Oleh Kho Thong Eng
1 Julai 2024, 10:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Lidah ialah satu daripada pancaindera yang penting. Dengan lidah, kita tahu sama ada makanan yang kita jamah tawar atau lemak. Antara rasa yang dapat dikesan oleh lidah kita termasuklah rasa pahit, manis, pedas, masam, masin, tawar dan kelat. Yang menarik ialah kebanyakan rasa yang kita rasai secara fizikal dapat juga dikaitkan dengan maksud kiasan.

Rasa pahit ialah rasa seperti rasa hempedu. Oleh sebab rasa pahit ialah rasa yang kurang digemari kebanyakan orang, rasa pahit biasanya dikaitkan secara kiasan dengan perkara yang susah atau menyusahkan hati. Sila lihat contoh yang lain:

Contoh Maksud
kata-kata pahit kata-kata yang melukakan hati
mendapat kopi pahit 1.  mendapat kopi yang tidak bergula

2.  kena marah

pahit hanyir (kata-kata) yang menimbulkan kemarahan
senyuman pahit senyuman yang dibuat-buat atau terpaksa
pahit maung pahit getir, pahit pahang, pahit jerih, sangat pahit
pahit meninggal/peninggal 1.  pahit yang melekat pada tekak

2.  sesudah makan baru berasa pahit

3. kemudiannya baru ternampak atau terbukti ketidakjujuran seseorang

peristiwa pahit hal yang sukar diterima atau ditanggung
pahit dahulu, manis kemudian yang rumit hendaklah dijelaskan supaya senang kemudiannya
sepahit semanis bersama-sama menderita dan bersuka
gulai lampau serai, tentu maung sesuatu yang baik tetapi dilakukan secara berlebihan mungkin membawa keburukan

 

Walau bagaimanapun, ada kalanya kata pahit berkaitan dengan sifat positif. Sila lihat contoh yang berikut:

pahit(-pahit) darah – panjang umur

pahit peria – pahit tetapi berfaedah atau disukai

sepahit-pahit mambu, kelatnya menjadi ubat – kata yang keras tetapi mengandungi pengajaran dan mendatangkan kebaikan

 

Ada kalanya rasa pahit bercampur dengan rasa lain. Sila lihat contoh yang berikut:

pahit-pahit kelat – rasa seperti teh pekat

pahit-pahit lemak – rasa seperti pucuk betik

 

Rasa manis ialah rasa seperti gula atau madu.  Oleh sebab rasa manis pada umumnya digemari, kata manis juga dikaitkan secara kiasan dengan hal yang cantik, menarik dan menyenangkan. Sila lihat contoh yang berikut:

Contoh Maksud
manis muka/mulut/senyuman menarik
gadis manis gadis cantik
si manis panggilan kepada gadis/wanita yang cantik
manis budi bahasa bersopan santun
hidup manis kehidupan yang senang-lenang
bermanis muka tersenyum untuk menunjukkan rasa hormat
manis seperti gula derawa/sarawak/jawa bersesuaian dalam semua hal
habis manis sepah dibuang seseorang atau sesuatu yang dihargai hanya ketika berguna dan sesudah tidak berguna lalu dibuang atau ditinggalkan

 

Walau bagaimanapun, ada kalanya kita diingatkan agar berhati-hati dengan sesuatu yang manis. Sila lihat contoh yang berikut:

Lemak manis jangan ditelan, pahit jangan dimuntahkan – yang nampak baik jangan lekas diterima dan yang nampak buruk jangan lekas ditolak

Rindu akan jadi batasnya, maka manis tidak jadi cuka – jangan terlalu mesra bergaul dengan orang kerana nanti akan menimbulkan dendam kesumat

Ada kalanya kata manis dikaitkan dengan sesuatu yang negatif. Contohnya ialah darah manis yang bererti “mudah mendapat bahaya atau kecederaan”.

Rasa pedas ialah rasa seperti cili atau lada. Jika kita diberi makanan yang terlalu pedas, kita mungkin merasakan lidah kita seakan-akan terbakar dan kita terpaksa minum air atau susu untuk meredakan kepedasannya. Oleh itu, kara pedas biasanya berkaitan dengan sesuatu yang menyakitkan hati atau menyinggung perasaan. Contohnya ialah kata-kata, teguran atau kritikan yang pedas. Contoh lain ialah siapa makan lada, dialah berasa pedas yang bererti “orang yang bersalah akan berasa tersindir disebabkan kesalahannya”.

Rasa masam ialah rasa seperti cuka, asam atau mempelam muda. Oleh sebab rasa masam yang keterlaluan tidak disenangi kebanyakan orang, biasanya kata masam dikaitkan dengan sesuatu yang negatif. Sila lihat contoh yang berikut:

Contoh Maksud
badan/pakaian yang masam ada bau yang kurang menyenangkan
bermasam muka tidak bertegur sapa antara satu sama lain
masam bagai nikah tak suka berdukacita disebabkan perlakuan yang tidak disenangi

 

Rasa masin ialah rasa seperti garam.  Kata masin biasanya dikaitkan dengan simpulan bahasa atau peribahasa yang positif, seperti yang berikut:

Contoh Maksud
masin lidah/mulut apa-apa yang dikatakan semuanya terjadi
belum tahu diasin garam belum ada pengalaman

 

Ada kalanya makanan mungkin berasa tawar, iaitu tidak berasa apa-apa. Oleh sebab makanan yang tawar kurang digemari, kata tawar biasanya dikaitkan dengan perkara yang negatif. Contohnya ialah simpulan bahasa tawar hati yang bererti “tidak bersemangat atau tidak berminat untuk melakukan sesuatu”. Kalau pidato seseorang dikatakan tawar, ertinya ialah pidatonya tidak sedap pada pendengaran audiens. Sebaliknya ada juga makanan yang berasa sedap atau lemak. Sama seperti rasa sedap yang digemari orang, kata sedap biasanya dikaitkan dengan perkara yang positif. Sila lihat contoh yang berikut:

Contoh Maksud
sedap hati senang hati
sedap manis 1.  cantik dan menarik hati orang yang melihatnya

2.  merdu dan enak apabila didengar

sedap dipakai selesa apabila dipakai
sedap badan berasa sihat dan segar
sedap tidur tidur lena

Walaupun begitu, kata sedap juga ada kalanya bermaksud negatif. Contohnya ialah sedap mulut yang bererti “sesuka hati bercakap tanpa memikirkan baik buruknya”.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.