25 Jun 2024, 22:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Perpaduan nasional di negara ini hanya dapat menjadi kenyataan apabila rakyat daripada pelbagai kaum mengutamakan penggunaan bahasa Melayu.

“Laungan dan hasrat untuk mewujudkan perpaduan nasional akan sia-sia jika bahasa Melayu hanya diutamakan oleh kaum Melayu. Perpaduan tidak akan wujud jika kaum Cina hanya dengan bahasa Mandarin, sementara kaum India pula cuma bertutur dalam bahasa Tamil,” tegas Encik Ismail Dahaman, antara ahli panel Sesi 2 Wacana Kesaktian Lidah Rakyat: Bicara Karyawan 68.

Encik Ismail Dahaman (paling kiri) semasa menjadi ahli panel Sesi 2 Wacana Kesaktian Lidah Rakyat: Bicara Karyawan 68 di Dewan Seminar Dato’ Hassan Ahmad, Menara DBP.

 

Sesi tersebut bertambah menarik apabila Encik Ismail Dahaman menyentuh tentang maksud “jalan yang lurus” dalam surah al-Fatihah dan “jalan yang lurus” atau matlamat DBP. Jelas beliau,

Jika “jalan yang lurus” dalam surah al-Fatihah itu menuju ke syurga yang menjadi matlamat semua umat Islam, maka “jalan yang lurus” DBP ialah memartabatkan bahasa Melayu, yang juga bahasa kebangsaan negara kita.

Tambah beliau, bahasa Melayu memang mempunyai keistimewaan, atau kelebihan tersebut.

“Justeru bahasa Melayu “sakti”, maka bahasa ini akan mampu dan terus bermartabat walaupun hanya baru disebut atau dicita-citakan. Walau bagaimanapun, hal ini tidak terjadi di negara kita. Bahasa Melayu semakin tersisih,” katanya.

Sesi 2 yang dimudahcarakan oleh Encik Abdul Ghani Abu, Ketua Bahagian Perkamusan DBP  itu turut menampilkan mantan karyawan DBP, iaitu Dr. Mohamad Shaidan dan Encik A. Wahab Hamzah.

Ahli panel Sesi 1 Wacana Kesaktian Lidah Rakyat: Bicara Karyawan 68: (Dari kiri) Tuan Haji Abd. Khalik Sulaiman, Puan Kamariah Abu Samah dan Puan Hajah Noresah Baharom dan Encik Saifullizan Yahaya.

Terdahulu, Sesi 1 yang dimudahcarakan oleh Encik Saifullizan Yahaya, Ketua Bahagian Penyelidikan Sastera DBP turut menampilkan mantan karyawan DBP seperti Puan Hajah Noresah Baharom, Puan Kamariah Abu Samah dan Tuan Haji Abd. Khalik Sulaiman sebagai ahli panel.

Yang turut hadir ialah YBrs. Dr. Hazami Jahari, Ketua Pengarah DBP;  YBhg. SN Dato’ Dr Anwar Ridhwan, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP; YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg, Shokeran, mantan Ketua Pengarah DBP dan mantan para karyawan DBP yang lain.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.