs. Puan Roziah Md Yunus, iaitu Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, DBP bersama-sama YBrs. Puan Rohana Ab Rahman, pegawai DBP disambut mesra oleh YBrs. Prof. Madya Dr. Zhang Jing Ling, iaitu Ketua Jabatan Jurusan Bahasa Melayu dan pensyarah, serta 31 orang pelajar jurusan Bahasa Melayu.

Pada 11 Mei 2024 yang lalu, Universiti Komunikasi China dilantik oleh DBP sebagai Duta Kecil Bahasa Melayu di China. Pelantikan ini merupakan pengiktirafan kepada universiti tersebut yang menawarkan kursus bahasa asing kepada pelajar tempatan di universiti berkenaan.

Menurut YBrs. Prof. Madya Dr. Zhang Jing Ling atau lebih dikenali dengan nama, Dr. Melati, kedatangan delegasi dari DBP sememangnya amat dialu-alukan untuk perbincangan bagi meningkatkan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar yang mengambil kursus bahasa asing.

Kerjasama dengan DBP sangat diperlukan dalam pelaksanaan program dan pertandingan yang bersifat apresiasi bahasa dan sastera kepada pelajar supaya mereka dapat menguasai bahasa Melayu dengan baik dan sempurna.

Dalam pertemuan ini, DBP berkesempatan menyaksikan persembahan oleh 18 orang pelajar jurusan Bahasa Melayu, iaitu mendeklamasikan puisi dan membuat persembahan nyanyian dalam bahasa Melayu.

Selain itu, pelajar turut diberi ruang dalam sesi soal jawab untuk bertanyakan soalan dengan pegawai DBP tentang pembelajaran bahasa Melayu. Lawatan kerja ini berakhir dengan acara sesi pertukaran cenderamata dan sesi bergambar.

Pelajar Universiti Komunikasi China mendeklamasikan sajak dalam bahasa Melayu yang berjudul “Menuntun Si Merdeka”, karya Awang Sariyan.
Persembahan koir lagu Zuo Jian daripada pelajar Universiti Komunikasi China.
Sesi penyampaian cenderamata oleh pihak Universiti Komunikasi China kepada wakil DBP.
Sesi taklimat Program Bahasa Melayu disampaikan oleh Puan Mawar, iaitu seorang daripada tiga orang tenaga pengajar di Universiti Komunikasi China.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.